Wednesday, May 11, 2011

Syukur

Adab dan sudah menjadi adat, manusia mengamalkan kesantunan dalam menunjukkan penghargaan bagi sesuatu pemberian dengan berterima kasih.

Bagi yang memberi akan merasa dihargai dan dirai jika pemberiaannya dibalas dengan ucapan terima kasih. Puaslah hati, menerima penghargaan daripada sahabatnya itu.

Bagi yang menerima, terasa tidak memadai sekadar mengucap terima kasih, kalau mampu pasti sahaja akan diberikan sesuatu yang lain sebagai balasan. Itulah adab antara manusia, memang fitrahnya begitu, mahu dan gembira apabila dihargai.

Pastilah terasa hati, sekiranya pemberian kita kepada sahabat tidak dibalas ucapan terima kasih. Akan berkecil hati, dan kita akan berkira untuk berkongsi sesuatu dengannya lagi.

Apatah lagi, sekiranya pemberian kita bukan sahaja tidak menerima ucapan terima kasih bahkan ditinggal terbiar begitu sahaja. Ataupun lebih tragik, diletakkan di tempat tidak sepatutnya : tong sampah misalnya.

Bertambah-tambah hancur hati kita yang memberi, jika pemberian kita kepada sahabat tidak dihargai dengan ucapan terima kasih bahkan dia jadi bermusuh dengan kita. Hadiah kita tidak merapatkan hubungan kita dengannya, bahkan kian jauh.

Itu semua, boleh kita umpamakan dengan ni’mat-ni’mat Allah SWT kepada manusia.

Manusia meni’mati pemberian Allah sepanjang masa, setiap detik, setiap ketika. Berikan satu detik kita berlepas daripada ni’mat atau pemberian Allah!? Adakah? Pasti tiada.

Nafas yang ‘memberi’ nyawa, anggota tubuh yang diguna setiap masa bagi menjalankan urusan-urusan kehidupan bahkan juga untuk bermain, bergembira dan sekian banyaknya lagi pemberian Allah buat kita.

Firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 34 yang bermaksud :

“Dan sekiranya kamu menghitung ni’mat Allah, pastilah kamu tidak akan mampu menghitungnya.”

Ada manusia, menerima ni’mat Allah namun mereka tidak mensyukurinya. Tidak ‘berterima kasih’ kepada Allah yang telah memberi sekian perkara yang mereka ni’mati itu.

Ada juga jenis manusia, yang menyalahgunakan ni’mat-ni’mat pemberian Allah SWT. Mereka ‘meletakkanya’ pada tempat yang tidak sepatutnnya : misalnya menggunakan mata untuk melihat perkara-perkara mungkar.

Bahkan ada golongan manusia yang lebih zalim terhadap diri mereka sendiri dengan menentang dan bermusuh dengan Pemberi Ni’mat kepada mereka. Menentang dan menolak peraturan Allah, menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lainnya dan mengingkari perintah-perintahNya.

Syukur atau berterima kasih ialah adab, kalau sesama manusia. Ia AKHLAK yang diajari Nabi SAW kepada kita sebagai cara bergaul sesama kita.

Namun, dengan Allah SWT, syukur tidak semata adab. Syukur kepada Allah juga adalah sebahagian daripada AQIDAH kita.

Syukur kepada Allah, membawa kita menyedari siapa diri kita. Kita mengerti bahawa tiada satu pun apa yang dini’mati kita dulu, kini dan selamanya adalah milik mutlak kita. Semuanya semata-mata pinjaman daripada Allah untuk membolehkan kita melalui kehidupan di dunia atau sebahagian daripada ujian Allah ke atas kita.

Dengan syukur, kita akan merasa terhutang budi kepada Allah SWT. Sebagaimana kita terhutang budi kepada sahabat yang telah membantu kita. Kita akan berusaha pula supaya dapat membalas budinya, namun kebaikan atau pemberiannya itu tetap akan terpahat di hati walau bagaimana kita berusaha membalasnya. Umpama pepatah Melayu, “Hutang budi dibawa mati”.

Budi Allah kepada kita lebih luas dan maha hebat dibandingkan dengan budi manusia. Allah SWT sudah memelihara kita sejak di dalam rahim ibu lagi, mengasuh kita dan menjaga kita di dalamnya. Bahkan Allah mengeluarkan kita daripada perut ibu dalam keadaan selamat sejahtera. Sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl ayat ke 78 yang bermaksud :

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur.”

Dengan terhutang budi kepada Allah, dengan yakin ni’mat yang diperolehi kita sekarang adalah datang daripada kasihan belas Allah maka kita akan mentaati perintah Allah dan menjauhi sebarang laranganNya dengan senang hati. Hati kita tidak akan mempersoal, mengapa itu tidak boleh dan ini tidak boleh kerana kita yakin bahawa Allah pemilik apa yang ada pada kita, bahkan memiliki kita dan Dialah yang lebih mengetahu kebaikan untuk kita.

Ada jenis manusia, yang sombong dan takabbur dengan ni’mat-ni’mat Allah pada mereka. Mereka merasakan apa yang ada pada mereka, adalah semata hasil usaha keras mereka dan merekalah pemilik mutlak segalanya. Boleh berlaku sewenang-wenangnya tanpa ada batas dan had.

Manusia yang takabbur dan sombong dengan ni’mat Allah tidak ubah sekadar manusia miskin yang meminjam pakaian dan kereta mahal rakannya untuk dibawa berlagak di tengah bandar. Memanglah, ramai manusia akan terpedaya, kagum dan tertarik dengan ‘kemewahan’ palsunya, namun buat sementara sahaja. Bayangkanlah kalau-kalau pemilik asal datang di tengah ramai, merampas pakaian dan kereta mewah itu. Pasti malu besar si miskin itu. Sekadar itu sahajalah, manusia-manusia sombong angkuh yang mendabik dada dengan harta, pangkat dan kekuasaan yang sebenarnya dipinjam sahaja.

Kadang-kadang,
Kita akan diuji dengan keinginan untuk menuruti NAFSU jahat. Menuruti kehendak diri yang bercanggah dengan perintah Allah hasil pacuan dan asakan bisikan Syaitan.

Waktu itu, kesedaran tentang segalanya milik Allah boleh menyelamatkan kita. Misalnya kalau mata ingin melihat perkara mungkar, maka kita ingatkan kepada mata, bahawa ia adalah milik Allah yang kita pinjam. Boleh ditarik balik bila-bila masa bahkan pada ketika itu juga.

Begitu juga anggota lainnya, kaki yang melangkah, tangan yang menyentuh dan memegang, lidah yang berbicara dan lainnya. Bahkan NYAWA! Ingatkan diri, ia juga milik Allah dan boleh diambil semula bila-bila masa yang dikehendakiNya. Malahan ketika berbuat ma’siat, boleh sahaja dimatikan Allah ketika itu : Su’ul Khatimah.

Dan, perkara paling besar yang perlu kita syukuri adalah HIDAYAH : Iman dan Islam yang kita perolehi ini. Juga, ni’mat bersyukur. Iya! Bersyukur kerana dipilih Allah sebagai hambaNya yang bersyukur.

“AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah.”

p/s Saya kongsikan video menarik, buat tatapan sahabat semua.

video

0 comments:

Post a Comment