Suarafata

Bicara Minda dah Luahan Rasa Seorang Anak Muda.

Senyum. Sapa. Salam.

Senyum itu sedekah. Salam itu sunnah. Bertegur sapa mengerat ukhuwwah!

Muhasabah

Kredit untuk Khadimul Quran.

Muhasabah

Senyum dan terus melangkah.

Sang Murabbi

Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah.

Monday, August 22, 2011

Nafar Ke Jordan ; Pesan Hijrah Buat Diri Juga Sahabat

Dengan nama Allah, saya menulis. Selawat dan salam, buat Nabi Muhammad Rasulullah SAW. Syukur ke hadrat Allah, saya dan kalian masih diberi peluang meneruskan hari-hari kehidupan, dalam Iman dan Islam. Masih lagi komited berusaha, dengan perjuangan Islam. Syukur, syukur, syukur, alhamdulillah!

Syukur ertinya, menjunjung arahan-arahan Allah dan menjauhi larangan-larangannya. Apakah hari ini, saya dan kalian semua bersyukur? Apakah syukur sekadar memadai dengan lafaz “Alhamdulillah”? Kita semua sudah sedia mengerti bukan? Tinggal lagi untuk menjadikannya realiti.

Beberapa hari lagi, saya akan berangkat pergi. Nafar...

Menjejak warisan Nabi, hingga ke tanah arab sana...

Jordan...

Kenapa? Kerana salji? Itu jawapan bergurau. Sekadar menceria suasana, agar terbit senyum pengubat duka.

Sebabnya, ilmu dan hijrah!

Kenapa tidak dalam negeri? Ada juga kursus-kursus pengajian Islam, ada universiti-kolej Islam. Ilmunya sama. Apa bezanya?

Iya, mungkin sama. Namun suasananya jelas berbeza. Saya perlukan hijrah. Saya mahu beredar daripada kebiasaan. Saya mahu berubah! Nafar atau hijrah ini, sebagai satu pelatihan untuk diri saya. Belajar hidup, bukan tadah kitab sahaja. 

Pengalaman; sebagai satu sukatan khas dalam menjalani kehidupan mendatang (namun terpulang kepada diri masing-masing. Bukan saya katakan pengajian dalam negeri tidak memberi pengalaman).

Supaya nanti terlempar ke mana-mana, biar jadi gunung kalau terdampar ke darat, atau jadi pulau andai jatuh ke laut. Insya-allah!

Sediakan diri!

Sahabat,
Jalan ini adalah warisan Nabi. Diteroka terlebih dahulu sebelum kita, oleh para Ulama’.

Kenal para Ulama’ bukan?

Mereka manusia biasa, yang hakikatnya luar biasa! Iman mereka luar biasa, ibadah mereka luar biasa, akhlak mereka luar biasa, cinta mereka luar biasa dan kesungguhan mereka luar biasa!

Kerana itu, mereka boleh jadi peneroka jalan Nabi ini. Tempias sifat Nabi itu memekar dalam diri mereka – Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathanah.

Hasanatul abraar, saiyiatul muqarrabiin”

Biasalah bagi kita, orang awam yang biasa-biasa. Namun bagi mereka yang hampir hatinya dengan Allah, dan semestinya para Ulama’, TIDAK. Kalau ibadah, yang sunat itu kita seadanya, mereka laksana umpama wajib tuntutannya. Kalau perbuatan makruh itu jadi biasa bagi kita, mereka jauhi umpama haram larangannya.

Sifat ini perlu jadi sifat kita juga. Ini persiapan diri kita, sebelum boleh atau layaknya ilmu-ilmu yang tak ternilai itu dicurah ke atas kita. Kerana bimbangnya nanti, tak mampu kita menampungnya, terbiarlah ilmu itu bertakung membusuk, atau mengalir keluar tanpa makna.

