Suarafata

Bicara Minda dah Luahan Rasa Seorang Anak Muda.

Senyum. Sapa. Salam.

Senyum itu sedekah. Salam itu sunnah. Bertegur sapa mengerat ukhuwwah!

Muhasabah

Kredit untuk Khadimul Quran.

Muhasabah

Senyum dan terus melangkah.

Sang Murabbi

Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah.

Sunday, December 25, 2011

Pesan-pesan Buat Adinda MPP MML

Segala puji bagi Allah tuhan seru sekalian alam, kerana memilih dan menentukan saya untuk belajar dan mendewasa di Maahad Muhammadi Lelaki.  Sungguh tak terkira banyaknya, mutiara mutiara hikmah juga cinta demi cinta yang saya perolehi sepanjang kelana di sana.

Saya bersyukur. Syukur dan syukur!

Betapa besarnya erti Taman Maahadi itu dalam hati saya, hinggakan membenih rasa sayang dan cinta. Lantas subur rindu dan kasih padanya. Guru-guru, teman-teman, abang dan adik seperjuangan ; semuanya menggamit memori, kenangan demi kenangan.

Justeru, kerana rindu dan kasih itulah saya terpanggil untuk berpesan. Meski saya bukan siapa siapa dalam dunia besar Taman Maahadi itu. Saya cuma... seorang lepasannya yang sangat sangat menghargai mutiara da'wah dan tarbiyahnya...

Pesan ini saya tuju buat adinda adinda bakal pimpinan MPP. Khusus buat mereka, kerana merekalah tunggak dan pucuk tertinggi hierarki kepimpinan pelajar di sana.


MPP itu, besar peranannya. Tidak sedikit atau kecil tanggungjawabnya.

Mesti dipikul sungguh sungguh. Kerana ia amanah. Dan amanah itu nescaya dipersoal kelak oleh Tuhan pada saat seluruh makhluk tertunduk lemah di hadapan kekuasaan-Nya nanti.

MPP itu adalah simbol kesatuan, simbol perpaduan. Maka, satukanlah seluruh kepimpinan pelajar, atas satu landasan atau tujuan.

Apa landasannya, apa tujuannya?

DA'WAH DAN TARBIYAH.

Itulah titik temu seluruh kepimpinan, persatuan dan organisasi pelajar Taman Maahadi ini. Kalau kukuhnya bata kerana simen, maka kukuhnya kesatuan seluruh kepimpinan adalah dengan MPP. Semua digabung jalin atas matlamat yang sama. Memikul beban da'wah yang sama. Sinergi.

Justeru, tidak dapat tidak, da'wah itu sendiri mesti dihadam dan dicerna baik baik oleh sekalian MPP. Tak kira dari latar belakang yang bagaimana sekalipun kalian semua, atau kedudukan apa pun yang menjadikan kalian ahli MPP.

Jangan sesekali mengatakan, "Aku berportfolio sukan, maka da'wah bukan tugas aku."

Tidak! Sama sekali tidak. Kalau bukan kerana MPP pun, tugas da'wah itu adalah kerja setiap kita. Apatah lagi sebagai MPP.

Maka, da'wah dan tarbiyah itu mesti jadi agenda utama MPP! Gerakkan, satukan seluruh kepimpinan pelajar MML, atas matlamat yang sama ; MEMPERKASA KERJA KERJA DA'WAH DAN TARBIYAH MML!

Fahami da'wah dan tarbiyah.

Jadikan ia agenda utama MPP.

Satukan organisasi dan kepimpinan pelajar atas matlamat da'wah yang sama.

Firman Allah SWT, dalam Surah Ali-Imran, ayat yang ke 104 :

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ‌ وَيَأْمُرُ‌ونَ بِالْمَعْرُ‌وفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ‌ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Muhammad, ayat yang ke 7 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُ‌وا اللَّـهَ يَنصُرْ‌كُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ ﴿٧

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

Insyaallah. Saya ucapkan selamat berjuang!

Wednesday, December 21, 2011

Selamat Berusrah Bro!


Kata orang, usrah adalah proses penurunan fikrah. Saya ingat, senior di Taman Maahadi dahulu, pernah nyatakan pada saya begitu.

Hari ini, saya fikir usrah adalah untuk membina hubungan.

