Thursday, January 31, 2013

Semester 2, Tahun 2... Mula!

Buat pertama kalinya, saya mendaftar 6 subjek untuk semester seterusnya.

Sebelum ini; 3 ketika di semester pertama, 3 juga untuk semester kedua. 5 di semester ketiga dan kali ini - buat pertama kalinya - 6.

Dan, subjek-subjek pengajian saya juga sudah mulai terpisah dengan rakan-rakan yang rata-rata mereka mengambil pengkhususan Fiqh Wa Usuluhu. Saya Usuluddin.

Rakan-rakan ramai yang mengambil Fiqh Uqubat, Usul Fiqh 1 atau 2 dan semisalnya. Sedangkan saya sudah mulai berhadapan dengan subjek-subjek seperti Manahij Mufassirin, Ayat dan Hadis Ahkam, Usul Fiqh Am dan sebagainya.

In-sha-allah, semester ini, subjek pengajian saya adalah seperti berikut;

  1. Manahij Mufassirin, bersama Doktor Amin Butush.
  2. Ayat Ahkam, bersama Dr. Nail Abu Zaid.
  3. Dirasat Fil Hadis Min As-Sunan, bersama Dr. Muhammad Hawa.
  4. Fiqh Al-Qadha, bersama Dr. Syuesy Al-Mahamid.
  5. Fiqh Al-Ibadat 2, bersama Dr. Ali Zuqaili.
  6. Dan, akhir sekali, Bahasa Inggeris 2, bersama Dr. Dima.
Di kala saya menulis entri ini, bumi Mu'tah sedang dilebati frost. Selain daripada saya memang kurang gemarkan sejuk, serasa kasihan dengan entah bagaimana nasib saudara-saudara pelarian sana. Baik dari Syria yang hari ini belum punya tanda pergolakannya bakal mereda, ataupun dari Palestin, bumi Al-Aqsha. Mereka tak punya pakaian yang cukup, tempat berteduh, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Dahulu, benar; saya alergik dengan peperiksaan. Tiada justifikasi memuaskan yang mampu diberikan. Saya sekadar keras kepala, degil, terlalu idealistik (bak kata Umi) dan sebagainya.

Hari ini, saya kian sedar, bahawa kalaupun bukan nilaian gred di akhirnya yang menjadi ukuran kepandaian, namun usaha bersungguh-sungguh untuk memahami, mengingati dan mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan yang dikemukakan adalah lambang fokus, komitmen dan keikhlasan kita dalam pengajian.

Saya sentiasa membayangkan saya diajukan soalan oleh masharakat, ketika sedang menduduki peperiksaan. Dan, jika saya gagal jawab dengan baik, itu jualah kemungkinan yang bakal saya berikan buat masharakat kelak.

Apapun, peperiksaan bukan segala-galanya. Bak kata Bro Ihsan Fadhli;

"Ramai bersedia untuk hadapi peperiksaan. Tak ramai bersedia untuk hadapi pelajaran harian. Sedangkan, fokus, tekun, rajin itu lebih penting untuk memahami pelajaran yang kita hadapi setiap hari. Bukan bermusim saja tatkala menjelang peperiksaan!"

Dan, sesiapa yang bisa tekun dan bersungguh-sungguh untuk setiap sesi pelajaran, akan tiada masalah menghadapi peperiksaan. In-sha-allah.

p/s Bro Ihsan, maaf kalau tersilap matan dalam meriwayat. Tapi, maknanya benar kan? Senyum ^^
Poster sempena peperiksaan daripada Tim Kepimpinan PERMATA 2012/2013.
 

0 comments:

Post a Comment