Pelajar lain merokok, bermesra-mesraan – melalui telefon dan sebagainya – dengan lawan jantina tanpa ikatan sah atau berpakaian yang menyimpang daripada sunnah Baginda SAW. Apakah layak untuk kita, yang menuntut khusus dalam bidang-bidang agama!? Kalau tidakpun kita mengkhusus dalam pengajian Islam, masih layakkah untuk kita tidak memelihara syari’ah, sunnah dan akhlak? Kerana kita seorang pelajar yang Islam agamanya - cara hidup kita Islam sepatutnya.

Jangan jadi musuh Islam yang berijazah Syari’ah!”

Musuh tak semestinya yang datang menyerang memporak-perandakan. Belajar tinggi-tinggi dalam bidang agama, pulang ke tanah air, jadi juara menentang perjuangan Islam. Itu salah satu jenisnya.

Manusia melihat kita, hingga terdetik di hati, “Inikah rupa pelajar pengajian Islam?” atau “Inikah rupa seorang pelajar Islam?”.

Pasti menyusul pula, “Tak guna belajar tinggi-tinggi dan jauh-jauh, kalau sekadar pulang untuk mengulang tabiat lama. Tak jadi manfaat pada agama dan ummah!”.

Kita juga waktu itu, sudah jadi seolah-olah ‘musuh’ Islam. Memusnahkan rupa elok Islam dengan rupa buruk kita! Porak peranda!

Jangan jadi FITNAH kepada ISLAM!”

Sahabat,

Jalan kita jauh.

Sudahlah jauh, penuh onak pula.

Onak kadang-kadang, tak semestinya dalam bentuk duri-duri ujian yang menyakitkan. Zaman ini, hari ini, dengan kemewahan dan kemudahan kini, onak dan cabaran itu datang dalam bentuk yang menyenangkan.

Keselesaan.

Kemudahan.

Kadang-kadang, kita lalai dan leka membezakan, mana satu kehendak dan keperluan. Akhirnya, tergadai tujuan.

Tujuan kita ilmu, kefahaman dan pengalaman. Tujuan kita, meningkatkan diri dan berubah. Daripada buruk kepada baik, atau biasa-biasa kepada luar biasa.

Namun kita leka dengan kehendak-kehendak – yang asalnya daripada nafsu, syahwat.

Leka berkasih-kasihan, dengan mimpi untuk membina gerbang pernikahan. Akhirnya lalai, terbuai dalam maksiat kederhakaan yang mengasyikkan.

Leka berseronok-seronok. Kebebasan tinggal jauh daripada ibu bapa yang mengongkong, peraturan yang terhad hanya kepada kehadiran ke dalam kelas dan sebagainya. Kerap kali kebebasan ini, mengundang padah kepada tujuan. Pulang ke tanah air, akhlak masih serupa, ilmu masih serupa sama seperti awal-awal pergi dahulu.

Sahabat,

Peranan kita besar.

Ummah menantikan kepulangan kita.

Ummah menagih sumbangan kita.

Pulang nanti, perjuangan Islam nombor 1!

Dalam bidang masing-masing, pengkhususan masing-masing – terpulanglah.

Jangan pulang nanti, bina rumah tangga, bina kerjaya lantas lupa kepada amanah yang tergalas di pundak. Berfikir untuk menyumbang kepada Islam dan perjuangannya harus bermula sekarang. Iya, sekarang.

Justeru, persiapkan diri kita. Ayuh! Persiapkan diri untuk mengembara meneroka ilmu warisan Nabi SAW, dan persiapkan diri untuk jadi benteng-benteng Islam dan ruhul jadid buat ummah! Insyaallah!

Ukhuwwah!

Kita kembara sama-sama, andai ada yang tersalah langkah, sama-sama kita betulkan. Ada yang rebah, kita bangunkan. Ada yang sesat, kita pimpinkan. Insyaallah!

Kita,

Sediakan bahu, untuk teman-teman berpaut.