Thursday, October 13, 2011

Nafar - Inzar - Amanah



"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."

Sudah berapa puluh kali, ayat 122 daripada Surah Taubah itu dibacakan kepada kami. Berulang-ulang kali. Kami diceritakan bahawa betapa besarnya darjat penuntut ilmu itu - sama taraf dengan jihad di medan ma'rakah!

Genderang perang Tabuk berkumandang saat musim menuai. Tika tamar sedang meranum masak itu, Rasulullah SAW menyeru para sahabat turun ke medan. Hitam kata Rasul, hitam juga kata mereka. Putih kata Baginda, putihlah jua. Maka sahabat menurut perintah.

Namun, sudah suratan-Nya, 3 orang sahabat ketinggalan. Mulanya bertangguh sementara, berlengah-lengah untuk mencuri kesempatan di celah kegentingan bagi menuai tamar. Akhirnya tertinggal terus, tidak sempat bersama ke medan.

Maka, Rasulullah SAW memberi pengajaran yang tegas dan sangat memberi kesan - mereka dipulaukan! Isteri disuruh menjauhi suami, sahabat-sahabat tidak bertegur sapa. Penjual tidak mahu berniaga, pembeli tidak mahu membeli. Bahkan Nabi SAW memalingkan wajah Baginda yang mulia daripada Ka'ab bin Malik saat sahabat itu mendatangi Baginda memberi salam.

Hancur hati. Entah bagaimana pedihnya rasa hati Ka'ab, tidak dipeduli oleh Baginda Nabi SAW.

Pedih. Perit. Dunia yang luas ini terasa sempit, sesempit-sempitnya!

Pengajaran itu cukup bermakna.


"Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani."

*** Surah Taubah, ayat 118 ***

Apabila Ka'ab bin Malik mengikat diri di hadapan Masjid Nabi mohon diampunkan, dek tak tertanggungnya akan pengajaran daripada Nabi SAW itu, turunlah ayat pengampunan daripada Allah SWT. Berlarian para sahabat mendapatkan mereka yang dihukum. Tak bertegur sapa kerana perintah dari Rasul, tiada sedetik pun benci dalam hati. Apatah lagi iri atau dengki kerana dapat ponteng seruan perang.

Para sahabat mendapat pengajaran yang sangat berkesan. Perang-perang selepas itu, dan hatta misi-misi kecil sekalipun, para sahabat turun semuanya tanpa ada yang lengah. Hingga Nabi SAW ditinggal keseorangan di Madinah.

Maka turun ayat 122 Surah Taubah itu.

Janganlah kesemuanya pergi berperang, harus ada sekelompok yang NAFAR ke medan ilmu bagi memberi inzar - peringatan - kepada ummah.

Ayat ini makhkota bagi penuntut ilmu. Benarlah ia pengiktirafan daripada Allah SWT kepada penuntut ilmu. Sama darjat dengan mereka yang berjihad di medan perang.

Bangga? Bangga jadi penuntut ilmu? Tidak salah. Bersyukurlah. Patutlah merasa gembira kerana dipilih Allah SWT untuk menjadi penuntut ilmu.

Namun, harus KITA ingat!

Perang itu susah dan payah. Bukan sedikit pengorbanan yang dicurah. Bukan hanya harta, tenaga dan masa yang dicurah. Bahkan NYAWA digadai! Usah dikiralah keseronokan demi keseronokan yang sudah menjadi kebiasaan yang terpaksa ditinggalkan.

"Jadi kamu fikir, kamu diberi pengiktirafan dan kehormatan setinggi itu sekadar PERCUMA!?"

Bentak saya pada diri sendiri. Monolog. Saya lepaskan pandangan jauh, sejauh mata mampu memandang daripada bukaan tingkap rumah sewa.

"Bukan percuma. Ada harganya", saya menjawab sendiri pertanyaan hati.

Pengiktirafan itu datang dengan AMANAH. Memberi INZAR kepada UMMAH.

Inzar itu kerja para Nabi. Jalan ilmu itu juga jalan Nabi dan pewarisnya.

Amat tidak memadailah andai nafar sejauh ini, dan kerja kita hanya keluar masuk bilik kuliyah. Apa yang disyarah doktor, maka itu sahajalah yang kita faham. Rugi. Rugi yang amat.

Berjalan atas jalan warisan Nabi ini menuntut kita mempersiapkan diri, dalam segenap segi. Kemahiran-kemahiran yang menjadi tuntutan massa hari ini, perlu kita kuasai. Melalui Usrah, program-program pengajian tambahan, program-program anjuran persatuan dan sebagainya. Bermasyarakat dalam erti kata, melatih diri untuk memberi sumbangan kepada masyarakat pelajar di sini, saling berkongsi bukan hanya menerima.

Kemahiran-kemahiran soft skill, ilmu-ilmu luar bilik kuliyah, takkan kita dapati dengan hanya bersendirian. Harus berada dalam jemaah.

Jangan kita semata ghairah mengejar ilmu, tetapi amalannya, perkongsiannya sesama kita, harus bergerak seiring. Kerana bukankah ERTI HIDUP INI PADA MEMBERI? Erti ilmu juga pada memberikannya kembali. Ilmu yang tidak 'mengalir', umpama air yang bertakung. Lama kelamaan membusuk!

Kita sendiri harus keluar dari kepompong. Harus bebas daripada takungan. Keluar daripada kebiasaan-kebiasaan sebelum ini ke arah yang lebih baik. Minda harus luas, berfikir mesti jauh ke hadapan. Sepatutnya sudah ada dalam kepala, apa yang akan kita BERI untuk ummah waktu pulangnya kita nanti.

Anak panah yang tidak meluncur keluar daripada busurnya, adalah anak panah yang tidak digeruni.

Pesan al-fadhil Ustaz Muhammad Hussin Fauzi, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ), "Kalian adalah aset masyarakat, yang dipinjamkan ke sini. Dan masyarakat menunggu kepulangan kalian nanti."

Amanah di pundak kita besar, teman-teman. Sama-sama kita siapkan diri bermula detik ini. 

Insyaallah! Allahuakbar!

1 comment: