Wednesday, January 30, 2013

Cuti-cuti Di Rumah

Gambar lama, di sekitar Wadi Rum, Jordan. Dari kiri, Anas, Bro Ihsan, Syakir dan saya.
Cuti semester kali ini saya tak ke mana-mana.

Saya sekadar berpeluang menjejak langkah Si Santiago, menapak bersama biri-birinya sekitar Andalusia. Singgah berehat di reruntuhan gereja, tertidur dan bermimpi akan harta karun yang tertanam di sisi piramid Mesir. Kemudian, mengekor kembaranya ke Mesir. Singgah di pelabuhan Tangier. Sama-sama berduka tatkala dirinya ditimpa musibah demi musibah. Menentang angin kasar yang membawa pasir di sahara menuju ke Oasis. Menemui cinta di sana dan berbelah bahagi untuk meneruskan kembara. Namun akhirnya, tiba jua ke piramid. Lalu kebas tangan menggali pasir sekitarnya, mencari harta karun; untuk sekadar menyedari bahawa ia rupa-rupanya tertanam jauh di Andalusia sana.

Itu semua, kembara saya menjejak langkah Si Santiago. Semuanya di dalam "The Alchemist".

Kemudian, 'pulang' sebentar ke Malaysia; mengikuti diskusi berkenaan anak muda dan pilihanraya. Termenung gerun dek besarnya angka anak-anak muda yang tidak berpartisipasi dalam proses pilihanraya lewat pelbagai alasan; malas, tak mahu ambil tahu, tak punya masa dan lain-lain. Takjub juga dengan maklumat hanya sekitar 200 ke 300 ribu undi popular yang memisahkan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum yang sudah.

Sebelum itu, 'berdagang' ke Indonesia. Menyoroti kisah hiba anak-anak muda Indonesia, yang berjuang meneruskan kehidupan di celah-celah kebejatan ekonomi dan bobroknya penguasa. Luhurnya niat Muluk, naifnya anggota masharakat, tegarnya anak-anak pencopet, korupnya kuasawan dan siasawan serta banyak lagi warna-warni yang melakari latar filem "Alangkah Lucunya Negeri Ini".

Sempat 'ke' Britain, mengikuti 'talk' Rory Stewart, seorang anggota parlimen Britain mengenai Demokrasi. Ujar beliau, usah demokrasi dilihat sebagai alat, instrumen. Tetapi ia wajar ditanggapi sebagai idea; akan keadilan, kesaksamaan dan sebagainya.

Ke Mesir (sekali lagi), mengikuti 'talk' lama Wael Ghonim, Eksekutif Google yang memainkan peranan tak kurang pentingnya dalam Revolusi 2.0.

Seterusnya, mengikuti 'talk' Wadah Khanfar, mantan 'Director General of Al-Jazeera' (2003-2011). Beliau berkongsi pandangan mengenai Revolusi Mesir dan Arab.

Tersentuh hati pula dengan ketekunan dan kesungguhan 'Ustazah' Lesley Hazleton, yang gigih menghalusi keajaiban Al-Quran. Terpegun dan serasa malu mengikuti perkongsiannya. Aduhai.

Dan, beberapa lagi.

Oh, cuti ini saya tak ke mana-mana pun. Senyum. 

p/s Baiklah. Ini memang usaha saya untuk kemaskini blog yang sekian lama kosong ini. Aduh.

1 comment: