Monday, October 17, 2011

Jangan Jadi Sekadar Adat



Betapa hari ini, Al-Fatihah dan Tasbih Kifarah serta Al-Asr menjadi bacaan-bacaan adat sewaktu memulai dan menangguh majlis, kita hanya membacanya sekadar lalu lepas di mulut. 

Apabila pengerusi majlis mengajak supaya seluruh hadirin sama-sama membacanya, kita hanya mengungkap tanpa 'rasa'.

Mulut terkumat-kamit, sedang tangan galak bergurau, mata liar memandang keliling, fikiran menerawang merata-rata entah jauh ke hujung dunia dan hati apatah lagi.

Rugilah kita, rugi . . .

Saya teringatkan kenangan-kenangan bersama murabbi abna'ul harakah di taman Maahadi, Al-Fadhil Ustaz Syed Ahmad Riduan. Betapa beliau sentiasa menegaskan kepada kami supaya bacaan-bacaan memulai dan menangguh majlis itu dibaca dengan baik.

Tenang, tartil dan tajwid. Khusyu' . . .

Samalah dengan lafaz syukur, selawat dan doa waktu kita memulai ucapan.

Malanglah andai syukur yang kita lafazkan itu sekadar jadi penghias ucapan. Bukan datang daripada rasa syukur yang benar-benar sedang kita rasai di hati. Rugilah andai selawat-selawat kepada Baginda Nabi SAW itu hanya kosmetik buat penyedap mukaddimah ucapan, bukan kerana cinta yang terpahat dalam sanubari ini kepada Baginda Nabi SAW.

Apabila ibadat sekadar jadi adat . . .

Kosong, tanpa erti. Mungkin lafaz-lafaz ‘kosong’ ini tetap memberi pahala, tetapi tidak mendidik hati . . .


As-Syahid Imam Hassan al-Banna (semoga Allah SWT merahmati beliau) melihat dan menyedari akan hal ini.

Lafaz salam yang sesama Muslim hanya jadi kebiasaan, sedang ia kosong tanpa makna. Salam di mulut, tetapi tangan mereka, hati mereka, kata-kata mereka kerap kali menyakiti sesama saudara.

Maka apabila memulai ucapannya, Imam Hassan al-Banna mengungkapkan kata-kata yang masyhur ini.

أحيكم بتحية الاسلام
تحية من عند الله
طيبة مباركة
يقولها الناس عادة
ونقولها عبادة
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

0 comments:

Post a Comment