Fikrah bukan untuk dipaksa-paksa. Ia datang dengan kefahaman. Kefahaman tak tercapai, tanpa persefahaman. Ertinya tak dapat tidak, ia kembali kepada soal berhubungan.

Membina hubungan.

Kenapa kata begitu? Usrah kan untuk bentuk fikrah?

Saya kata, lihatlah pada rukun usrah.

Taaruf, tafahhum dan takaful.

Saling berkenalan, bersefahaman. Dan takaful. Apa dia takaful?

Asalnya daripada kalimah كفل . Membawa makna, jamin.

Adik-adik usrah di Taman Maahadi pernah tanya, apa erti takaful? Saya tanya semula, "Di mana enta pernah jumpa takaful?"

Khali. 

Angkat bahu. Geleng-geleng.

"Ingat baik-baik. Di mana enta biasa jumpa kalimah takaful?"

"Ahah, takaful nasional!", teriak seorang adik usrah.

Saya tanya semula, "Apa makna takaful nasional?"

"Insurans", berdengung suara mereka menggumam.

"Hah! Apa dia insurans?", saya menambah persoalan.

"Kalau motor hilang, dapat ganti semula", jawab mereka.

"Jadi, risau tak motor hilang?"

"Risau juga, tapi tak risau sangat. Sebab ada insurans".

Saya kata, itulah takaful. Kita jamin sahabat kita.

"Ooo... jadi takaful bukan tolong-menolonglah?"

Ia lebih hebat daripada tolong-menolong. Saya menguntum senyum.

Dalam perjalanan kita atas jalanan da'wah ini, kita tak jadi gusar kerana adanya takaful.

Lemah? Ada teman yang akan mendorong menguatkan.

Letih? Akan ada yang bantu memapah, terus berjalan.

Rebah? Pasti ada yang menghulur tangan membantu berdiri semula.

"Takaful bukan setakat bila lapar, belanja nasi paprik di kantin atau kongsi makan gula-gula koperasi."

Berderai tawa. Haha. Senyum saya mengiringi tawa mereka.

Bukankah ketiga-tiga rukun usrah itu cerminan kepada proses pembinaan hubungan?

Namun, ketiga-tiga rukun usrah itu boleh juga dilihat dari sisi lain.

Taaruf bererti kita sama-sama berusaha mengenali Islam. Selanjutnya, ber'tafahhum' dengannya. Dan kemuncaknya, memberi jaminan kepada Islam bahawa diri kita, tenaga, harta, masa dan jiwa adalah untuk perjuangannya.

. . .

* Semoga Allah SWT menganugerahi sifu saya sebesar-besar ganjarannya atas pencerahan ini. Senyum.

* Dan untuk adik-adik Nuqaba' Jilul Nasr, juga bakal Nuqaba' di Taman Maahadi dan siapa-siapa pun yang berusrah, saya ucapkan "SELAMAT BERUSRAH, BRO!"

* Ah, dan hakikatnya, usrah ada misi besar. MELAHIRKAN INDIVIDU MUSLIM.

Tuesday, December 20, 2011

Hidup Sejarah Kerana Hidupnya Anak Muda!

"Ketahuilah! Sejarah itu ada, kerana adanya pemuda. Sejarah itupun hidup kerana hidup para pemuda.

Begitu tegas Ustaz Dzulkhairi Mohd. Noor, menerusi ucapan dasarnya dalam Muktamar GAMIS kali ke-18, sesi 2008. 

Seribu empat ratus lima puluh tiga masihi, kira-kira lima ratus lima puluh lapan tahun yang lalu, sejarah mencatat. Hassan Ululbate, anak muda berani itu berlari.

Dia berlari mengibar dan membawa panji. Berlari tanpa henti, meski panah demi panah musuh dari segenap jihat menghunjam diri!

Akhirnya, panji Islam itu dipacak tegak di benteng Konstantinopel, di kemuncak tertinggi!

Si anak muda syahid dalam misinya. Namun ketumbukan tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh seolah-olah beroleh semangat luar biasa tatkala melihat panji Islam berkibar megah. Dalam gegak gempita laungan takbir, mereka menyerbu musuh!

Padu, padu! Keras, keras!

Hari ini. Tahun dua ribu sebelas masihi. Benarlah anak muda itu pelakar sejarah. 

