Friday, September 30, 2011

Life Planning


"Ana takut, ana tak cukup bersedia untuk memimpin masyarakat waktu pulang nanti."

"Ana lihat, mahasiswa perlu ada visi dan misi. Supaya nanti, waktu turun ke medan realiti, mereka nampak ke mana untuk bawa masyarakat, dan tahu bagaimana jalan ke sana."

"Malangnya, ana sekarang ini, rasa seperti tak punya visi dan misi itu. Ana hanya banyak memberi respon kepada perkembangan di sekitar ana. Tidak cukup kuat untuk mencetus atau memulai, sekadar jadi pengekor di belakang. Ana rasa seperti tak punya wawasan bahkan!"

"Ana cuba bayangkan, ana diberi amanah memimpin masyarakat sekarang. Ana gagal fikirkan apa yang mahu ana laksanakan. Apa yang terbayang, hanyalah menyambung kerja-kerja pemimpin sebelumnya, dan mungkin dengan sedikit penambahbaikan."

Panjang lebar luahan saya kepada akhi Syafiq Shah pagi itu. Ruang udara Mu'tah diselubungi kabus. Kami sedang berehat di musalla Kuliyah Syariah yang bertempat di tingkat atas sekali, sambil menunggu kelas berikutnya selepas Zohor.

Senior tahun 2 yang sama dengan saya dalam takhassus Usuluddin itu, yang kami panggil Abang Long diam sebentar. Saya mengoyak senyuman. "Faham tak?", panjang huraian saya untuk soalan yang pendek asalnya - Bagaimana saya mahu jadi mahasiswa yang sedia turun ke medan?

Dan hari itu, sepertimana waktu-waktu lain saya bersamanya, saya perolehi mutiara hikmah daripadanya.

"Enta baca Ayat-ayat Cinta?", tanya beliau.

Saya angguk.

"Enta ingat Fahri bertukar life planning dengan Aisyah?".

Saya angguk lagi.

"Itu sebenarnya satu pengajaran berharga dalam cerita tersebut. Tapi malangnya kita hanya nampak kisah cintanya", sambung beliau lagi.

Menulis life planning sebenarnya satu perkara penting dalam hidup. Kita letakkan beberapa matlamat, atau checkpoint kelana hidup ini. Supaya kita ada sasaran, apa dan bila akan kita capai dalam beberapa tempoh.

Pesan Abang Long pada saya, "Sebelum punya wawasan, visi dan misi untuk masyarakat, untuk ummah, maka enta mestilah terlebih dahulu punya wawasan untuk kehidupan enta sendiri."

Waktu itu saya sedar. Benarlah. Saya sendiri tak punya sasaran dalam kehidupan peribadi, dan sekarang saya bercakap mengenai sasaran dan wawasan untuk ummah? Untuk memimpin ummah? Saya malu sendiri.

Menulis matlamat hidup, sasaran-sasaran dan jangka masa tempoh untuk dicapai, sebenarnya adalah aplikasi konsep tawakkal dalam sudut psikologi dan motivasi. Kita menulis sasaran-sasaran itu, ia jadi doa. Kita nyatakan harapan tersebut dengan pena dan dakwat, dalam masa sama sebenarnya kita turut tuangkan keyakinan dan kesungguhan, doa serta harapan kepada Rabbul Jalil.

Seiring pula dengan usaha dan gerak kerja yang berpadanan dengan cita-cita dan matlamat tersebut, Insyaallah dipermudahkan jalannya oleh Allah SWT. Baru benar-benar bermakna konsep tawakkal.

Kalau tak tulis tak mengapa?

Saya terfikir juga. Namun bagi saya, setiap cita-cita dan matlamat itu mesti jelas. Mesti realistik, mampu digapai dan punya jangka masa sasaran. Ada bezanya antara angan-angan dan impian, dengan cita-cita dan matlamat. Harapan yang sekadar terpendam di lubuk hati, mudah benar untuk tinggal harapan, tinggal impian, sekadar mimpi. Kerana kita tak cukup bersungguh untuk mengangkatnya ke realiti dengan (sebagai permulaan) menulisnya keluar dari minda dan hati.

Saban hari jika kita melihat cita-cita kita, atau sasaran hidup kita yang tertulis, ianya akan mengaktifkan mindset kita, seterusnya menggerakkan diri kita secara tidak langsung untuk mencapainya.

Namun, semuanya kembali kepada bagaimana kita berusaha. Usaha mesti seiring dengan tawakkal.

Saya sedang siapkan life planning saya, teman-teman bagaimana? Ayuh! Kita susun dan rancang kehidupan kita, persiap dan pimpin diri. Agar kita bisa memimpin ummah suatu hari nanti. Insyaallah!

2 comments:

  1. syukran atas perkongsian..
    bru tersedar kepentingan life planning..

    ReplyDelete