Friday, September 30, 2011

Apa Salahnya SANFUR?


Aku Bukan Sanfur!

"Enta sanfur?", tanya Arab itu kepada saya.

Saya geleng kepala. Saya tak mahu mengaku 'budak mentah'.

"Ana thalib jadid, sanah ula", saya membalasnya dengan senyum penuh makna.

Selepas bersalam-salam dan bertanya khabar, Arab itu berlalu pergi. Abang Long di sebelah bertanya dengan nada penuh makna, "Enta faham apa dia sanfur?"

"Budak mentah?", saya menjawab soalan dengan soalan.

"Apa salahnya kita mengaku kita budak baru atau mentah sekalipun dalam lapangan ilmu ini? Hinakah mengaku kita masih kurang ilmu?", tanya beliau kembali.

Tersentak. Saya terdiam.

Antara Mengaku Kurang Ilmu dengan Menipu

"Cuba bayangkan, kalau kita tidak mengaku kita baharu, apatah lagi menipu - mengaku sudah belajar di tahun 2 misalnya - dan Arab itu pula berbual dengan kita seperti caranya berbual dengan pelajar tahun 2?", Abang Long menimbulkan persoalan kepada saya.

"Rasanya bertambah malu apabila kita hanya melopong tidak faham apa yang dibualkan Arab itu. Lebih baik kita mengaku kita budak baharu, dan Arab itu akan bertutur dengan perlahan dan baik supaya kita dapat memahaminya."

Saya mengangguk setuju. Benar.

Bayangkan, seseorang datang kepada kita dan merendah-rendahkan kita. Marah? Memanglah! Tapi kerana apa? Sudah tentu kerana kita merasa diri lebih 'tinggi' atau lebih baik daripada yang didakwa.

Merasa diri lebih hebat.

Sedangkan, telah berkata Saiyidina Ali KWJH (sepertimana yang kerap diceritakan kepada saya oleh sahabat saya yang tercinta Muhd Afiq Awang Bakar), "Lembah yang paling dalam, ialah lembah yang akan menakung air paling banyak".

Maka, dalam konteks 'menadah' ilmu ini, kalau kita rasakan diri tinggi, sedikit benarlah ilmu yang berjaya kita takungi. Sedangkan seseorang yang meletak dirinya rendah - dengan maksud sedia menuntut ilmu, sedia ditarbiyah, sedia ditunjuk ajar, sedia disuruh suruh dalam proses belajar ini - Insyaallah akan dipermudahkan Allah urusannya.

Sedar Diri

Jadi, sekarang saya mengaku sanfur? Tidaklah sampai menceceh-ceceh mengumum kepada Arab-arab yang lalu, "Aku budak baru, aku budak baru."

Tetapi, hari ini saya bangun pagi, berjalan melalui kaki lima berdebu pekan Mu'tah, melewati pohon zaitun rendang di jami'ah dan riuh rendahnya Arab di sini, dengan penuh sedar bahawa, "Aku masih rendah, masih mentah dalam bidang ilmu yang teramat luas ini".

Sekarang saya merenungi pantun Melayu, yang dahulunya cuma jadi bacaan saya dalam pertandingan berpantun atau bercerita sahaja.

"Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan."

Pesan Ustaz Ihsan Fadhli, senior saya di sini - yang sentiasa ceria wajahnya dan murah senyumnya - "Jangan takut salah!"

"Belajar dan berkongsilah."

Insyaallah. Saya genggam pesan itu, kerana hidup ini, ertinya pada MEMBERI!

2 comments:

  1. Jangan takut salah..seer 'ala barakatillah.

    ReplyDelete
  2. belajar untuk menerima sesuatu y baru
    perkongsian y menarik!
    syukran

    ana sanfurah~

    ReplyDelete