Monday, December 19, 2011

Dunia Ini Bukan Hanya Ada Kita

Setiap perkara, pasti akan ada CAUSE dan EFFECT-nya.

Pohon bergoyang, kerana ada angin yang meniupnya, ataupun budak nakal yang ingin makan buah menggoncangkannya. Ia tidak akan sesekali bergoyang sendiri, kecuali ia adalah pohon Whomping Willow dalam kisah dongeng Harry Potter (sudah tentulah kerana ia dongeng maka ia tidak akan berlaku dalam dunia realiti).

Ini dipanggil SUNNATULLAH. Ia adalah ketetapan Allah SWT.

Saya beri contoh lagi, tanam pohon durian, pasti akan tumbuh durian. Mustahil dari segi adatnya, yang tumbuh adalah pohon jagung, atau epal.

CAUSE & EFFECT adalah SUNNATULLAH.

Turun Bendera DS Najib di PWTC


Dalam isu mahasiswa menurunkan bendera DS Najib Razak di PWTC, dalam demontrasi dan perarakan mereka menuntut kebebasan berakademik dan pemansuhan AUKU tempoh hari, saya fikir kita mesti teliti perkara ini.
 
Yang mana satu cause (penyebab) dan yang mana satu effectnya (kesan/natijah).

Saya fikir, tindakan spontan menurunkan bendera itu, adalah effect (kesan) rasa kecewa dan marah mahasiswa ke atas kebobrokan pemerintah. Meskipun, tindakan itu sendiri ada kesannya (kerana seperti saya nyatakan awal-awal, bahawa setiap perkara ada cause & effectnya), namun mari kita lihat satu persatu.

Sebelum menempelak mahasiswa dengan cacian, makian dan apatah lagi ancaman ludahan, kita lihat KENAPA MAHASISWA BERTINDAK DEMIKIAN.
Kalaulah benar apa yang dilakukan mahasiswa itu satu kebiadaban, itu hanyalah sekelumit kecil daripada seluruh kebobrokan pemerintah hari ini. Menafikan hak, menutup kebebasan, menolak kebenaran, politik fitnah lagi kotor yang menjijikkan, rasuah dan ketirisan, itu adalah KEBIADABAN terbesar sepanjang sejarah manusia bertamadun.
Sebelum menyerang mahasiswa, tanya kenapa mereka berbuat demikian! 
'Boo' & Sorak Dalam Wacana

Samalah kesnya dalam sorak menyorak dalam wacana-wacana. Kerajaan negeri Kelantan biasa anjurkan wacana-wacana, atau perbahasan yang menampilkan figur-figur politik pelbagai parti dan juga akademia bebas. Dan dalam wacana-wacana ini, kita sering lihat hadirin menyorak dan meng'boo' panel, terutamanya panel parti pemerintah hari ini dan akademia yang condong ke 'sana'.
Sahabat-sahabat saya mengeluh, betapa tidak matangnya hadirin dalam berhadapan perbezaan pendapat. Saya iyakan. Namun, kita patut lihat kenapa hadirin bertindak demikian.
Ada antara mereka adalah penoreh getah, nelayan, peniaga kecil-kecilan. Nak datang ke wacana itupun, kadang-kadang terpaksa menumpang rakan-rakan yang berkenderaan. Mereka adalah rakyat yang paling terkesan dengan ketirisan pengurusan kerajaan. Merekalah yang paling terbeban.
Maka, apabila melihat sendiri pemimpin atau wakil pemerintah beretorik di hadapan mereka, siapa yang tahan?
Big Picture
Justeru, saya ajak diri dan teman-teman untuk melihat big picture sebenarnya. Apa isu sebenar, di sebalik kejadian demi kejadian.
Jangan salahkan mahasiswa sahaja. Sebab mahasiswa bertindak demikian, harus diteliti sama. Itu baru keadilan namanya!
Jangan juga kita terperangkap dengan mainan propaganda media & politikus. Isu sebenar adalah AUKU, tuntutan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara. Jangan perbincangan kita terfokus pada soal "Mahasiswa biadab atau tidak" sahaja.
Saya tidak bermaksud menyokong tindakan menyorak dan 'boo' seperti yang saya kisahkan. Saya cuma mengajak diri dan teman-teman, untuk kita selami hati dan fahami keadaan manusia lainnya.
Kerana . . . dunia ini bukan hanya ada kita . . .

0 comments:

Post a Comment