Tuesday, May 31, 2011

Bingkisan buat Jilul Nasr ; SABAR


Dengan nama Allah, dan selawat kepada RasuluLlah.

Antara makhluk Allah yang suka sungguh abang tatapi ialah bulan, terutamanya bulan purnama. Banyak perkara yang akan abang teringat apabila memandangnya. Antaranya, ayat 35 daripada surah An-Nuur. Ayat yang menceritakan bahawa Allah SWT (memberi) Nuur (cahaya) kepada seluruh langit dan bumi. Dalam ayat ini, Allah SWT menggunakan kata Nuur bukan Dhiya’. Walaupun kedua-duanya bererti cahaya, namun makna tersiratnya berbeza.

Nuur digunakan bagi bulan, berbanding Dhiya’ bagi matahari (Surah Yunus, ayat 5). Boleh kita fahami, apabila digunakan kata Nuur itu, cahayanya bersifat lembut, nyaman dan menenangkan seperti cahaya bulan. Itulah perumpamaan bagi ‘belaian’ rahmat Allah – damai dan tenang. Setiap kali melihat bulan, abang akan teringat pada kasih sayang Allah kepada kita semua. Berbeza dengan Dhiya’, digunakan untuk cahaya matahari yang sifatnya panas membahang, bahkan membinasakan!

Itu, hebatnya Al-Quran. Pilihan perkataannya sahaja sudah membawa banyak erti tersirat.

Juga, abang akan teringatkan RasuluLlah SAW (Sollu ‘alaih!). Wajah Baginda Nabi SAW umpama PURNAMA, cemerlang sinarnya dan tidak puas walau berapa lama ditatap sekalipun. Bahkan makin ditatap, makin cinta.

Dan, apabila memandang pada bulan, abang akan teringat pada Jilul Nasr. Barangkali, mungkin kerana tazkirah pertama abang pada Jilul Nasr selepas PLKN adalah mengenai BULAN. Ingat? Waktu itu, kalian bersila mengelilingi abang di pinggir padang Maahad. Dengan cahaya indah bulan melimpahi kita semua, dan udara damai malam berpuput lembut membawa nafas segar untuk kita.

Malam itu abang bercerita mengenai bulan, mengenai tanda-tanda kebesaran Allah di sekeliling kita. Bulan yang indah, bumi yang terhampar, langit teguh meski tidak bertiang dan banyak lagi tanda-tanda yang boleh dilihat dengan mata kasar kita semua. Tinggal lagi, samada kita melihatnya semata-mata dengan mata yang dua biji itu, atau melihatnya dengan MATA HATI.

Apa sahaja di sekeliling kita wahai adik-adikku, kembali kepada bagaimana kita melihatnya. Walau sehebat manapun keajaiban ciptaan Allah, kalau kita melihatnya semata-mata dengan ‘mata’, tanpa hati yang berteras IMAN, keajaiban itu tidak memberi erti.

Begitu jualah dalam perjuangan ini. Perjuangan untuk menegakkan Islam di dalam diri setiap Jilul Nasr, dan menegakkannya pula di dalam diri para sahabat kita, adik-adik Usrah dan warga Maahad kita – ke arah menegakkannya di seluruh negara nantinya, InsyaALLAH!

Dalam jalan perjuangan itu, banyak cabaran dan dugaan menimpa dan membadai Jilul Nasr. Usah dikiralah limpahan kata nista dan cemuhan demi cemuhan yang kita terima. Itu WAJIB bagi ghuraba’ yang bertekad dengan Islam dan perjuangannya. Ujian itu SunnatuLlah, memang kerja Allah. Itulah caranya Allah menentukan samada kita benar-benar ikhlas dalam berjuang atau sebaliknya. Samada kita tahan dengan cabaran dan ujian, atau rebah-kalah dihanyutkan arus Kekufuran dan Jahiliyyah!

Pelbagai bentuk ujian itu akan datang menimpa. Datangnya ia juga daripada segenap sudut yang ada. Boleh jadi daripada diri Jilul Nasr sendiri, daripada ahli-ahlinya. Atau datang daripada adik-adik Usrah, atau datang daripada pelajar-pelajar lainnya.

Maka lihatlah ujian-ujian itu, sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita. Bagaimana? Bagaimana ujian yang pedih dan perit itu boleh jadi tanda kasih Allah?

Kerana dengan UJIAN, kita berpeluang untuk SABAR.

3 pecahan sabar itu wahai adik-adikku, yang setiap satunya hendaklah kita fahami baik-baik dan hafaznya. Hafaz itu ertinya bukan hafal semata, bahkan pelihara ia sebagai amalan kita semua.

Pertama, sabar dalam mentaati perintah Allah SWT. Sabar dalam kekal berada di jalan perjuangan ini. Sabar dalam menunaikan hak-hak Allah ke atas kita semua, hamba-Nya.

Ibadah khusus (solat, puasa dan lain-lain) walau fardhu atau sunat, adalah perkara yang tidak menyenangkan nafsu kita. Nafsu lebih selesa bersenang-senang dan beristirehat sepanjang masa. Apatah lagi PERJUANGAN – Amar Maaruf Nahi Munkar ini, jauh lagilah daripada digemari nafsu. Kurang masa rehat, kurang masa bermain, masa tidur, masa berbual kosong dan masa untuk dibazirkan! Itu semua, kekurangan yang dibenci nafsu.

Tatkala rakan-rakan sebaya kita menghabiskan masa berlama-lama di padang, kita pula ada pengajian Tafaqquh untuk disertai. Di waktu mereka melepak dan berborak beramai-ramai selepas kelas malam, kita pula ada liqa’ mingguan yang wajib dihadiri. Ketika rakan-rakan berehat dan pulang daripada sekolah, kita masih di sana untuk Usrah. Semua itu, memberi tekanan kepada nafsu, yang pastinya mahu bersama-sama dengan rakan-rakan kita tadi.

Renungilah, betapa sabarnya RasuluLlah SAW dan para sahabat dalam mentaati perintah Allah. Para sahabat yang awal-awal bersama RasuluLlah SAW, mereka rela berkorban dan terkorban demi mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Walau jadi miskin, walau dihina, diboikot, meninggalkan kampung halaman, hatta menggadai nyawa!

Ayuh kita semua renungi firman Allah di dalam surah al-Kahfi, ayat 28 :

Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melampaui batas.”

Maka, ayuh kita bersabar. Bersabar dalam mentaati perintah-Nya. Melawan kehendak-kehendak nafsu itu.

Kedua wahai adik-adikku,
Sabar dalam meninggalkan maksiat. Tinggalkan maksiat, tidak perlukan tenaga. Caranya hanyalah berdiam diri, tidak melakukan maksiat itu. Berbanding melakukan ketaatan, kita perlu memaksa diri. Memaksa kaki untuk ke masjid atau liqa’, memaksa mata agar tidak tertutup terlena waktu belajar atau mendengar tazkirah, memaksa diri untuk hadir Usrah atau perjumpaan. Tinggalkan maksiat itu, cukup dengan : TIDAK BUAT.

Tetapi para Ulama’ menyatakan kepada kita, meninggalkan maksiat itu jauh lebih berat daripada melakukan ketaatan. Misalnya, mudah untuk kita melarang adik-adik Usrah berkata kesat atau mengumpat. Namun, untuk kita sendiri melaksanakannya bagaimana? Sedangkan, untuk meninggalkan kata-kata kesat dan mengumpat kita cuma perlu berdiam diri.

Mengapa begitu susah? Kerana maksiat itu ‘menyeronokkan’. Melempar kata kesat kepada orang lain lebih mudah, sama seperti menceritakan keaiban sahabat-sahabat, sedangkan diri selalu lupa untuk menginsafi aib sendiri!

Sabda Nabi SAW, “Jangan kamu saling marah-memarahi, jangan kamu saling berhasad dengki, jangan kamu kata-mengata” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berusahalah kita, untuk meninggalkan larangan Allah, kata-mengata dan gelar-menggelar. Juga maksiat-maksiat lainnya. Apatah lagi kita sebagai Daie dan Naqib Usrah. Lidah kita yang menutur tazkirah, patutnya tidak betah melafaz kata hina dan umpatan. Kaki yang melangkah ke liqa’ dan usrah, patutnya tidak sanggup untuk melangkah ke tempat maksiat. Mata dan telinga yang biasanya melihat dan mendengar tazkirah, al-Quran, kitab-kitab Thaqafah dan Harakah, sepatutnya tidak sanggup mendengar dan melihat perkara-perkara Mungkar. NauzubiLlah.

Ketiga,
Sabar waktu ditimpa musibah. Sabar ketika menerima ujian Allah.

Sebagaimana pesan abang awal-awal tadi, ujian itu pasti akan menimpa kita. Lebih-lebih lagi sebagai Daie dan Naqib – Jilul Nasr.

Walaupun pedih hati tatkala dihina dan dimaki, sabarlah. Begitu juga, bentuk-bentuk ujian lainnya.

Kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (semoga dirahmati Allah), sabar itu 2 jenisnya. Pertama, bersifat badani (fizikal) dan kedua, ruhani. Sabar fizikal, seperti kesakitan, kesusahan dan sebagainya yang menimpa jasad. Sabar kedua, sabar kepada ejekan, cemuhan, kekecewaan, kemarahan, kehendak nafsu dan sebagainya.