Kalau dahulu ada Hassan pembawa panji, hari ini kita ada ADAM ADLI! Si berani yang menjatuhkan bendera kuasawan durhaka, lantas digantinya panji kebebasan bersuara!

Biar bersemarak semangat seluruh anak muda, pencinta keadilan & kebenaran!


Kita rempuh, kita roboh! Kita asak, kita lawan! Biar tumbang rejim zalim itu! Hari ini bendera, esok kita turunkan mereka dari tampuk kuasa!

Padu, padu! Keras, keras!

Sejarah hidup, kerana hidupnya anak muda!

Hidup yang bagaimana!?

"Bercahaya ruhaninya, mengakar pemikirannya dan berkembang gerakannya!"

Monday, December 19, 2011

Dunia Ini Bukan Hanya Ada Kita

Setiap perkara, pasti akan ada CAUSE dan EFFECT-nya.

Pohon bergoyang, kerana ada angin yang meniupnya, ataupun budak nakal yang ingin makan buah menggoncangkannya. Ia tidak akan sesekali bergoyang sendiri, kecuali ia adalah pohon Whomping Willow dalam kisah dongeng Harry Potter (sudah tentulah kerana ia dongeng maka ia tidak akan berlaku dalam dunia realiti).

Ini dipanggil SUNNATULLAH. Ia adalah ketetapan Allah SWT.

Saya beri contoh lagi, tanam pohon durian, pasti akan tumbuh durian. Mustahil dari segi adatnya, yang tumbuh adalah pohon jagung, atau epal.

CAUSE & EFFECT adalah SUNNATULLAH.

Turun Bendera DS Najib di PWTC


Dalam isu mahasiswa menurunkan bendera DS Najib Razak di PWTC, dalam demontrasi dan perarakan mereka menuntut kebebasan berakademik dan pemansuhan AUKU tempoh hari, saya fikir kita mesti teliti perkara ini.
 
Yang mana satu cause (penyebab) dan yang mana satu effectnya (kesan/natijah).

Saya fikir, tindakan spontan menurunkan bendera itu, adalah effect (kesan) rasa kecewa dan marah mahasiswa ke atas kebobrokan pemerintah. Meskipun, tindakan itu sendiri ada kesannya (kerana seperti saya nyatakan awal-awal, bahawa setiap perkara ada cause & effectnya), namun mari kita lihat satu persatu.

Sebelum menempelak mahasiswa dengan cacian, makian dan apatah lagi ancaman ludahan, kita lihat KENAPA MAHASISWA BERTINDAK DEMIKIAN.
Kalaulah benar apa yang dilakukan mahasiswa itu satu kebiadaban, itu hanyalah sekelumit kecil daripada seluruh kebobrokan pemerintah hari ini. Menafikan hak, menutup kebebasan, menolak kebenaran, politik fitnah lagi kotor yang menjijikkan, rasuah dan ketirisan, itu adalah KEBIADABAN terbesar sepanjang sejarah manusia bertamadun.
Sebelum menyerang mahasiswa, tanya kenapa mereka berbuat demikian! 
'Boo' & Sorak Dalam Wacana

Samalah kesnya dalam sorak menyorak dalam wacana-wacana. Kerajaan negeri Kelantan biasa anjurkan wacana-wacana, atau perbahasan yang menampilkan figur-figur politik pelbagai parti dan juga akademia bebas. Dan dalam wacana-wacana ini, kita sering lihat hadirin menyorak dan meng'boo' panel, terutamanya panel parti pemerintah hari ini dan akademia yang condong ke 'sana'.
Sahabat-sahabat saya mengeluh, betapa tidak matangnya hadirin dalam berhadapan perbezaan pendapat. Saya iyakan. Namun, kita patut lihat kenapa hadirin bertindak demikian.
Ada antara mereka adalah penoreh getah, nelayan, peniaga kecil-kecilan. Nak datang ke wacana itupun, kadang-kadang terpaksa menumpang rakan-rakan yang berkenderaan. Mereka adalah rakyat yang paling terkesan dengan ketirisan pengurusan kerajaan. Merekalah yang paling terbeban.
Maka, apabila melihat sendiri pemimpin atau wakil pemerintah beretorik di hadapan mereka, siapa yang tahan?
Big Picture
Justeru, saya ajak diri dan teman-teman untuk melihat big picture sebenarnya. Apa isu sebenar, di sebalik kejadian demi kejadian.
Jangan salahkan mahasiswa sahaja. Sebab mahasiswa bertindak demikian, harus diteliti sama. Itu baru keadilan namanya!
Jangan juga kita terperangkap dengan mainan propaganda media & politikus. Isu sebenar adalah AUKU, tuntutan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara. Jangan perbincangan kita terfokus pada soal "Mahasiswa biadab atau tidak" sahaja.
Saya tidak bermaksud menyokong tindakan menyorak dan 'boo' seperti yang saya kisahkan. Saya cuma mengajak diri dan teman-teman, untuk kita selami hati dan fahami keadaan manusia lainnya.
Kerana . . . dunia ini bukan hanya ada kita . . .

