Friday, October 14, 2011

Termenung, terkenang dan terfikir

Foto gerbang di medan Mutah : ihsan blog http://rosemujahid.blogspot.com

Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah (Radhiyalluh anhum ajma'in). Mereka adalah nama-nama besar dalam sejarah Mutah. Baginda Nabi SAW menyerah panji kepada panglima pertama, Zaid bin Harithah dengan pesan sekiranya beliau gugur maka diganti dengan panglima kedua, Jaafar bin Abi Talib. Andai gugur jua Jaafar, maka panji Islam dibawa pula panglima ketiga, Abdullah bin Rawahah. Andai gugur ketiga-tiga mereka, maka bermusyawarahlah untuk memilih panglima dalam kalangan mereka yang thiqah (terpercaya).

Rasulullah SAW tidak berpesan kosong. Ada erti tersirat, Baginda mengisyarat. Bahawa ketiga-tiga sahabat itu bakal gugur syahid.

Maka gugurlah mereka. Para syuhada, para peminang bidadari. Para pencinta kematian, sebagaimana musuh mereka menyintai kehidupan.

Jaafar bin Abi Talib diberi gelaran, Jaafar At-Tayyar. Kisahnya maaruf. Sahabat itu memegang panji dengan tangan kanannya, ditetak musuh. Terkulai tangannya. Disambar panji Islam tercinta dengan tangan kiri pula. Lagi dilibas musuh. Putus.

Darah bercucuran, tak peduli! Pedih, tak peduli!

Allah. Allah. Allah. Allahu allah!

Syahid beliau akhirnya. Dengan puluhan kesan tikaman di seluruh tubuh sucinya. Dengan kudung kedua-dua tangannya. Diriwayatkan, didapati pada jasad Jaafar bin Abi Talib 90 liang luka. Baik luka kerana tikaman pedang mahupun hunjaman tombak.

Maka Nabi bersabda, bahawa akan diganti kedua-dua tangan itu dengan sayap, nanti di syurga.

Subhanallah!

Justeru digelar akan beliau, Jaafar At-Tayyar (burung).

**************************************************

Maaf. Lagi-lagi kisah ma'rakah Mutah.

Klise?

Entah.

Idea datang daripada minda, dan minda - bahkan hati ini - asyik teringat ingat pada peristiwa ini.

Saban hari melintasi medan itu untuk ke jami'ah, saya tak dapat lari dari mengenangnya. Merenung bahawa betapa hebat dan besar ibrah di sebalik peristiwanya. Sesekali fikiran saya biar terbang menerawang, cuba membayang-bayang bagaimana suasana pada Jamadil Awwal tahun 8 Hijrah itu. Pertempuran dahsyat itu, dengan jumlah kekuatan anggota tentera yang ketara jauh bezanya.

Undur tidak sesekali! Samada menang, atau syahid!

**************************************************

Saya termenung.

Betapa Allah  mengangkat darjat penuntut ilmu setaraf dengan mereka yang berjihad.

Ada makna tersirat.

Ia bukan semata tasyrifat (kemuliaan). Bahkan ia TAKLIFAT (tanggungjawab)!

Allah!

Pejuang-pejuang Islam itu, mereka berjuang dengan jiwa. Saya!? Hanya wang, untuk menampung kos pengajian, kos sara diri di bumi orang. Itupun, bukan saya yang bersusah membanting tulang. Ummi yang bertungkus lumus ke sana ke mari, mengurusi permohonan-permohonan bantuan kewangan. Rakan-rakan seperjuangannya juga turut banyak menyumbang. Ahli-ahli jemaah pun tak kurangnya. Daripada kaum keluarga usah dikiralah.

Jadi?

Apakah dengan pengorbanan kecil (dari pihak diri saya sendiri - Ummi, Abi, keluarga dan semua yang menyumbang banyak berkorban) ini boleh menjadikan saya setaraf dengan mereka yang berjihad di medan juang itu?

Maknanya, di sana pasti ada amanah besar.

**************************************************


Ini bukan momokan untuk menakut-nakutkan. Ini peringatan. Saya memperingati diri.

"Kamu ada amanah besar, Muizz! Datang ke sini bukan untuk bermain-main! Kamu ada janji yang harus ditunai. Kamu ada tanggungjawab yang mesti dilangsai sebaiknya."

Bahawa ilmu itu, adalah amanah. Peluang menuntut ilmu ini, juga adalah amanah. Jangan dipersia-siakannya.

2 comments: