Saturday, January 28, 2012

IKHTILAT itu Macam Gula & Garam

Kari masin dan sirap manis


Saya ke dapur. Jenguk Fateh yang sedang memasak.

"Nah, rasa!".

Sahabat saya itu menghulur sudu. Saya sambut, ceduk sedikit kuah kari yang sedang menggelegak di atas dapur tersebut, lalu mencicipnya setelah sejuk ditiup.

"Masinlah!"

Dia ambil sudu, dan merasa masakannya sendiri tak sabar.

"Mana ada! Tawar lagilah."

Lalu pantas tangannya dihulur, untuk mencapai garam.

Tambah lagi garam!?

"Wah. Mati sakit darah tinggilah ana nanti!"

"Haha. Sikit sajalah", bantah dia sambil galak ketawa.

Aduh. Saya tepuk dahi. Kalau hari-hari begini, memang darah tinggi betullah saya nanti.

"Ana buat air ya."

Syahmi pula muncul, datang sambil membimbit seplastik ais.

"Baru balik dari kedai ya?"

Dia angguk sambil bingkas mencapai jag, sudu, sirap dan gula.

Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima. Enam. Tujuh ... Sepuluh!

Wah. Sepuluh sudu gula untuk jag sederhana besar itu!

"Kelantan punya stail", ujar Syahmi sambil senyum. Agaknya dek kerana terlihat kerut di wajah saya yang terkejut.

"Hmmm. Baguslah, yang seorang masin, yang seorang lagi manis punya stail! Kalau muka itu sama manisnya tak apa lah", ujar saya.

Haha. Berderai tawa Fateh dan Syahmi. Meriah dapur kami petang itu.

Ikhtilat!

"Teruk juga ikhtilat di kampus kita ya?"

Fateh membuka cerita. Kami makan setalam. Suka makan begitu. Sambil bersila dekat-dekat, berkongsi bukan sahaja makanan, bahkan cerita-cerita. Waktu duduk sekali begini susah dicari, lantas waktu makan juga boleh jadi waktu sembang. Apa salahnya, selagi yang disembangkan itu yang baik-baik, kan?

"Ana ada dengar juga, khabar-khabar angin fasal kawan-kawan sekampus yang couple. Dating pun ada!", tambah Syahmi.

"Ha'ah. Yang paling tak boleh blah, student agama pun ada! Pakai purdah syeikh!", semangat Fateh bercerita, sambil mulut kembung penuh dengan nasi.

Haha. Saya geleng kepala. Kelakar melihat keletah Fateh.

"Kalau iya pun semangat, habiskanlah makanan dalam mulut dulu", tegur saya sambil tersenyum.

Berderai lagi tawa kami, sebelum Fateh tersedak dan mula meminta air sirap si Syahmi.

"Padan muka", kata Syahmi sambil menghulur segelas sirap Kelantannya.

Ikhtilat itu macam garam dan gula

Khali sejenak. Yang kedengaran hanya bunyi keriukan kipas yang ligat berpusing tepat di atas kepala kami. Sesekali deruman enjin kenderaan sayup-sayup dari jalan besar.

"Ikhtilat itu macam garam dan gula", ujar saya memecah sunyi.

Fateh dan Syahmi menghentikan suapan. Perlahan-lahan mengunyah, menghabiskan makanan di dalam mulut. Tertarik.

"Garam dan gula itu kan keperluan. Manalah sedap masakan tanpa garam dan gula, kan?"

Mereka angguk mengiyakan.

"Tapi, kalau garam dan gula itu terlebih kita masukkan, tak sedaplah masakan kita. Kari jadi terlebih masin, sirap terlebih manis."

Angguk lagi.

"Tapi, ada juga orang yang suka lebih masin, dan lebih manis."

Syahmi dan Fateh mengoyak senyuman, sambil menggangguk lagi.

"Yang suka lebih masin dan lebih manis ini lah yang bahaya. Silap haribulan seorang kena kencing manis, seorang lagi darah tinggi! Kencing manis boleh kena potong kaki tahu!"