Monday, December 12, 2011

Biar Benar-benar Mahu Melawan

Saya menyapu malas, debu-debu yang melekat di komputer riba. Bilik kecil yang dikongsi saya dan seorang sahabat ini, tingkapnya menghadap jalan. Habuk dan debu jalanan sentiasa sahaja mencuri-curi masuk melalui celahan tingkap yang selalu tertutup sepanjang musim sejuk ini. Habuk dan debu itu akan melekat di kitab-kitab, pakaian, komputer, tilam dan di mana-mana sahaja! Jenuh disapu, ia tetap akan kembali juga selepas beberapa lama.

Saya teringatkan Suarafata. Saya 'datang', dan 'menyapu perlahan-lahan' habuk-habuk yang melekat padanya, dek terbiar terlalu lama.

Kata orang, blog kita mesti dikemaskini sentiasa.

Kalau tidak, akan mengecewakan pembaca yang 'singgah'.

Maka, saya pohon maaf pada sahabat-sahabat. Kalau-kalau ada yang merasa kecewa . . .

Maaf . . .

Saya tidak kering idea, tapi kontang rasa. Saya tulis, saya taip dan kemudiannya saya padam semula. Kitaran itulah yang berturut-turut berlaku, berlaku dan terus berlaku. Saat menggagahkan diri menulis yang ini pun, hati masih diselubungi rasa bimbang. Apakah tulisan yang ini juga akan melalui kitaran sama?

Insyaallah, tidak!

Saya baru sahaja membaca "Bumi Cinta". Sahabat-sahabat yang jadi kipas-susah-mati (die hard fan) kepada penulis prolifik Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazy) pasti sudah maklum dan baca adikarya ini.

* "Ah, aku selalu saja ketinggalan . . ."

. . .


Lewat 'kembara' saya menyoroti kelana hidup Muhammad Ayyas di bumi Moskow, Rusia sebagaimana yang dikisahkan Kang Abik, saya temui beberapa kesimpulan penuh makna.

Haha. Mungkin ada yang ketawakan saya. Daripada baca novel, baiklah buka kitab-kitab yang cantik tersusun di rak itu!

Saya kata, kitab itu memang nombor wahid. Tapi, apa salahnya kita ambil manfaat daripada pengkisahan yang intinya adalah hasil tadabbur wahyu, kan?

Saya temui keserasian dengan Muhammad Ayyas. Masalah yang dihadapinya, adalah masalah universal yang dihadapi syabab (pemuda) tak kira di belahan benua mana pun mereka berada.

Fitnah di mana-mana, dan keseronokan dunia itu terbentang di hadapan mata. Gelora nafsu remaja atau anak muda pula, bergelojak meronta-ronta minta dipuaskan. Aduh. Gelap mata.

Lalu bagaimana kita mampu bertahan? Bagaimana untuk terus gagah memelihara iman?

Soalan ini, Kang Abik jawab dengan baik menerusi Muhammad Ayyas. Disadurnya kisah Nabi Yusuf AS, dengan indah dan baik lantas menerangkan jalan kepada anak-anak muda, kepada saya.

Benar-benar mahu MELAWAN!

Saya simpulkan begitu. Bahawa Muhammad Ayyas itu, memang benar-benar ingin mempertahankan imannya. Benar-benar merasa jelek dengan ma'siat kepada Tuhannya.

Dia bukannya manusia ajaib, yang tidak tergiur dengan godaan. Dia manusia biasa, yang punya rasa, nafsu.

