Sunday, October 23, 2011

Selamat Bercinta!


Kali pertama saya kenal USRAH adalah di rumah. Tepatnya, di rumah sewa kami sekeluarga, di kampung Merchang, daerah Marang, Terengganu. Saya fikir-fikir, tahun itu ialah tahun 2004 atau sebelumnya.

Ummi yang memperkenalkan kepada kami semua. Usai solat Maghrib, Ummi panggil kami adik beradik, dan kami duduk dalam halaqah (bulatan) di sampingnya. Ummi kata, ini Usrah. Usrah itu keluarga, ada 'cara-caranya'. Kena kenal, kena faham dan saling bantu membantu.

Jujurnya, waktu itu saya bukan faham benar. Tetapi, waktu kecil-kecil saya, kerapkali Ummi berusrah. Serba sedikit saya sudah tahu.

Tahun 2005 saya ke Ma'had Muhammadi Lelaki. Di Taman Maahadi itu, saya bersama usrah lagi.

Dalam hati berbunga rasa, suka dan ceria, "Aku ada USRAH!"

Saya tenung wajah sahabat-sahabat, pada wajah Naqib. Ada Kelantan, ada Kedah, ada Selangor . . . Pendek kata macam-macam ada! Pelbagai ragam, rupa, rasa . . .

Saya jatuh sayang pada Naqib. Pada adik beradik seusrah. Sungguh-sungguh saya hadir, tak terlepas walau sekali tanpa sebab yang benar-benar mendesak. Alhamdulillah.

2006, saya pula yang memikul amanah mengemudi usrah. Aduh, saya tak pandai. Benar-benar muda untuk memikul beban sebesar itu. Namun syukur saya panjatkan pada Allah SWT, bukan sedikit yang dapat saya belajar melalui pengalaman-pengalaman ini . . .

Di sini, di Mutah, saya temui usrah lagi. Setelah diari tarbawi diri saya menyepi sekian waktu - dek lagha, leka, lalai - saya kembali berusrah.

Usrah pertama kami di dalam gelap, nun atas sana di bumbung Pusat Khidmat Mahasiswa PERMATA (PUSKMA). Kami bertaaruf, berusaha untuk saling memahami. Cuba berkongsi rasa, berkongsi cerita.

Dalam hati saya, rasa teruja! Adik beradik usrah saya, hebat-hebat belaka. Alhamdulillah. Pasti banyak saya perolehi hikmah dan ilmu sepanjang kelana bersama mereka.

Naqib kami, Ustaz Zubair. Lembut tutur katanya, tenang-tenang sahaja . . .

Maka, saya gembira Allah takdirkan saya bersama mereka! Terima kasih Ya Allah! Alhamdulillah, syukur, syukur dan syukur!

Kami pun berusrah . . .

'Kenyang' minda dan ruh dengan pesan-pesan Naqib kami, juga selingan daripada teman-teman.

Namun, semua ini menggamit memori . . .

Segala kenang-kenangan lalu terimbas kembali . . .

Sejak awal-awal dahulu . . .

Teringat Ummi berpergian, lalu saya bertanya adik bongsu ke mana Ummi pergi. Dijawabnya dalam pelat si kecil, "Uterah . . ."

Haha. Saya ketawa dalam hati mengingatnya kembali.

Kemudian kenangan di Taman Maahadi. Makan bersuapan, tidur sebantal, bahkan kadang-kadang di bahu mahupun riba teman-teman. Subhanallah, tak mampu nak ungkap satu-satu. Hati sedang runtun mengingatnya, mengungkapnya buatkan saya syahdu. Entah-entah empang air mata ini gagal saya tahan mengingat kenangan-kenangan itu, tak fasal-fasal menimbul kepelikan Arab di sebelah yang asyik mengulangkaji.


Kesempatan usrah akhir saya di bumi Malaysia, ialah bersama teman-teman STAM - Afiq Awang, Anas Abd Rahman, Muzakkir Abdullah, Muaz Notfi, Ezuwan Zailani, Mukhlis Suhaimi, Wan Farid, Idlan Ibrahim, Afiq Syafirin, Abdullah Zawawi, Hafiz Sabri, Aiman Ismail - dan Naqib kami, murabbi kami ialah Ustaz Saizol bin Ismail. Kami panggil beliau, Abe Jo.

Subhanallah.

Kami kembali kepada asas dalam usrah itu. Bersama-sama murajaah dan menelaah kitab karangan almarhum Ustaz Fathi Yakan (semoga Allah SWT merahmatinya) Apa Ertinya Saya Menganut Islam.

Kami mulakan dengan mengalun 99 nama Allah bersama-sama. Bergetar hati . . .

Syahdu . . .

Rindu . . .

Kemudian, salah seorang antara kami akan memberi tazkirah. Jarang sekali saya yang kena, kerana sayalah yang memilih siapa, saya ketua. Senyum.

Kemudian, salah seorang akan membaca satu isi daripada kitab Maza Ya'ni itu. Kemudian, hurai. Kami bincang, tidak memandai-mandai, kami tahu batasan ilmu kami, sesekali tidak melangkauinya. Kami lebih kepada mencari erti di sebalik erti. Kalau Ustaz Fathi Yakan menulis erti-erti menganut Islam, maka kami mencari erti-erti di sebalik pesan-pesan nukilan beliau.

Kefahaman kami bercambah. Ilmu bertambah. Ukhuwwah semakin erat, hati-hati menjadi satu. Cinta . . .

Kadang-kadang usrah hanya sejam. Santai dan bual selepas itu, sambil menghadap teh panas dan kek pisang yang membuatkan usrah 'jadi panjang'.

Setiap Selasa malam. Begitulah, jadi rutin kami sepanjang pengajian tahun akhir di Taman Maahadi itu.

Hari ini, apabila berusrah, saya terkenangkan Selasa malam itu.

Apabila datang masalah, saya terkenangkan waktu mengadu kepada Naqib dan adik beradik usrah.

Terkenang wajah teman-teman, yang sudah jadi adik beradik seperjuangan.

Rindu menjadikan bahu mereka tempat sandar.

Rindu menjadikan riba mereka alas melepas lelah dan kantuk.

Rindu berdakap erat sebelum masing-masing berpapasan pulang usai usrah.

Rindu . . .

Usrah hari ini, bukan cinta baharu. Bukan cerita baharu. Ia sambungan cinta dan cerita yang lalu. Insyaallah!

"Ustaz Zubair beritahu kami di mana untuk bertemu, maka di sanalah kami menantimu. Insyaallah!"

Dan untuk seluruh teman-teman seperjuangan, sefikrah dan seamal, sehati dan se-ribath, yang sama dalam usrah-usrah ini, saya katakan "Selamat BERCINTA!"

*** Usrah di rumah, Ummi, Abi & adik-adik apatah lagi dirindui . . . 


2 comments: