Monday, July 18, 2011

9 Julai & Kerja Anak Muda Selepasnya

9 Julai 2011

Sebak. Saya menyeka air mata yang mengalir cepat-cepat. Bukan waktunya untuk bersedih-sedih. Hari itu, hari kami semua melakar nama dalam lipatan sejarah negara adalah hari pesta. Pesta demokrasi, keadilan dan keberanian!

Jam 10 pagi, saya terima maklumat. 2 orang teman sudah ditahan polis. “Sekarang dalam trak”, begitu bunyi mesejnya. Saya beristighfar, memohon Allah memelihara mereka berdua dan menguatkan kami yang lainnya.

Jam 12 tengah hari, kami semua terpegun. Lautan manusia, lautan teman-teman, lautan rakyat sedang berjalan mara dari arah stesen KTM dengan laungan keramat Allahuakbar dan Hidup Rakyat! Deras, deras, gagah, gagah! Kami di stesen LRT Pasar Seni tidak sabar untuk menyertai, namun isyarat daripada ‘pimpinan’ mengingatkan supaya bersabar. Maka kami bersabar. Sedaya upaya kami mengekalkan wajah selamba mengelakkan dicekup polis awal-awal sebelum berjaya menyertai teman-teman tersebut.

Kami bersatu, dan mara. Akhirnya, dihadang polis. Rakyat berdiri tegak, melaungkan lagu kebangsaan! Namun, itu tidak pernah akan jadi penyebab untuk polis berlembut dengan kami apatah lagi memberi ruang. Kerana arahan sudah diterima daripada kuasawan-kuasawan derhaka di ‘puncak’ sana : “Jangan beri muka!”

Saya sebak melihatkan kesungguhan semua. Rata-ratanya anak muda, dan semuanya adalah rakyat biasa yang hanya menuntut keadilan dan ketelusan. Bukan ‘pengacau’ dan ‘perusuh’ sebagaimana gelaran yang diberi media-media tradisional barua UMNO-BN!

Kami dibedil entah berapa puluh das. Ditembak dengan air kimia, yang pedih dan sesak nafasnya hanya difahami oleh mereka yang pernah merasa. Tiada yang melawan! Kami hanya lari mengelakkan serangan polis, kemudian bersatu semula, memaut lengan sesiapa sahaja di kiri dan kanan serta mara kembali ke hadapan!

Kuasawan-kuasawan derhaka itu, memang punya sebab untuk takut. Meski kami hanya ‘bersenjatakan’ suara dan berperisai lengan! Suara rakyat, suara anak muda adalah suara-suara keramat, yang memiliki kuasa. Kuasa untuk menggegar takhta kuasawan telinga 1 dan lidah 2 ini.

Ribuan anggota polis, puluhan sekatan jalan, ratusan das tembakan pemedih mata semuanya tidak berjaya mengekang kemaraan rakyat. Kami berjalan dan berjalan, melaung slogan demi slogan sejak jam 12 tengah hari hingga ke 4 petang! Dari Pasar Seni, sampai ke KLCC! Dibedil kami elak, namun lari keluar sesekali tidak!

Mukaddimah

“Kita beri amaran kepada  kerajaan BN, bahawa ini mukaddimah kepada kebangkitan rakyat dan jika sekiranya mereka tidak sedia membuat perubahan kepada pilihan raya dan demokrasi, maka bantahan dan kebangkitan lebih besar boleh berlaku bila-bila masa sahaja.”

Begitu ujar TG Haji Abdul Hadi Awang sebaik dibebaskan daripada tahanan. Saya pasak kata-kata itu dalam dada. Dan biarkan ia terpasak di dada kalian juga. Ini adalah MUKADDIMAH kepada perjuangan kita! Ia bukan yang terakhir, walau apa jua sekalipun cara diguna UMNO-BN yang penakut demi menamatkannya. Dan bukanlah himpunan aman ini semata-mata jalan perjuangannya.

Undi

Saya menyeru kalian yang cukup umur, daftar dan nantinya terjemahkan suara kalian dalam bentuk UNDI! Tolak habis-habisan kuasawan pembelit dan zalim itu semua sekali, biar rebah tidak terbangun lagi. Biar tersungkur, elit-elit kuasa yang berselindung di sebalik berkat agama, bangsa dan kemerdekaan yang sekian lama menjarah hak kita semua.

“Mereka PENIPU, PEMBOHONG lagi ZALIM”. Jerkahlah apa jua pun, tempiklah sekuat mana pun, selagi kalian tidak terjemahkan jerkah dan tempik itu dalam bentuk undi, maka SIA-SIA.

Sebar maklumat

Seiring dengan itu, kita sebarkan maklumat. Kita panjangkan maklumat ke seluruh pelusuk dunia yang terjangkau oleh kita. Kita guna segala medium yang ada, dari Facebook ke Blog. Dari Myspace ke Twitter.

Guna segala kepakaran yang ada. Pandai menulis, tulis. Yang kreatif dengan reka letak gambar, reti edit, reti photoshop, gunakan untuk sebarkan maklumat. Gunakan untuk sebarkan KEBENARAN! Kita ledakkan revolusi ini dari sekecil-kecil langkah. UMNO-BN mengupah Cybertroopers. Mereka bergerak, menyebar maklumat (palsu dan fitnah) kerana duit. InsyaAllah, tidak terlawan dengan kita semua yang bergerak dan menyebar maklumat kerana Allah, kerana Iman, kerana kebenaran! Kekayaan bagi kita adalah apabila keadilan diangkat! Kejayaan bagi kita adalah apabila ketelusan tidak lagi sekadar retorik politik! Kemenangan bagi kita adalah apabila kebenaran tertegak!

Berani, jangan takut!

Sahabat-sahabat, jangan takut. Tidak kita panggil perjuangan seandainya jalannya senang, mudah dan lancar tanpa sebarang ancaman. Saya percaya, suatu masa nanti, apabila rakyat tidak lagi takut-takut, anak muda ‘melaung suara’ mereka tanpa ragu-ragu, maka hari itu adalah hari tumbangnya rejim zalim UMNO-BN ini!

Takkanlah bersuara di FB pun takut. Bukannya apa-apa dibanding dengan usaha ramai lagipejuang kebenaran zaman berzaman. Di sana, terdapat ramai manusia yang mengguna FB mereka terang-terangan untuk maksiat dan kebatilan. Tanpa gusar. Apakah layak untuk kita yang memilih kebenaran, meyakini bahawa Allah bersama dengan kita gentar dengan ancaman-ancaman palsu untuk menakut-nakutkan!?

Maka, kita wujudkan satu gelombang besar kebangkitan di alam maya dahulu. Biar merata-rata, biar di mana sahaja, biar siapa sahaja, memahami dan mengerti apa sebenarnya yang berlaku dalam negara tercinta dan bagaimana rupa sebenarnya penguasa-penguasa Malaysia.

Kita ajak semuanya bangkit. Jadikan diri kita sebagai mata rantai yang menjana kesinambungan perjuangan. Kita bukan lidah mana-mana parti, bukan alat propaganda, bahkan kita adalah anak-anak muda yang menyebar kebenaran dan ketelusan! Menuntut keadilan!

Persiapkan diri!

Dan bukanlah itu sahaja tuntutan untuk kita. Bahkan persiapkan diri dengan kepakaran-kepakaran untuk mengambil-alih teraju kemudi negara nantinya. Kita bukan sekadar menuntut kebenaran dan menolak UMNO-BN (kerana mereka sudah bertekad tidak menerima kebenaran!) bahkan kita bersedia dengan pengganti-pengganti yang lebih baik untuk memimpin negara.

Kewajipan nombor 1 sekarang, adalah BELAJAR dan menimba pengalaman. Serta persiapkan diri dengan nilai-nilai kepimpinan dan perjuangan. Ia tidak jatuh nombor 2, bahkan seiring dengan tugas belajar.

Saya akan semat dalam-dalam, kenangan demi kenangan manis (dan pedih?) 9 Julai. Saya akan kenang selama-lamanya, hari tidak kurang 100, 000 rakyat Malaysia – Islam, Kristian, Hindu, Melayu, Cina, India, dari Sarawak ke Johor – yang bersama-sama melakar sejarah negara.

Mereka tuduh kita pengacau dan perusuh. Mereka kata kita gugat kemerdekaan negara. Sebenarnya, kitalah pejuang-pejuang kemerdekaan abad ini!

Merdeka bukan bererti terlepas daripada cengkaman penjajah Barat dan masuk ke belenggu penjarah bersongkok tinggi! Bukan terlepas daripada Malayan Union tetapi tersepit dengan UMNO-BN!

Berbanggalah kalian yang menyertai 709. Berbahagialah mereka ‘yang pergi’ dipanggil Ilahi sewaktu berhimpun. Seluruh kami mendoakan, moga amalan kita hari itu dikira Allah sebagai amal saleh buat bekalan di Akhirat.Beristighfarlah andai ada antara kita yang terlepas bicara dan terkasar bahasa. Biarkan mereka yang menzalimi itu menerima yang setimpalnya daripada Allah.

Kalian semua.

Berbanggalah.

Bersedialah.

Beranilah.

Bangunlah.


p/s Al-Fatihah buat Allahyarham Baharuddin Ahmad.

Ya Allah, hari ini kami meredhai pemergian saudara kami,
Seorang suami yang baik,
Seorang ayah yang baik,
Seorang jiran yang baik,
Seorang hamba yang baik,
Dan seorang pejuang yang baik.

Tempatkanlah rohnya dalam kalangan orang-orang yang baik, Ya Allah!
Lapangkanlah kuburnya dan harumkanlah kuburnya,
Terangkanlah kuburnya,
Jadikan kuburnya taman-taman Syurga,
Dan jangan jadikan kuburnya lubang api neraka.

Ya Allah Ya Tuhan kami!
Berikanlah kesabaran dan ketabahan,
Kepada isteri dan anak-anaknya,

Berikanlah ganjaran kepada semua yang hadir, Ya Allah!

- Ustaz Badrul Amin Baharom, Surau Al-Muqarrabin, Kelumpuk Camar, AU3, Keramat / 10 Julai -

3 comments:

  1. Aku harap perubahan yang lebih baik lepas ni...

    ReplyDelete
  2. Ya Allah, makbulkanlah doa kami...tegak kan lah keadilan..^^

    ReplyDelete
  3. hancurkan kerajaan zalim...amen.

    allahuakbar !

    ReplyDelete