Saturday, July 2, 2011

Kursus, Kepemudaan & BERSIH!

Saya mengikuti kursus bahasa, sebagai persiapan untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti - di bumi jauh yang diberkati. InsyaALLAH!


Saya tidak pasti, samada kebetulan atau disengajakan. Hampir semua tajuk-tajuk esei yang diguna untuk perbincangan, berkisar mengenai pemuda. Siapa mereka, peranan mereka dan tuntutan-tuntutan untuk mereka.

kalaupun ia kebetulan, saya kira ia kebetulan yang baik. Kerana bagi saya, selain persediaan bahasa, penting juga persiapan-persiapan kesedaran dan kefahaman mengenai tanggungjawab dan peranan kami, pemuda, untuk digarap sebelum kami menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Penting sekali untuk kami pelajar fahami, bahawa betapa besarnya harapan yang terpikul di pundak kami, untuk keluarga dan Umi Abi, juga Ummah! Lebih-lebih lagi sekiranya dalam bidang-bidang pengajian yang penting untuk pembangunan sesebuah negara - material dan ruhnya.

Dan kalaupun ia (tajuk-tajuk kepemudaan) ini adalah terancang, maka saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat urusetia kursus dan para guru yang memilih tajuk-tajuk perbincangan yang bijak dan tepat. JazaakumuLlah.

Maka, saya yang sehari-hari 'dihidang' tajuk-tajuk kepemudaan, bertambah semangat untuk hadir BERSIH 2.0.

Awal tahun, seluruh dunia menyaksikan, 2 juta manusia berhimpun di Medan Tahrir meraikan kejayaan membebaskan diri mereka daripada cengkaman taghut yang sekian lama menjerut kehidupan. Syeikh Qaradawi (hafizahuLlah) yang sekian lama dibuang negeri oleh rejim Hosni Mubarak, kembali semula. Bahkan beliau berucap penuh semangat di hadapan jutaan manusia itu, dan kemudiannya mengimamkan solat Jumaat.

Sebelumnya, tsaurah atau revolusi itu berlangsung di Tunisia terlebih dahulu. Seikh Rasyid Ghanousi, pemimpin jemaah Islam Tunisia menegaskan, bahawa kejayaan menumbangkan rejim Ben Ali adalah kejayaan rakyat. Iya! Tumbangnya rejim tirani itu, dilanggar dibadai suara rakyat yang dicetus dengan syahidnya seorang anak muda!

Sekarang, kebangkitan itu merebak. Semakin luas, semakin jauh, dan semakin hebat. Lantas, membuatkan kuasawan-kuasawan kuku besi - yang sekian lama menjarah hak rakyat dan bangsa mereka sendiri - tak senang duduk walau di ceruk dunia manapun mereka berada.

Maka, kedengaranlah suara-suara takut, cuba lagi untuk membodohkan rakyat dengan mengatakan : Mesir tidak sama dengan 'kita'.

Saya hitung-hitung, tarikh BERSIH kian hampir. Sabtu itu, InsyaALLAH, kami anak muda akan hadir beramai-ramai. Mungkin ada yang bicara, apa perlu kami remaja hadir sama? Saya tegaskan, masa depan negara adalah masa depan kami bersama. Kotor atau BERSIH-nya pilihanraya akan memberi kesan kepada kami juga! Maka, kami juga rakyat yang berhak menuntut keadilan, meski semuda manapun usia kami.

Sahabat-sahabat seperjuangan,
BERSIH wajib dihadiri oleh sekalian anak-anak muda yang tiada keuzuran! Bagi anak muda yang sihat akalnya, sedar jiwanya, maka turun ke jalanan untuk BERSIH nanti adalah satu kemuliaan dan usaha kita demi negara dan masa depan setiap kita!

Namun, penting sekali, sebagaimana sering saya tekankan kepada adik-adik dan sahabat-sahabat yang ingin turut hadir, adalah KEFAHAMAN!

Jangan 'terjun' begitu sahaja ke medan, tetapi turun dengan kefahaman.

Bagi ibubapa kami semua, yang tidak dapat serta sekali, izinkan anak-anakmu pergi mewakili. InsyaALLAH, pahalanya sampai pada kalian juga nantinya.

Bagi mereka yang lebih tua daripada kami, tetapi sekadar mengambil strategi 'tengok dari jauh', saya mahu ceritakan, adik-adik saya yang berumur sekitar 15 tahun membuak-buak semangat untuk hadir sama. Apatah lagi kalian sepatutnya!?

Memang polis, sebagai aparatus kerajaan - kuasawan durjana - telah memberi amaran keras. Dan memang itulah risiko yang kami semua fahami. Walau saya tidak terikat dengan akta-aka yang memenjara suara dan minda, namun pukulan, tangkapan dan tembakan bahan kimia tetap menghadirkan risau. InsyaALLAH, kami waspada!

Namun, adakah kalian sekadar mahu bergoyang kaki, menghadap televisyen dan sekadar menggeleng kepada menyaksikan berita kami anak-anak muda dipukul dan dibedil bahan kimia oleh perusuh-perusuh itu?

Pertahankan kami! Turun bersama kami 9 JULAI nanti!!!

0 comments:

Post a Comment