Suarafata

Bicara Minda dah Luahan Rasa Seorang Anak Muda.

Senyum. Sapa. Salam.

Senyum itu sedekah. Salam itu sunnah. Bertegur sapa mengerat ukhuwwah!

Muhasabah

Kredit untuk Khadimul Quran.

Muhasabah

Senyum dan terus melangkah.

Sang Murabbi

Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah.

Monday, July 18, 2011

9 Julai & Kerja Anak Muda Selepasnya

9 Julai 2011

Sebak. Saya menyeka air mata yang mengalir cepat-cepat. Bukan waktunya untuk bersedih-sedih. Hari itu, hari kami semua melakar nama dalam lipatan sejarah negara adalah hari pesta. Pesta demokrasi, keadilan dan keberanian!

Jam 10 pagi, saya terima maklumat. 2 orang teman sudah ditahan polis. “Sekarang dalam trak”, begitu bunyi mesejnya. Saya beristighfar, memohon Allah memelihara mereka berdua dan menguatkan kami yang lainnya.

Jam 12 tengah hari, kami semua terpegun. Lautan manusia, lautan teman-teman, lautan rakyat sedang berjalan mara dari arah stesen KTM dengan laungan keramat Allahuakbar dan Hidup Rakyat! Deras, deras, gagah, gagah! Kami di stesen LRT Pasar Seni tidak sabar untuk menyertai, namun isyarat daripada ‘pimpinan’ mengingatkan supaya bersabar. Maka kami bersabar. Sedaya upaya kami mengekalkan wajah selamba mengelakkan dicekup polis awal-awal sebelum berjaya menyertai teman-teman tersebut.

Kami bersatu, dan mara. Akhirnya, dihadang polis. Rakyat berdiri tegak, melaungkan lagu kebangsaan! Namun, itu tidak pernah akan jadi penyebab untuk polis berlembut dengan kami apatah lagi memberi ruang. Kerana arahan sudah diterima daripada kuasawan-kuasawan derhaka di ‘puncak’ sana : “Jangan beri muka!”

Saya sebak melihatkan kesungguhan semua. Rata-ratanya anak muda, dan semuanya adalah rakyat biasa yang hanya menuntut keadilan dan ketelusan. Bukan ‘pengacau’ dan ‘perusuh’ sebagaimana gelaran yang diberi media-media tradisional barua UMNO-BN!

Kami dibedil entah berapa puluh das. Ditembak dengan air kimia, yang pedih dan sesak nafasnya hanya difahami oleh mereka yang pernah merasa. Tiada yang melawan! Kami hanya lari mengelakkan serangan polis, kemudian bersatu semula, memaut lengan sesiapa sahaja di kiri dan kanan serta mara kembali ke hadapan!

Kuasawan-kuasawan derhaka itu, memang punya sebab untuk takut. Meski kami hanya ‘bersenjatakan’ suara dan berperisai lengan! Suara rakyat, suara anak muda adalah suara-suara keramat, yang memiliki kuasa. Kuasa untuk menggegar takhta kuasawan telinga 1 dan lidah 2 ini.

Ribuan anggota polis, puluhan sekatan jalan, ratusan das tembakan pemedih mata semuanya tidak berjaya mengekang kemaraan rakyat. Kami berjalan dan berjalan, melaung slogan demi slogan sejak jam 12 tengah hari hingga ke 4 petang! Dari Pasar Seni, sampai ke KLCC! Dibedil kami elak, namun lari keluar sesekali tidak!

Mukaddimah

“Kita beri amaran kepada  kerajaan BN, bahawa ini mukaddimah kepada kebangkitan rakyat dan jika sekiranya mereka tidak sedia membuat perubahan kepada pilihan raya dan demokrasi, maka bantahan dan kebangkitan lebih besar boleh berlaku bila-bila masa sahaja.”

Begitu ujar TG Haji Abdul Hadi Awang sebaik dibebaskan daripada tahanan. Saya pasak kata-kata itu dalam dada. Dan biarkan ia terpasak di dada kalian juga. Ini adalah MUKADDIMAH kepada perjuangan kita! Ia bukan yang terakhir, walau apa jua sekalipun cara diguna UMNO-BN yang penakut demi menamatkannya. Dan bukanlah himpunan aman ini semata-mata jalan perjuangannya.

Undi

Saya menyeru kalian yang cukup umur, daftar dan nantinya terjemahkan suara kalian dalam bentuk UNDI! Tolak habis-habisan kuasawan pembelit dan zalim itu semua sekali, biar rebah tidak terbangun lagi. Biar tersungkur, elit-elit kuasa yang berselindung di sebalik berkat agama, bangsa dan kemerdekaan yang sekian lama menjarah hak kita semua.

“Mereka PENIPU, PEMBOHONG lagi ZALIM”. Jerkahlah apa jua pun, tempiklah sekuat mana pun, selagi kalian tidak terjemahkan jerkah dan tempik itu dalam bentuk undi, maka SIA-SIA.

Sebar maklumat

Seiring dengan itu, kita sebarkan maklumat. Kita panjangkan maklumat ke seluruh pelusuk dunia yang terjangkau oleh kita. Kita guna segala medium yang ada, dari Facebook ke Blog. Dari Myspace ke Twitter.

Guna segala kepakaran yang ada. Pandai menulis, tulis. Yang kreatif dengan reka letak gambar, reti edit, reti photoshop, gunakan untuk sebarkan maklumat. Gunakan untuk sebarkan KEBENARAN! Kita ledakkan revolusi ini dari sekecil-kecil langkah. UMNO-BN mengupah Cybertroopers. Mereka bergerak, menyebar maklumat (palsu dan fitnah) kerana duit. InsyaAllah, tidak terlawan dengan kita semua yang bergerak dan menyebar maklumat kerana Allah, kerana Iman, kerana kebenaran! Kekayaan bagi kita adalah apabila keadilan diangkat! Kejayaan bagi kita adalah apabila ketelusan tidak lagi sekadar retorik politik! Kemenangan bagi kita adalah apabila kebenaran tertegak!

Berani, jangan takut!

Sahabat-sahabat, jangan takut. Tidak kita panggil perjuangan seandainya jalannya senang, mudah dan lancar tanpa sebarang ancaman. Saya percaya, suatu masa nanti, apabila rakyat tidak lagi takut-takut, anak muda ‘melaung suara’ mereka tanpa ragu-ragu, maka hari itu adalah hari tumbangnya rejim zalim UMNO-BN ini!

Takkanlah bersuara di FB pun takut. Bukannya apa-apa dibanding dengan usaha ramai lagipejuang kebenaran zaman berzaman. Di sana, terdapat ramai manusia yang mengguna FB mereka terang-terangan untuk maksiat dan kebatilan. Tanpa gusar. Apakah layak untuk kita yang memilih kebenaran, meyakini bahawa Allah bersama dengan kita gentar dengan ancaman-ancaman palsu untuk menakut-nakutkan!?

Maka, kita wujudkan satu gelombang besar kebangkitan di alam maya dahulu. Biar merata-rata, biar di mana sahaja, biar siapa sahaja, memahami dan mengerti apa sebenarnya yang berlaku dalam negara tercinta dan bagaimana rupa sebenarnya penguasa-penguasa Malaysia.

Kita ajak semuanya bangkit. Jadikan diri kita sebagai mata rantai yang menjana kesinambungan perjuangan. Kita bukan lidah mana-mana parti, bukan alat propaganda, bahkan kita adalah anak-anak muda yang menyebar kebenaran dan ketelusan! Menuntut keadilan!

Persiapkan diri!

Dan bukanlah itu sahaja tuntutan untuk kita. Bahkan persiapkan diri dengan kepakaran-kepakaran untuk mengambil-alih teraju kemudi negara nantinya. Kita bukan sekadar menuntut kebenaran dan menolak UMNO-BN (kerana mereka sudah bertekad tidak menerima kebenaran!) bahkan kita bersedia dengan pengganti-pengganti yang lebih baik untuk memimpin negara.

Kewajipan nombor 1 sekarang, adalah BELAJAR dan menimba pengalaman. Serta persiapkan diri dengan nilai-nilai kepimpinan dan perjuangan. Ia tidak jatuh nombor 2, bahkan seiring dengan tugas belajar.

Saya akan semat dalam-dalam, kenangan demi kenangan manis (dan pedih?) 9 Julai. Saya akan kenang selama-lamanya, hari tidak kurang 100, 000 rakyat Malaysia – Islam, Kristian, Hindu, Melayu, Cina, India, dari Sarawak ke Johor – yang bersama-sama melakar sejarah negara.

Mereka tuduh kita pengacau dan perusuh. Mereka kata kita gugat kemerdekaan negara. Sebenarnya, kitalah pejuang-pejuang kemerdekaan abad ini!

Merdeka bukan bererti terlepas daripada cengkaman penjajah Barat dan masuk ke belenggu penjarah bersongkok tinggi! Bukan terlepas daripada Malayan Union tetapi tersepit dengan UMNO-BN!

Berbanggalah kalian yang menyertai 709. Berbahagialah mereka ‘yang pergi’ dipanggil Ilahi sewaktu berhimpun. Seluruh kami mendoakan, moga amalan kita hari itu dikira Allah sebagai amal saleh buat bekalan di Akhirat.Beristighfarlah andai ada antara kita yang terlepas bicara dan terkasar bahasa. Biarkan mereka yang menzalimi itu menerima yang setimpalnya daripada Allah.

Kalian semua.

Berbanggalah.

Bersedialah.

Beranilah.

Bangunlah.


p/s Al-Fatihah buat Allahyarham Baharuddin Ahmad.

Ya Allah, hari ini kami meredhai pemergian saudara kami,
Seorang suami yang baik,
Seorang ayah yang baik,
Seorang jiran yang baik,
Seorang hamba yang baik,
Dan seorang pejuang yang baik.

Tempatkanlah rohnya dalam kalangan orang-orang yang baik, Ya Allah!
Lapangkanlah kuburnya dan harumkanlah kuburnya,
Terangkanlah kuburnya,
Jadikan kuburnya taman-taman Syurga,
Dan jangan jadikan kuburnya lubang api neraka.

Ya Allah Ya Tuhan kami!
Berikanlah kesabaran dan ketabahan,
Kepada isteri dan anak-anaknya,

Berikanlah ganjaran kepada semua yang hadir, Ya Allah!

- Ustaz Badrul Amin Baharom, Surau Al-Muqarrabin, Kelumpuk Camar, AU3, Keramat / 10 Julai -

Saturday, July 2, 2011

BERSIH : Seruan untuk ANAK MUDA, dari ANAK MUDA

Kalimah fata di dalam Al-Quran, merujuk kepada pemuda perkasa lagi beriman yang menghancur berhala. Dialah Nabi Ibrahim AS! Kata fata itu diguna kaum musyrik, untuk menghina Baginda.

"Anak muda!" kata mereka.

Allah SWT mengangkat dan memuliakan fata dalam kisah pemuda-pemuda Kahfi - surah Al-Kahfi, ayat 13-14.

"Fityah (pemuda) yang beriman kepada Tuhan mereka, dikurnia hidayah, diikat kemas hati mereka tatkala mereka bangkit berdiri dan mempertahankan AKIDAH mereka!"

Hari ini, kita mesti jadi FATA! Pemusnah berhala, dan bangkit pertahankan KEBENARAN!

Bezanya, berhala dahulu dalam bentuk patung-patung yang disembah. Hari ini ia jadi sistem kehidupan caca-merba yang mengkultuskan manusia penguasa, menguntungkan kerabat-kerabat mereka dan menjadikan rakyat terbanyak sebagai hamba! Pilihanraya KOTOR, berat sebelah boleh jadi salah satu daripadanya.

Sahabat-sahabat seperjuangan, 9 Julai nanti, kita kumandangkan suara anak muda! Suara FATA!

Kita gegar kuasawan durhaka, yang telinganya satu lidah dua!

Kita bangkit, bangun berdiri di hadapan mereka. Kita laungkan suara FATA, hingga gegak gempita seluruhnya. Biar sedar kuasawan-kuasawan durjana ini, yang sekian lama menipu rakyat dan bangsa mereka sendiri!

Kita tuntut pilihanraya BERSIH, TELUS dan ADIL!

Pernah, seorang anak muda, sedang menyebar seruan-seruan kebangkitan menerusi internet. Datang polis yang menjadi alat suruhan kerajaan zalim, tanpa banyak bicara membelasah pemuda ini. Syahid beliau, darahnya menjadi saksi dan menyemarak lagi kebangkitan di MESIR!

Muhammad Bouazizi, pemuda yang membakar diri! Syahid! Menjadi pencetus nyalaan revolusi di TUNISIA!

