Monday, March 19, 2012

Hijrahlah. Berubahlah.

Saya gemar menonton teater. Dalam sembang-sembang berisi (lawannya sembang kosong) saya dan sifu, saya nyatakan pada dia minat saya. Saya juga katakan, alangkah baiknya, andai kita ada persembahan teater sebulan sekali. Biro Kebudayaan & Sukan PERMATA boleh anjurkan.

Dia, seperti selalu, dalam senyum dan santun, teliti memberi respon pada kata-kata saya.

Kata dia, ramai yang mengaku minat. Ramai juga yang kata, hendak buat. Tapi tak ramai yang benar-benar buat.

Kata dia, "Buatlah..."

Wah. Seperti biasa, saya rasa terpukul. Rasa tercabar dan semangat berkobar-kobar menyergap ke seluruh anggota, akal fikir dan akal rasa.

Dialah juga yang pernah bercerita, bagaimana ada seorang lelaki yang bercita-cita untuk mengubah dunia.

Dalam usahanya menggapai cita, usianya menjangkau tua. Dia semakin letih, juga semakin lemah. Sedangkan impiannya masih jauh. Usaha masih banyak yang perlu diselesaikan. Lalu dia berkata, "Apa kata aku cuba mengubah negaraku pula?"

Lama-kelamaan, dia berkata pula, "Apa kata aku cuba mengubah masyarakatku?"

. . .

Lama-kelamaan dia berkata, "Apa kata aku cuba mengubah keluargaku?"

. . .

Lama-kelamaan dia berkata, "Apa kata aku cuba pula mengubah diriku?"

Dan, akhirnya, di akhiran usianya dia mengerti sesuatu. Bahawa perubahan besar yang dicitakannya, rupanya mesti digerakkan dengan perubahan dirinya sendiri.

Iya. Kembara panjang ribuan batu, mesti bermula dengan satu langkahan kecil.

Saya tidak boleh jadi orang yang nakkan sesuatu sahaja. Saya mesti juga jadi orang yang lakukan sesuatu!

Saya tidak boleh jadi orang yang hanya menanam cita, bahkan usahanya. Kerana kejayaan dan perubahan tak tertuai dengan sekadar menanam cita dan impian.

Ia sunnatullah. Sebagaimana benih yang tak tersiram, atau terbaja, dengan tanah yang tak tergembur tidak akan tumbuh elok dan subur, begitulah juga impian dan cita-cita. Meski ia suci lagi luhur, apa ia akan jadi tanpa usaha sehabis daya?

Maka, cita-cita saya melihat sebuah negara makmur, dunia yang aman, Islam yang tertegak mesti bermula dengan usaha memperbaiki diri. Terus menerus memperbaiki diri.

Kerana saya Muslim, dan Islam itu adalah apa yang terlahir daripada penghayatan saya padanya. Bagaimana mungkin saya mengangkat Islam, sedang ia sendiri tidak terlahir pada diri saya?

Dahulu, saya selalu terpaksa habiskan masa mencari-cari gambar-gambar cantik dan elok untuk dijadikan profile picture Facebook. Saya tak suka main letak sahaja mana-mana gambar. Gambar-gambar yang saya pilih, mesti ada mesejnya. Paling tidak ia menggambarkan apa yang saya rasa, atau apa yang saya citakan.

Jadi, saya terpaksa bergantung dengan nasib. Kalau jumpa gambar yang berkenan di hati, baru dapat saya gunakan. Ataupun, minta sahabat-sahabat untuk buatkan.

Lalu saya terfikir, saya ada idea, mengapa tidak saya belajar sahaja cara untuk design-nya, aplikasinya.

Lantas saya belajar menggunakan Fireworks, daripada sahabat saya. Perisian asas dan mudah untuk orang yang baru nak belajar designing macam saya.

Alhamdulillah, hari ini, bila saya ada idea, saya boleh buat sendiri. Tanpa perlu cari di internet, atau mengharap ihsan sahabat-sahabat. Dahulu, design header Suarafata pun minta tolong sahabat yang buatkan. Hari ini, saya buat sendiri (walaupun biasa-biasa saja). Saya berubah. Dahulu saya ada idea, tapi hari ini, saya ada idea dan kuasa. Kuasa untuk merealisasikan idea saya. Senyum.

Haha. Walaupun, apa yang saya kongsikan di atas ini adalah perubahan yang sangat kecil, yang penting ia adalah perubahan. Perubahan itu yang pentingnya, daripada buruk ke baik, atau biasa-biasa ke luar biasa. Biar kecil, asalkan ia terus menerus bertambah baik. Tak begitu kawan? Senyum.









3 comments:

  1. baik.saya akan berubah.bermula drp diri saya sendiri.

    ReplyDelete
  2. Apekah? Dua poster terakhir itu designnye idea kamu? Pergh!!!

    ReplyDelete
  3. Saya teringat, Amjad suka sangat buat design dengan warna-warna 'segar' begitu. Saya pun suka. Afiq Awang kata, warna macam 'beledo'. Hehe.

    ReplyDelete