Monday, December 12, 2011

Biar Benar-benar Mahu Melawan

Saya menyapu malas, debu-debu yang melekat di komputer riba. Bilik kecil yang dikongsi saya dan seorang sahabat ini, tingkapnya menghadap jalan. Habuk dan debu jalanan sentiasa sahaja mencuri-curi masuk melalui celahan tingkap yang selalu tertutup sepanjang musim sejuk ini. Habuk dan debu itu akan melekat di kitab-kitab, pakaian, komputer, tilam dan di mana-mana sahaja! Jenuh disapu, ia tetap akan kembali juga selepas beberapa lama.

Saya teringatkan Suarafata. Saya 'datang', dan 'menyapu perlahan-lahan' habuk-habuk yang melekat padanya, dek terbiar terlalu lama.

Kata orang, blog kita mesti dikemaskini sentiasa.

Kalau tidak, akan mengecewakan pembaca yang 'singgah'.

Maka, saya pohon maaf pada sahabat-sahabat. Kalau-kalau ada yang merasa kecewa . . .

Maaf . . .

Saya tidak kering idea, tapi kontang rasa. Saya tulis, saya taip dan kemudiannya saya padam semula. Kitaran itulah yang berturut-turut berlaku, berlaku dan terus berlaku. Saat menggagahkan diri menulis yang ini pun, hati masih diselubungi rasa bimbang. Apakah tulisan yang ini juga akan melalui kitaran sama?

Insyaallah, tidak!

Saya baru sahaja membaca "Bumi Cinta". Sahabat-sahabat yang jadi kipas-susah-mati (die hard fan) kepada penulis prolifik Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazy) pasti sudah maklum dan baca adikarya ini.

* "Ah, aku selalu saja ketinggalan . . ."

. . .


Lewat 'kembara' saya menyoroti kelana hidup Muhammad Ayyas di bumi Moskow, Rusia sebagaimana yang dikisahkan Kang Abik, saya temui beberapa kesimpulan penuh makna.

Haha. Mungkin ada yang ketawakan saya. Daripada baca novel, baiklah buka kitab-kitab yang cantik tersusun di rak itu!

Saya kata, kitab itu memang nombor wahid. Tapi, apa salahnya kita ambil manfaat daripada pengkisahan yang intinya adalah hasil tadabbur wahyu, kan?

Saya temui keserasian dengan Muhammad Ayyas. Masalah yang dihadapinya, adalah masalah universal yang dihadapi syabab (pemuda) tak kira di belahan benua mana pun mereka berada.

Fitnah di mana-mana, dan keseronokan dunia itu terbentang di hadapan mata. Gelora nafsu remaja atau anak muda pula, bergelojak meronta-ronta minta dipuaskan. Aduh. Gelap mata.

Lalu bagaimana kita mampu bertahan? Bagaimana untuk terus gagah memelihara iman?

Soalan ini, Kang Abik jawab dengan baik menerusi Muhammad Ayyas. Disadurnya kisah Nabi Yusuf AS, dengan indah dan baik lantas menerangkan jalan kepada anak-anak muda, kepada saya.

Benar-benar mahu MELAWAN!

Saya simpulkan begitu. Bahawa Muhammad Ayyas itu, memang benar-benar ingin mempertahankan imannya. Benar-benar merasa jelek dengan ma'siat kepada Tuhannya.

Dia bukannya manusia ajaib, yang tidak tergiur dengan godaan. Dia manusia biasa, yang punya rasa, nafsu.

Namun, dia memelihara pandangannya.

Dia memukul rebah nafsunya! Tanpa belas kasihan!

Dia memohon ampun daripada Allah, tatkala terlanjur berma'siat . . .
Dia memperbanyak zikir dan istighfar . . .

BENAR-BENAR MAHU MELAWAN NAFSUNYA!

Dan, tatkala ujian itu tiba ke kemuncaknya, Si Linor dengan pakaian yang membangkit ghairah mana-mana lelaki normal sepertinya, datang menyerah kepada Ayyas. Umpama Zulaikha mendatangi Yusuf AS.

وَرَ‌اوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ اللَّـهِ ۖ إِنَّهُ رَ‌بِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ ﴿٢٣
- Surah Yusuf, ayat 23 -

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu".

Muhammad Ayyas tersepit di antara dua pilihan. Nafsu atau Tuhan. Tiada sesiapa yang melihat, pintu sudah tertutup rapat. Apatah pula berada di Moskow, kota manusia-manusia ramainya menolak Tuhan tetapi menyembah nafsu!

Tiada sesiapa melihat.

Rahsia antara dia dengan si wanita itu sahaja.

Ayyas terdorong, hingga bangkit berdiri. Dia bergerak menghampiri si wanita yang sedang menyerah.

  وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَن رَّ‌أَىٰ بُرْ‌هَانَ رَ‌بِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِ‌فَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ ﴿٢٤ 
- Surah Yusuf, ayat 24 -

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

Namun, Allah memeliharanya!

Hidupnya dari awal-awal lagi diserah kepada Tuhannya. Dia benar-benar berusaha memelihara imannya. Benar-benar mahu melawan kehendak nafsunya!

Lantas, di saat dia hampir-hampir kepada ma'siat, Allah membantunya. Mengembalikan kesedarannya. Memelihara iman dan maruahnya.

Si wanita diketepikan. Kerana, dia lebih takutkan Tuhan!

 . . .


Bencikan ma'siat, bukan hanya di bibir sahaja. Sedang hati, menerimanya. Biar benar-benar mahu melawan!

"Ah, Yusuf dan Ayyas itu orang soleh, Nabi. Allah pasti bantu sentiasa!"

Bukankah mereka manusia biasa seperti kita? Lelaki biasa?

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ‌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْ‌جُو لِقَاءَ رَ‌بِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِ‌كْ بِعِبَادَةِ رَ‌بِّهِ أَحَدًا ﴿١١٠
- Surah Al-Kahfi, ayat 110 -

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". 

Yang bezanya ialah, mereka benar-benar mahu melawan dan mengekang hawa nafsu. Bukan semata-mata, menyatakannya di bibir, bahkan betul-betul tersemat di hati rasa jelek dan benci kepada ma'siat serta rasa cinta dan kukuhnya iman!

قَالَ رَ‌بِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِ‌فْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ ﴿٣٣
- Surah Yusuf, ayat 33 -

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".   

Rela terpenjara, daripada berma'siat. Bukan sekadar mengungkap, tetapi benar-benar merasakannya, benar-benar memaksudkannya.

Penjara lebih mulia, daripada terhina dengan ma'siat.
Itulah yang dirasakan Yusuf AS, juga Ayyas. Kerana itulah, pertolongan ataupun kekuatan tatkala berhadapan dengan ujian itu tiba daripada Tuhan.

1 comment: