Wednesday, October 19, 2011

Gelar Ustaz-ustazah itu AMANAH!

Dengan nama Allah, dan selawat serta salam kepada Rasulullah SAW.


Saya tidak pasti bagaimana halnya di tempat-tempat lain. Di Jordan, khususnya jami'ah kami ini, Jami'ah Mu'tah, pensyarah-pensyarah yang berkelulusan Master diberi gelaran Sayyid. Manakala pensyarah yang memilik PhD pula dipanggil Doktor. Doktor-doktor yang berkelulusan LEBIH DARIPADA SATU PhD pula mendapat gelaran USTAZ! Ustaz di sini bermaksud Professor. (Namun, kebiasaannya semua pensyarah akan tetap dipanggil Doktor)

Para professor ini, dalam urusan-urusan rasmi, pada nama mereka akan diletakkan gelaran Ustaz dan kemudiannya Doktor. Misalnya, Ustaz Doktor Amin Butush (salah seorang pensyarah kami dalam kelas Ulum Quran dan sebagainya. Beliau memiliki 3 Phd!).

Besar benar gelaran Ustaz itu di sini. Berbeza situasinya di negara kita bukan?

Apatah lagi kami, sebaik sahaja menjejak kaki ke bumi Jordan ini, terus sahaja dipanggil Ustaz untuk pelajar-pelajar syabab (lelaki) dan Ustazah untuk pelajar-pelajar akhawat (perempuan).

Wah! Perasan hebat? Rasa hebat benarkah sampai berbahasa Ustaz-ustazah?

Ada juga yang mengelak dipanggil Ustaz. Saya sendiri bahkan.

"Eh, janganlah panggil Ustaz-ustaz. Ana tak layak dipanggil Ustaz. Panggil biasa-biasa cukuplah."

Entah berapa kali saya ulang kata-kata ini waktu awal-awal sampai.

Jadi, sekarang sudah boleh terima dipanggil Ustaz?

Tidaklah terima sampai suka, cuma saya tukar cara 'memandang'nya.

Janganlah panggilan Ustaz-ustazah itu dianggap sebagai satu kebesaran. Apatah lagi berasa mulia dengannya. Bangga.

Anggaplah ia tazkirah daripada teman-temanmu yang memanggilmu begitu. Setiap kali seseorang menggelarmu Ustaz-ustazah, anggaplah yang dia sedang mengingatkanmu dengan beban amanah besar yang sedang tergalas di pundakmu.

Ada sahabat-sahabat yang mengeluh, rasa 'gerun' mahu pulang ke rumah. Pasti masyarakat memandang tinggi dan menaruh harapan besar kepada Ustaz-ustazah ini. Saya juga rasa begitu, jauh di dalam hati.

Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh siap-siapkan diri!

Insyaallah! Allahuakbar!

Tak guna meratapi kematian demi kematian bayi yang dibuang saban hari. Sia-sia menangisi punahnya nilai-nilai manusiawi, sekiranya kaki masih bergoyang-goyang penuh rehat. Diri tidak sudah-sudah dibelai manja dengan segala macam keseronokan. Minda tumpul tidak mahu memikir masa depan ummah, pada bagaimana cara kita mengangkatnya kembali!

Teman-teman, adik beradik seperjuangan,
Biar kita jadi Jilul Nasril Mansyud! Generasi pemuda-pemudi, syabab dan akhawat yang dinanti-nanti, yang ditunggu-tunggu lahirnya.

Kitalah pembebas, kitalah harapan. Di pundak terpikul beban, ummah mesti diselamatkan!

Saya naqalkan (quote) pesan seorang sahabat . . .

"Aliran jernih ILMU itulah yg akan membersihkan keruh di takungan HATI. Kita pewaris para ANBIYA'! Kita pengganti para SYUHADA'! Kita khadam para ULAMA'! Justeru, harus 'asyik' & more eager!"

Iya! Menuntut ilmu mesti asyik! Mesti 'eager'! Insyaallah.


2 comments:

  1. Salam 'alaik...

    Mase balik malaysia aritu, jumpe kengkawan yg agak pandang sdikit sinis dengan gaya plaja2 timur tengah yg panggil sesame mereka ustaz ustzh. dia kabo klw kat mesir tuh, dak2 medik, panggil sesame depe doktor gak (tak tahula tu), tp papehal pun moh kite sesame anggap tu sebagai cabaran tuk merealisasikan gelaran tersebut.

    * 1st time D.K. bagi komen kat blog ni. Nulis slalu ye ustz! (^^,)

    ReplyDelete