"Wah! Tak baik tahu doakan orang benda tak elok", kata Syahmi.

"Bukan doalah kawan, tapi peringatan. Lagipun ana tak kata pada enta pun. Terasa kenapa? Haha", jawab saya.

"Haha. Pandailah dia auta. Jadi, apa kena mengena dengan ikhtilat tadi?", jampuk Fateh pula.

Jawab saya, "Ikhtilat ini macam garam dan gulalah".

"Ikhtilat ini makna asalnya percampuran. Maksudnya percampuran antara lelaki dan perempuanlah."

"Dalam konteks kita hari ini, ikhtilat ini boleh jadi satu keperluan. Misalnya dalam persatuan pelajar kita. Tak dapat tidak, nak mesyuarat, nak bincang sesetengah perkara, nak bergerak-kerja, kena juga kita berhubungan dengan pelajar perempuan. Terpaksa. Kalau tidak susah jadi kerja kita. Betul tak?"

Fateh angguk, lalu menjawab, "Betul. Banyak benda kena bercampur juga dengan pelajar perempuan. Dalam kuliah tak usah kiralah."

"Ha'ah. Nak nikah pun kena cari mereka!", Syahmi tiba-tiba mencelah.

"Itu lainlah! Ke situ pula perginya."

Saya panjangkan lagi sembang. Waktu makan sudah jadi waktu bersyarah.

"Tapi, seperti gula dan garam, ikhtilat tak boleh lebih daripada keperluan. Kalau lebih daripada keperluan..."

"Boleh jadi bahaya macam garam dan gula berlebihan, kan?", pantas Fateh mencelah.

Saya angguk. Tersenyum.

"Tapi, walaupun bahaya, dalam erti kata ke arah fitnah, ma'siat dan dosa, ada juga orang yang suka atau rasa biasa sahaja", tambah saya.

"Ha'ah. Macam budak-budak yang couple, sms, chating YM tanpa keperluan itu lah", tegas Syahmi pula.

"Iya. Ikhtilat di luar keperluan dan yang didorong nafsu itu dilarang Islam. Sama macam garam dan gula berlebihan yang boleh bawa penyakit yang menyebabkan kematian, ikhtilat berlebihan tanpa batas dan keperluan itu juga boleh menjerumus kita dalam lembah kesakitan. Mana tak sakitnya, hukuman dan azab Allah nanti", ujar saya lembut.

"Namun, ramai yang suka. Sebab kena dengan selera nafsunya. Rasa suka, gembira tanpa sedar betapa bahayanya kesukaan mereka itu".

Fateh dan Syahmi mengangguk setuju.

"Tugas kita, untuk sedar dan ingatkan kawan-kawan kita, kan?", ujar Fateh, separuh nada menyoal.

"Iya. Tugas kita. Jangan biarkan kawan-kawan kita asyik, terhanyut dek derasnya arus nafsu dan gelora remaja", jawab saya.

"Insyaallah!", serentak Fateh dan Syahmi bersuara. Sebelum Fateh batuk lagi, tersedak!

"Padan muka kuasa dua untuk enta", gurau Syahmi sambil menepuk-nepuk bahu sahabatnya sebelum tertawa.

Saya tersenyum, mengiringi tawa si Syahmi.

Usai makan, kami mengemas bersama. Basuh gelas dan talam yang digunakan.

"Nampaknya ana kena kurangkan gulalah nanti. Takut kena potong kaki. Eee...", kata Syahmi.

Haha. Dapur kami terus meriah.

Cinta

"Abang tak bercinta?"

Soal adik usrah saya yang sedang baring, meletak kepala di riba saya, beberapa tahun yang lalu.

Saya ketawa diterjah soalan begitu.

"Haha. Macam mana abang nak bercinta? Abang sibuk bercinta dengan entum semua."

"Uhibbukum, dik... Uhibbukum..."

2 comments:

  1. perbandingan yang bagus, senang faham.

    saya sama umur dengan awak dan saya jarang jumpa blog2 macam ni tulisan orang seusia saya. teruskan menulis :)

    ReplyDelete