Sahabat-sahabat, di Malaysia, tahap perjuangan belum sampai ke tahap itu. Maka tiadalah alasan untuk kita menguzurkan diri daripada hadir sama dalam BERSIH nanti! Kalau sekadar bedilan gas pemedih mata, serta semburan air kimia, dan mungkin satu dua hentakan cota dan rempuhan perisai FRU, jauh benarlah kita daripada pengorbanan dan cabaran sahabat-sahabat pemuda di Mesir, Tunisia dan lainnya.

Saya dapat berita, ada sahabat sebaya dikasari polis kerana memakai t-shirt kuning di dalam LRT dua minggu sebelum himpunan. NAH! Gerun benar mereka kepada kita. Itu baru seorang anak muda. Kalau ribuan!? Puluhan ribu atau ratusan ribu!?

Sahabat-sahabat, sudah menjadi Sunnatullah, kezaliman dan kebatilan selamanya takutkan kebenaran. Tinggal lagi kebenaran itu mestilah tersusun dan cukup kuat untuk menumbang lawannya.

Maka sahabat-sahabat sekalian, AYUH, turunlah kita semua! Sahut cabaran ini! Jangan lengah, apatah lagi sengaja menguzurkan diri! Jangan dibiar manusia-manusia penguasa ini terus membuli!

Hari ini, saya mahu tanyakan kalian semua wahai sahabat-sahabat yang sudah memutuskan untuk sekadar jadi PEMERHATI. Sanggup kalian lihat kami dibelasah FRU perusuh-perusuh suruhan kerajaan!?

Saya juga mahu tanyakan kalian yang lebih tua daripada saya. Sanggup kalian lihat kami anak-anak muda dipukul polis semata-mata kerana cinta dan sedarnya kami kepada keadilan!? Sanggup kalian biarkan kami semua dibedil dan disembur bahan kimia?

Sanggupkah kalian semua sekadar menjadi pemerhati luar gelanggang? Apakah tiada barang sedikit, kesedaran dan keberanian dalam hati sanubari itu?

Keluarkan semuanya wahai PEMUDA! Ayuh, bersama kita bawa suara anak muda, kita wakili rakyat marhaen yang sekian lama ditinda, diperkosa hak mereka!

Suara kita suara KERAMAT! Tumbang rejim tirani dengan suara anak muda. Menang ISLAM di tangan anak muda! Kali ini, kita ulangi siri-siri kebangkitan  anak muda ini! InsyaALLAH!

Malulah kalian yang telah memutuskan untuk sekadar menjadi pemerhati! Malulah kalian  wahai mereka yang punya tenaga dan kemampuan, tetapi ketakutan atau lengah untuk bersama kami!

Malulah kalian, yang hanya bergoyang kaki, memuas tembolok sendiri!

Kelak, kami berbangga di hadapan Allah. Keringat kami, tenaga kami menjadi saksi usaha kami untuk bangkit berdiri di hadapan penguasa zalim!

Ayuh! Masih belum terlambat! Buktikan kesedaran dan kefahaman kalian. Buktikan jiwa kalian belum mati, hati kalian masih berfungsi! Tunaikan amanah ini, kewajipan kita untuk sertai BERSIH 2.0!

Pencak anak muda,
Himpun di ibu kota,
Menggegar kuasawan durhaka,
Melakar sejarah negara!

Hadir bukan untuk bertempur,
Namun semangat JUANG membara,
Dibedil tidak undur,
Dipukul tetap MARA!

Turun bukan mencari mati,
Namun SYAHID cita tertinggi,
Pencak anak muda pencak SAKTI,
Berkobar semangat di hati,
Dengan IMAN sebagai inti!

AYUH anak MUDA, cetus BANGKIT-nya ummat ini!!!


Kursus, Kepemudaan & BERSIH!

Saya mengikuti kursus bahasa, sebagai persiapan untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti - di bumi jauh yang diberkati. InsyaALLAH!

Saya tidak pasti, samada kebetulan atau disengajakan. Hampir semua tajuk-tajuk esei yang diguna untuk perbincangan, berkisar mengenai pemuda. Siapa mereka, peranan mereka dan tuntutan-tuntutan untuk mereka.

kalaupun ia kebetulan, saya kira ia kebetulan yang baik. Kerana bagi saya, selain persediaan bahasa, penting juga persiapan-persiapan kesedaran dan kefahaman mengenai tanggungjawab dan peranan kami, pemuda, untuk digarap sebelum kami menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Penting sekali untuk kami pelajar fahami, bahawa betapa besarnya harapan yang terpikul di pundak kami, untuk keluarga dan Umi Abi, juga Ummah! Lebih-lebih lagi sekiranya dalam bidang-bidang pengajian yang penting untuk pembangunan sesebuah negara - material dan ruhnya.

