Monday, December 12, 2011

First QALBU in Ukhuwwah!

Menitis. Saya menyeka air jernih yang mula mengalir di pipi cepat-cepat. Derum enjin tanda pedal minyak ditekan kedengaran. Teman-teman, adik beradik seperjuangan melambai-lambai dari dalam perut coaster. Dalam gigil sejuk malam, saya gagahkan senyuman biarpun hati sayu dan sebak dengan perpisahan.

Mereka pergi. Entah berapa jam lagi baru sampai ke rumah di Mafraq, Amman atau Irbid.

. . .


Alhamdulillah! Saya ucap syukur pada Allah, perhimpunan ukhuwwah seluruh mahasiswa tahun 1 Kelantan Jordan itu berlangsung dengan baik. Tidaklah sempurna kerana kelemahan itu tetap ada di mana-mana, namun salah dan silap di situ dan di sini itu tak jadi hal besar. Yang penting dapat jumpa adik beradik keluarga besar ini!

Program hanya jalan, sedang ukhuwwah dan redha Allah itu tujuan! Asalkan jalan itu benar, maka terjatuh dan tersembam sepanjangnya hanya ibarat asam garam rencah yang menyedapkan.

. . .


Bukan saya yang layak menerima kalungan tahniah. Ukhti Salsabiela binti Nasuruddin dan Ustazah Nurhidayah binti Mohd Padzil, merekalah yang terlebih layak untuk menerima penghargaan. Daripada merekalah cetusan idea program ini digerakkan. Saya cuma datang menampung di mana-mana yang diperlukan.

Juga tak lupa, teman-teman tim pelaksana program, Ikhwati Anas, Syakir, Saiful serta Akhawati Rabiatul Adawiyah, Asyikin dan Ain. Ustaz Ihsan Fadhli (YDP KMKJ), Ustaz Hayyi, Ustaz 'Che Karim' & Ustaz Syaukani juga tak kurang pentingnya bantuan dan sokongan yang mereka berikan.

Program itu tujuannya mudah, mengikat hati-hati jadi SATU kerana Allah. Insyaallah!

. . .


Jujurnya, sejak kali pertama menjejak kaki ke bumi Jordan, khususnya Mu'tah, belum pernah saya sebegini gembira. Melihat wajah teman-teman, mendengar suara mereka memanggil saya, memecah sunyi dengan hilai tawa ramai-ramai, sembang panjang dalam banyak cerita, kerenah-kerenah mereka, sengih si Ali Imran dan banyak lagi. Tak terungkap semuanya.

Ceria.

Gembira.

Kali ini, keluarga menjadi bertambah besar. Dahulunya, kami hanya kelompok kecil pelajar-pelajar seliaan Yayasan Islam Kelantan ke Jordan. Kali ini, sudah jadi keluarga Kelantan. Keluarga besar. Ada doktor, doktor gigi, ustaz dan ustazah serta ahli bahasa, insyaallah!

Dalam sesi wida' (majlis perpisahan) ringkas usai program, lidah saya kelu. Tak tahu apa yang nak diucapkan buat teman-teman. Kerana terlalu banyak yang hendak saya katakan, terlalu ramai yang mahu saya hargai sedangkan masa yang ada sangatlah singkat. Saya terpaksa menyimpulkannya, seringkas dan sepadat yang mungkin. Maka saya hilang kata-kata, kerana kalau boleh saya mahu cakap semua apa yang ada di dalam hati.

"Alhamdulillah . . ."

. . .


Itu sahaja yang termampu.

Saya teringat firman Allah dalam Surah Taha, ayat 17 - 18.
 
 وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَا مُوسَىٰ ﴿١٧

"Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"

  قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِ‌بُ أُخْرَ‌ىٰ ﴿١٨

Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".  


"Nabi Musa (salam sejahtera ke atasnya) ketika bertutur dengan Allah SWT, ditanya Allah tentang apa ditangannya."

Nabi Musa tidak menjawab sepatah sedangkan boleh sahaja dijawabnya : "Tongkat."

Nabi Musa bahkan memanjangkan jawapan Baginda. Kerana apa?

Kerana Baginda suka bercakap dengan Allah yang dicintainya.

Begitulah kita, manusia. Dengan orang orang yang kita kasihi, kita cintai, kalau boleh nak berlama-lama dengannya. Tak mahu berhenti bercakap dengannya.

Itu sahaja yang dapat saya katakan kepada adik beradik.

"Kalau boleh mahu jumpa kamu semua waktu bangun pagi esoknya. Kalau boleh nak terus bercakap dan bersembang panjang dengan kamu semua!"

Allahu allah . . .

. . .


Moga UKHUWWAH kita berkekalan, hingga ke syurga. Hatta mati sekalipun, tak akan memisahkan kita. Insyaallah!

. . .


Tulisan ini sebenarnya sudah lama saya karang. Sayangnya, tak dikongsikan di Suarafata. Walau sudah beberapa waktu berlalu sejak program itu, saya tetap mahu siarkan. Ini tribute untuk adik-beradik tahun 1 Kelantan Jordan yang saya kasihi.

Kalian, dekat di hati . . .
















0 comments:

Post a Comment