Sunday, May 29, 2011

Nilai Seorang Guru

Saya dalam program waktu itu.

Seorang guru, sedang jenuh menasihati peserta supaya diam dan ambil cakna taklimat program yang sedang cuba disampaikannya sebaik sahaja tiba ke tapak program.

Saya dan sahabat, duduk di bangku jauh daripada peserta. Tetapi cukup hampir untuk memerhati setiap tingkah laku mereka, tutur bicara mereka. Mereka tampak gelisah, mungkin kerana panas, atau lelah perjalanan masih tersisa.

Namun, tetap itu bukan alasan untuk menyampuk sang guru di hadapan, apatah lagi mentulikan telinga dan berbual sesama mereka. Saya geram melihat peserta. Mereka tidak sedar barangkali siapa yang berada di hadapan mereka. Guru itu, pernah memegang amanah sebagai Presiden sebuah persatuan pelajar yang hebat, namanya gah seantero negara bukan hanya dalam kalangan persatuannya sahaja.

Saya berpaling kepada sahabat, keluh saya sambil geleng kepala, "Kalaulah budak-budak ini tahu betapa hebat dan terkenalnya guru mereka ini. Guru ini pernah jadi Presiden persatuan besar. Macam manalah mereka boleh sebegitu biadab? Isy.."

Sahabat saya itu juga geleng kepala, tetapi katanya, "Bukan Din. Bukan nilai Presiden itu, tapi kalaulah budak-budak ini fahami besarnya nilai seorang GURU.."

Saya diam, senyum.

Benar, nilai guru itu sebenarnya melebihi nilai Presiden tadinya.

Saya senyum, dan bermonolog sendiri dalam hati, "Engkau benar sahabat. Kalaulah adik-adik ini fahami nilai seorang guru.."

p/s Selamat Hari Guru! Maaf lambat.. Tetapi rasanya, masih belum terlewat 'kan?

0 comments:

Post a Comment