Namun, dia memelihara pandangannya.

Dia memukul rebah nafsunya! Tanpa belas kasihan!

Dia memohon ampun daripada Allah, tatkala terlanjur berma'siat . . .
Dia memperbanyak zikir dan istighfar . . .

BENAR-BENAR MAHU MELAWAN NAFSUNYA!

Dan, tatkala ujian itu tiba ke kemuncaknya, Si Linor dengan pakaian yang membangkit ghairah mana-mana lelaki normal sepertinya, datang menyerah kepada Ayyas. Umpama Zulaikha mendatangi Yusuf AS.

وَرَ‌اوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ اللَّـهِ ۖ إِنَّهُ رَ‌بِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ ﴿٢٣
- Surah Yusuf, ayat 23 -

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu".

Muhammad Ayyas tersepit di antara dua pilihan. Nafsu atau Tuhan. Tiada sesiapa yang melihat, pintu sudah tertutup rapat. Apatah pula berada di Moskow, kota manusia-manusia ramainya menolak Tuhan tetapi menyembah nafsu!

Tiada sesiapa melihat.

Rahsia antara dia dengan si wanita itu sahaja.

Ayyas terdorong, hingga bangkit berdiri. Dia bergerak menghampiri si wanita yang sedang menyerah.

  وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَن رَّ‌أَىٰ بُرْ‌هَانَ رَ‌بِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِ‌فَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ ﴿٢٤ 
- Surah Yusuf, ayat 24 -

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

Namun, Allah memeliharanya!

Hidupnya dari awal-awal lagi diserah kepada Tuhannya. Dia benar-benar berusaha memelihara imannya. Benar-benar mahu melawan kehendak nafsunya!

Lantas, di saat dia hampir-hampir kepada ma'siat, Allah membantunya. Mengembalikan kesedarannya. Memelihara iman dan maruahnya.

Si wanita diketepikan. Kerana, dia lebih takutkan Tuhan!

 . . .


Bencikan ma'siat, bukan hanya di bibir sahaja. Sedang hati, menerimanya. Biar benar-benar mahu melawan!

"Ah, Yusuf dan Ayyas itu orang soleh, Nabi. Allah pasti bantu sentiasa!"

Bukankah mereka manusia biasa seperti kita? Lelaki biasa?

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ‌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْ‌جُو لِقَاءَ رَ‌بِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِ‌كْ بِعِبَادَةِ رَ‌بِّهِ أَحَدًا ﴿١١٠
- Surah Al-Kahfi, ayat 110 -

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". 

Yang bezanya ialah, mereka benar-benar mahu melawan dan mengekang hawa nafsu. Bukan semata-mata, menyatakannya di bibir, bahkan betul-betul tersemat di hati rasa jelek dan benci kepada ma'siat serta rasa cinta dan kukuhnya iman!

قَالَ رَ‌بِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِ‌فْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ ﴿٣٣
- Surah Yusuf, ayat 33 -

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".   

Rela terpenjara, daripada berma'siat. Bukan sekadar mengungkap, tetapi benar-benar merasakannya, benar-benar memaksudkannya.

Penjara lebih mulia, daripada terhina dengan ma'siat.
Itulah yang dirasakan Yusuf AS, juga Ayyas. Kerana itulah, pertolongan ataupun kekuatan tatkala berhadapan dengan ujian itu tiba daripada Tuhan.

First QALBU in Ukhuwwah!

Menitis. Saya menyeka air jernih yang mula mengalir di pipi cepat-cepat. Derum enjin tanda pedal minyak ditekan kedengaran. Teman-teman, adik beradik seperjuangan melambai-lambai dari dalam perut coaster. Dalam gigil sejuk malam, saya gagahkan senyuman biarpun hati sayu dan sebak dengan perpisahan.

Mereka pergi. Entah berapa jam lagi baru sampai ke rumah di Mafraq, Amman atau Irbid.

. . .


Alhamdulillah! Saya ucap syukur pada Allah, perhimpunan ukhuwwah seluruh mahasiswa tahun 1 Kelantan Jordan itu berlangsung dengan baik. Tidaklah sempurna kerana kelemahan itu tetap ada di mana-mana, namun salah dan silap di situ dan di sini itu tak jadi hal besar. Yang penting dapat jumpa adik beradik keluarga besar ini!

