Tuesday, October 4, 2011

(Ulang Siar) Ayuh Anak Muda, Bangkit Menggegar Negara


Akhir-akhir ini, banyak kali saya dilontar persoalan - apakah Surat Terbuka untuk DS Najib Razak dan DS Rosmah Mansur sampai ke tangan mereka?

Saya ulangsiarkan entri ini, moga-moga ia menjelaskan persoalan teman-teman. Insyaallah. Jazaaka/illah.

AlhamduliLlah, setingginya syukur kepada Allah. Juga selawat serta salam kepada Junjungan Mulia, RasuluLlah SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta sekalian Ulama', Umara' dan Pejuang-pejuang Islam yang tetap tegar di atas jalan perjuangan menegakkan kalimah Tauhid yang menjadi Sunnah dan Perintah daripada Baginda SAW.

Syukur kepada Allah, yang menggerakkan hati sahabat-sahabat seperjuangan (dan mungkin seteru!?) untuk meneliti karangan saya. Jutaan penghargaan buat semua sokongan yang kalian berikan, juga buat doa yang dipanjatkan.

Tidak kira, respon yang saya terima daripada sisi positif atau sebaliknya, tetap ia memberi manfaat pada saya. Samada untuk saya jadikan ia semangat yang mendorong, nasihat yang memandu ataupun peringatan untuk saya bermuhasabah.

Ramai dalam kalangan mereka yang prihatin terhadap saya, kesal dengan 'keberanian' saya menyatakan nama penuh dan umur saya. Kata mereka, bimbang dicari orang-orang yang 'berniat jahat', bimbang dikenakan apa-apa tindakan yang tidak munasabah nanti.


AlhamduliLlah, syukur kepada Allah yang meletakkan kasih pada saya di dalam hati kalian. Tetapi, InsyaAllah.. tak akan ada apa-apa yang buruk bakal menimpa saya. Saya tidak melanggar undang-undang bukan? Saya juga belum terikat lagi dengan akta-akta kuku besi yang memenjara minda dan suara anak muda. Dan kalau ada apa-apa yang menimpa (NauzubiLlah..), saya yakin, Allah akan 'menghantar' kalian semua untuk 'berdiri' bersama saya, berhadapan dengan rejim tirani itu nanti.

Persoalan surat ini, sampai atau tidak kepada YAB Dato' Seri PM, adalah persoalan ketiga, keempat ataupun kelima, bagi saya. Apa yang lebih penting adalah, saudara dan sahabat sekalian. Iya, memanglah saya menulis untuk beliau, namun sasaran saya adalah kalian.

Saya mahu menghantar isyarat, betapa seorang anak muda, mempunyai kekuatan untuk bersuara. Justeru, saya memberi isyarat, mengajak kalian semua juga untuk bersama. Agar kelak, semua anak muda, yang punya maruah dan harga diri, akal yang sihat dan jiwa yang sedar, akan sama-sama bersuara. Akan sama-sama bertegas dengan mereka yang punya kuasa dan menyalahgunakannya!

Sahabat-sahabat semua, kita anak muda punya kekuatan dan semangat. Punya keinginan dan kehendak yang kuat. Ayuh, mari sama-sama kita satukan suara, padukan tenaga, untuk digembleng sehebat-hebatnya, demi 'membebaskan' negara dan ummah tercinta, yang telah sekian lama 'terbelenggu'!

Allah SWT telah memberi perintah, menerusi kalamNya yang Mulia, di dalam Surah al-Kahfi, ayat ke-13 dan 14 :



Yang bermaksud : Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya, mereka adalah PEMUDA-PEMUDA yang berIMAN kepada Tuhan mereka, dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka (13).

Dan kami teguhkan hati mereka, ketika mereka BERDIRI lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru Tuhan selain Dia, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang menyimpang jauh daripada kebenaran (14)"

Sahabat-sahabat sekalian, ciri-ciri pemuda perkasa itu, paling kurang 4, sebagaimana diisyaratkan menerusi ayat tersebut.

Pertama, mereka berIman kepada Allah.

Kedua, mereka diberi petunjuk dan bantuan oleh Allah SWT.

Ketiga, hati mereka teguh dan terikat kerana Allah.

Keempat, mereka bukanlah golongan yang duduk berdiam diri, bergoyang kaki dan hanya memuaskan tembolok sendiri, bahkan mereka adalah PEMUDA, yang BANGKIT, BANGUN dan bertegas, bahawa mereka hanya menghambakan diri kepada Dia, Raja Segala Raja.

Ayuh pemuda, mari kita bangkit berdiri, ayuh kita perangi habis-habisan, sistem kehidupan caca-merba yang mengkultuskan manusia Penguasa, dan menghambakan rakyat jelata yang tidak berdaya, serta sesiapapun yang menjadi dalang disebaliknya!

Samada kita perangi mereka dengan senjata kasih-sayang, mahupun (mungkin) ketegasan, BUAT TETAP.. BUAT!!

Usah ditunggu hari tua, atau nanti hari layak mengundi baharu teraba-raba mencari arah, tentukan sikap dan pendirian kalian sekarang juga, wahai Anak Muda!

Biar orang-orang tua kita, tersenyum bangga melihat anak-anak muda, bangkit bersuara dan bergerak, mengibar obor dan panji Kebenaran.

Ayuh anak muda, bangkit dan mari kita bersama, GEGARKAN negara!!

0 comments:

Post a Comment