Dan kalaupun ia (tajuk-tajuk kepemudaan) ini adalah terancang, maka saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat urusetia kursus dan para guru yang memilih tajuk-tajuk perbincangan yang bijak dan tepat. JazaakumuLlah.

Maka, saya yang sehari-hari 'dihidang' tajuk-tajuk kepemudaan, bertambah semangat untuk hadir BERSIH 2.0.

Awal tahun, seluruh dunia menyaksikan, 2 juta manusia berhimpun di Medan Tahrir meraikan kejayaan membebaskan diri mereka daripada cengkaman taghut yang sekian lama menjerut kehidupan. Syeikh Qaradawi (hafizahuLlah) yang sekian lama dibuang negeri oleh rejim Hosni Mubarak, kembali semula. Bahkan beliau berucap penuh semangat di hadapan jutaan manusia itu, dan kemudiannya mengimamkan solat Jumaat.

Sebelumnya, tsaurah atau revolusi itu berlangsung di Tunisia terlebih dahulu. Seikh Rasyid Ghanousi, pemimpin jemaah Islam Tunisia menegaskan, bahawa kejayaan menumbangkan rejim Ben Ali adalah kejayaan rakyat. Iya! Tumbangnya rejim tirani itu, dilanggar dibadai suara rakyat yang dicetus dengan syahidnya seorang anak muda!

Sekarang, kebangkitan itu merebak. Semakin luas, semakin jauh, dan semakin hebat. Lantas, membuatkan kuasawan-kuasawan kuku besi - yang sekian lama menjarah hak rakyat dan bangsa mereka sendiri - tak senang duduk walau di ceruk dunia manapun mereka berada.

Maka, kedengaranlah suara-suara takut, cuba lagi untuk membodohkan rakyat dengan mengatakan : Mesir tidak sama dengan 'kita'.

Saya hitung-hitung, tarikh BERSIH kian hampir. Sabtu itu, InsyaALLAH, kami anak muda akan hadir beramai-ramai. Mungkin ada yang bicara, apa perlu kami remaja hadir sama? Saya tegaskan, masa depan negara adalah masa depan kami bersama. Kotor atau BERSIH-nya pilihanraya akan memberi kesan kepada kami juga! Maka, kami juga rakyat yang berhak menuntut keadilan, meski semuda manapun usia kami.

Sahabat-sahabat seperjuangan,
BERSIH wajib dihadiri oleh sekalian anak-anak muda yang tiada keuzuran! Bagi anak muda yang sihat akalnya, sedar jiwanya, maka turun ke jalanan untuk BERSIH nanti adalah satu kemuliaan dan usaha kita demi negara dan masa depan setiap kita!

Namun, penting sekali, sebagaimana sering saya tekankan kepada adik-adik dan sahabat-sahabat yang ingin turut hadir, adalah KEFAHAMAN!

Jangan 'terjun' begitu sahaja ke medan, tetapi turun dengan kefahaman.

Bagi ibubapa kami semua, yang tidak dapat serta sekali, izinkan anak-anakmu pergi mewakili. InsyaALLAH, pahalanya sampai pada kalian juga nantinya.

Bagi mereka yang lebih tua daripada kami, tetapi sekadar mengambil strategi 'tengok dari jauh', saya mahu ceritakan, adik-adik saya yang berumur sekitar 15 tahun membuak-buak semangat untuk hadir sama. Apatah lagi kalian sepatutnya!?

Memang polis, sebagai aparatus kerajaan - kuasawan durjana - telah memberi amaran keras. Dan memang itulah risiko yang kami semua fahami. Walau saya tidak terikat dengan akta-aka yang memenjara suara dan minda, namun pukulan, tangkapan dan tembakan bahan kimia tetap menghadirkan risau. InsyaALLAH, kami waspada!

Namun, adakah kalian sekadar mahu bergoyang kaki, menghadap televisyen dan sekadar menggeleng kepada menyaksikan berita kami anak-anak muda dipukul dan dibedil bahan kimia oleh perusuh-perusuh itu?

Pertahankan kami! Turun bersama kami 9 JULAI nanti!!!