Program hanya jalan, sedang ukhuwwah dan redha Allah itu tujuan! Asalkan jalan itu benar, maka terjatuh dan tersembam sepanjangnya hanya ibarat asam garam rencah yang menyedapkan.

. . .


Bukan saya yang layak menerima kalungan tahniah. Ukhti Salsabiela binti Nasuruddin dan Ustazah Nurhidayah binti Mohd Padzil, merekalah yang terlebih layak untuk menerima penghargaan. Daripada merekalah cetusan idea program ini digerakkan. Saya cuma datang menampung di mana-mana yang diperlukan.

Juga tak lupa, teman-teman tim pelaksana program, Ikhwati Anas, Syakir, Saiful serta Akhawati Rabiatul Adawiyah, Asyikin dan Ain. Ustaz Ihsan Fadhli (YDP KMKJ), Ustaz Hayyi, Ustaz 'Che Karim' & Ustaz Syaukani juga tak kurang pentingnya bantuan dan sokongan yang mereka berikan.

Program itu tujuannya mudah, mengikat hati-hati jadi SATU kerana Allah. Insyaallah!

. . .


Jujurnya, sejak kali pertama menjejak kaki ke bumi Jordan, khususnya Mu'tah, belum pernah saya sebegini gembira. Melihat wajah teman-teman, mendengar suara mereka memanggil saya, memecah sunyi dengan hilai tawa ramai-ramai, sembang panjang dalam banyak cerita, kerenah-kerenah mereka, sengih si Ali Imran dan banyak lagi. Tak terungkap semuanya.

Ceria.

Gembira.

Kali ini, keluarga menjadi bertambah besar. Dahulunya, kami hanya kelompok kecil pelajar-pelajar seliaan Yayasan Islam Kelantan ke Jordan. Kali ini, sudah jadi keluarga Kelantan. Keluarga besar. Ada doktor, doktor gigi, ustaz dan ustazah serta ahli bahasa, insyaallah!

Dalam sesi wida' (majlis perpisahan) ringkas usai program, lidah saya kelu. Tak tahu apa yang nak diucapkan buat teman-teman. Kerana terlalu banyak yang hendak saya katakan, terlalu ramai yang mahu saya hargai sedangkan masa yang ada sangatlah singkat. Saya terpaksa menyimpulkannya, seringkas dan sepadat yang mungkin. Maka saya hilang kata-kata, kerana kalau boleh saya mahu cakap semua apa yang ada di dalam hati.

"Alhamdulillah . . ."

. . .


Itu sahaja yang termampu.

Saya teringat firman Allah dalam Surah Taha, ayat 17 - 18.
 
 وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَا مُوسَىٰ ﴿١٧

"Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"

  قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِ‌بُ أُخْرَ‌ىٰ ﴿١٨

Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".  


"Nabi Musa (salam sejahtera ke atasnya) ketika bertutur dengan Allah SWT, ditanya Allah tentang apa ditangannya."

Nabi Musa tidak menjawab sepatah sedangkan boleh sahaja dijawabnya : "Tongkat."

Nabi Musa bahkan memanjangkan jawapan Baginda. Kerana apa?

Kerana Baginda suka bercakap dengan Allah yang dicintainya.

Begitulah kita, manusia. Dengan orang orang yang kita kasihi, kita cintai, kalau boleh nak berlama-lama dengannya. Tak mahu berhenti bercakap dengannya.

Itu sahaja yang dapat saya katakan kepada adik beradik.

"Kalau boleh mahu jumpa kamu semua waktu bangun pagi esoknya. Kalau boleh nak terus bercakap dan bersembang panjang dengan kamu semua!"

Allahu allah . . .

. . .


Moga UKHUWWAH kita berkekalan, hingga ke syurga. Hatta mati sekalipun, tak akan memisahkan kita. Insyaallah!

. . .


Tulisan ini sebenarnya sudah lama saya karang. Sayangnya, tak dikongsikan di Suarafata. Walau sudah beberapa waktu berlalu sejak program itu, saya tetap mahu siarkan. Ini tribute untuk adik-beradik tahun 1 Kelantan Jordan yang saya kasihi.

Kalian, dekat di hati . . .