Saturday, September 24, 2011

Catatan Awal Kembara


Hentak. Gegar. Kapal terbang Royal Jordanian itu mendarat kasar. Tanpa saya sedari, tangan saya sudah mencengkam penyandar lengan kerusi. Dan apabila kapal terbang mulai perlahan, kedengaran suara kapten kapal mengucap syukur dan memaklumkan penumpang bahawa kami semua selamat tiba ke Lapangan Terbang Queen Alia, Amman, Jordan. Dia juga memaklumi kami akan suhu dan keadaan cuaca di luar dalam bahasa Arab yang sedikit-sedikit berjaya saya tangkap.

Kami mula tersenyum sesama sendiri, kedengaran suara menggumam rakan-rakan yang teruja. Ada juga yang galak bergurau. Saya teringat pesan Ustazah Aisyah Husna, guru Maharah Kalam di Kursus Intensif Bahasa Arab, "Langkah pertama biar dengan kaki kanan."

Saya mula berkira-kira, di bahagian yang mana saya akan langkahkan kaki kanan saya nanti. Saya berjalan turuti rakan-rakan, membalas senyum peramugari dan kapten kapal yang menunggu kami di pintu kapal.

Dan, akhirnya saya melangkah keluar sambil terpinga-pinga, entah kaki mana yang saya langkahkan tadi waktu keluar. Aduh!

Kami mulai tersenyum sesama kami, cuba mengawal keterujaan yang melanda hebat di hati - rasa nak melompat!

Saya segera memaklumi semua ketibaan di Amman, melalui mesej dan Twitter. Risau Ummi, Abi dan keluarga risaukan saya. "Abang selamat! Sini sejuk. Brr."

Kami dibawa abang-abang yang menjemput kami di lapangan terbang ke mantiqah masing-masing. Saya dan rakan-rakan Jami'ah Mu'tah menaiki bas dan safar kami itu dipimpin Ustaz Mohd Nazri bin Mat Yassin, Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah Jordan (PERMATA).

Mengantuk. Sangat-sangat. Tetapi mata tidak mahu pejam lama-lama. Saya terlelap sebentar cuma. Rasa teruja melihat persekitaran baharu menang besar ke atas rasa mengantuk.

Terkenang kisah-kisah diceritakan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam "Rindu Bau Pohon Tin". Saya perhatikan gaung dan gunung di kiri dan kanan jalan. Gunung. Gaung. Gunung. Gaung.

Perjalanan kami kali itu, istimewa. Kami dibawa masuk ke Jami'ah melalui pintu utamanya - "Bab Syimali" panggilannya.

Dalam hati terdetik rasa, "Aku dah jadi MAHASISWA! Wah!"

Saya percaya, dan yakin pesan langkah kaki sebelah kanan itu adalah mengambil sunnah Baginda SAW yang memulai perkara-perkara baik dengan sebelah yang kanan. Makan dengan tangan kanan. Masuk ke masjid dengan kaki kanan. Keluar dari tandas dengan kaki kanan. Namun, yang lebih penting untuk kembara panjang saya ini - nafar - adalah 'langkah' NIAT 'yang kanan'.

Saya percaya itulah maksud di sebalik pesanan Ustaz dan Ustazah, iaitu "Perbetul dan perbaiki niat!"

Biar niat itu niat yang 'kanan'.

Gembira, selamat tiba ke medan juang ini. Medan hebat yang bakal menguji kepahlawanan dan keperkasaan sebenar pemuda-pemuda. "Allah, bantu aku!"

Saya berjalan-jalan, melewati pohon zaitun merendang. Tercari-cari yang mana satu pohon tin, cuba untuk merasai sendiri bagaimana baunya - Rindu Bau Pohon Tin. Becok mulut saya bertanya sahabat, yang lama menunggu tibanya saya ke bumi ini - Anas Abd Rahman. Jumpa pohon itu, saya tanya. Jumpa pohon ini pula, saya tanya. "Ini panggil apa?"

"Itu panggil apa?"

"Kalau nak begini, macam mana nak sebut dalam bahasa Arab?"

Dan dia sentiasa dengan senyum, menjawab soalan-soalan saya.

Saya gembira dan selesa dengan adat Arab, yang ramah-tamah dan ringan benar memberi salam. Sebaik sahaja beri salam, pasti akan ditanya, "Keif haalak?"

Kalau masuk ke kedai-kedai, memang terasa janggal yang amat sekiranya tidak memberi salam. Hidup benar salam. Harap-harapnya, nilai dan erti sebenar di sebalik salam itu turut hidup seiringan. Nah, satu pelajaran baik untuk saya bawa pulang nanti! (Wah, sudah fikir mahu pulang?)

*kata sahabat saya Nik Faiz, yang setahun berkelana di bumi Syria, "Ramah orang Syria lebih hebat!"

Setiap hari, bermula 2 hari lepas, untuk ke jami'ah, saya akan melintasi medan ma'rakah Mu'tah. Medan hebat, yang menjadi saksi benarnya janji para sahabat Rasulullah SAW. Kisahnya dimaklumi semua, Zaid bin Harithah gugur syahid, diganti Jaa'far bin Abi Talib. Gugur jua. Diganti pula oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga mereka gugur di medan itu, gugur demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya!

Dan sahabat-sahabat yang mulia itu, dapat saya ziarahi. Hati bergelodak rasa, bangga, hiba bercampur baur. Terasa hampir benar dengan Baginda Rasulullah SAW - setidaknya paling hampir saya berjaya pergi (Allah, hantarkan aku kepada Kekasih-Mu pula). Saya beri salam, dan saya sampaikan salam daripada Ummi, Abi, keluarga dan teman-teman kepada sahabat-sahabat tersebut.

Mereka tidak mati! Bahkan hidup di sisi Tuhan mereka.

[Surah Al-Baqarah, ayat 154]


"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) matibahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya."

Medan Mu'tah, dan ziarahi para sahabat itu adalah kekuatan ruh untuk saya. Teringat-ingat, kisah Mu'tah yang itu, yang kerapkali saya ulang-ceritakan buat adik-adik Usrah. Dan, berada hampir dengan medan itu, dan dekat pula dengan Sahabat, benar-benar menghidupkan hati saya. Insyaallah.

"Ya Allah, ampuni dosa aku. Sucikan hatiku, biar ia jadi subur agar tumbuh taqwa apabila diairi ilmu-ilmu Mu nanti"







2 comments:

  1. subhanallah.
    tahniah sahabat..
    teruskan perjuangan..
    istiqamah dalam perubahan..
    doakan kami disini...

    ReplyDelete
  2. waaaah. best-nya Din. hmm, lepas ni belajaq rajin rajin Din. nanti dah abes, balek Malaysia, bawak segala pengalaman ilmu dan pedoman buat adek adek kat sini ea.

    all the best akhi. =)

    ReplyDelete