Kadang-kadang, ujian tak mesti datang daripada musuh. Boleh jadi daripada kawan. Nasihat kepada kita yang diberikan secara tidak hikmah, boleh membuatkan kita tersinggung dan marah, namun bersabarlah.

Lihatlah semua ujian Allah, sebagai peluang untuk kita menambah pahala dan meningkatkan ketaqwaan dengan sabar. Apabila ditimpa ujian, dalam apa bentuk sekalipun, jangan difikirkan dahulu mengenai sebab-sebabnya. Tetapi ingatlah siapa Penyebab ujian itu (Allah SWT).

Jangan mengeluh waktu diuji, kerana itu ertinya RUGI. Telah berkata Ibnu Mubarak, “Musibah atau bencana itu hanya satu, tetapi akan menjadi dua sekiranya kita mengeluh. Pertama, musibah itu sendiri. Dan kedua, hilangnya pahala kerana keluhan itu”.

Paling penting adik-adikku,
Sentiasalah mengadu kepada Allah. Tidak salah menceritakan masalah kepada manusia, itu tanda Ukhuwwah kita – berkongsi dan berusaha menyelesaikan masalah bersama-sama. Namun, sentiasalah dahulukan Allah. Merintih dan mengadulah kepada Allah terlebih dahulu, kongsikan isi hati itu kepada-Nya yang Maha Mendengar.

Sesungguhnya, manusia tidak mampu menyelesaikan masalah sesama mereka, kecuali hanya dengan izin-Nya. Maka, dahulukanlah Allah SWT.

Begitupun adik-adikku,
Sabar bukan bererti duduk diam sahaja, membatu tatkala dihina dan berlalu tanpa kata. Tetapi, mestilah disusuli langkah yang hikmah.

Lihatlah bagaimana kesabaran Baginda Nabi SAW dan para sahabat pada awal perkembangan Islam. Mereka tidak mendekam selama-lamanya dalam siksaan Kuffar Quraisy, bahkan sabar itu kemudiannya diiringi dengan langkah STRATEGIK untuk hijrah. Kemudian disusuli dengan KEBERANIAN dalam Badar, Uhud dan Khandaq. Seterusnya KEBIJAKSANAAN dalam perjanjian Hudaibiyah serta perancangan kemenangan sewaktu pembukaan kota Makkah.

Sabar itu tidak sekadar berdiam diri, bahkan disusuli dengan perancangan susulan yang bijaksana untuk menyelesaikan masalah yang menimpa.

Ingatlah kisah Khabbab al-Aradh RA yang datang kepada Nabi SAW meminta supaya didoakan kemenangan Islam segera. Sedangkan Khabbab itu sendiri, diuji Allah dengan dahsyat sekali, diletakkan di atas bara api oleh musuh-musuh Allah sehinggakan padam bara-bara api itu dengan lemak dan darah yang menitis daripada tubuhnya! Maka bangun RasuluLlah SAW, dengan merona merah wajahnya lalu bersabdalah Baginda yang mafhumnya : Ada lelaki yang ditanam badannya ke dalam bumi lalu digergaji kepalanya hingga terbelah dua. Ada lelaki yang disikat kepalanya dengan sikat besi hingga tertanggal kulit dan daging daripada kepalanya dan nampak tulangnya, namun itu tidak menghalang mereka daripada agama mereka.

Ujian kepada Khabbab RA itu sahaja sudah cukup dahsyat, apatah lagi ujian yang diceritakan Baginda Nabi SAW itu. Maka, adik-adikku, apa sangatlah ujian yang menimpa kita. Kalau sekadar cemuhan dan kata nista, seolah-olah sekadar seketul kerikil baru menimpa, lalu apakah kita akan mengalah?

Tepuk dada dan ayuh tanya IMAN kita, adik-adikku...

Ingatlah juga, walau betapa buruk dan serongnya pandangan manusia kepada kalian semua, Allah dan Rasul-Nya sentiasa bersama. Dan selepas Allah dan Rasul-Nya, abang sentiasa di sisi kalian, dari jauh mendoakan dan memandang positif pada kalian.

Ayuh Jilul Nasr, jalan masih panjang. Jangan berhenti sekadar kerana ‘kemuncup dalam perjalanan’. Dengan Iman dan Hidayah daripada Allah, tiada musuh yang mampu menghalang. Berpeganglah kita semua dengan Taqwa, berhati-hatilah ‘berjalan’, jangan sampai terlanggar batas-batas yang ditetapkan Allah – supaya kita kekal di atas jalan-Nya yang lurus ini.

Bersatulah dengan Ukhuwwah. Berkasih sayanglah kerana Allah. Ianya akan menjadi penguat semangat kita dalam menempuh dan menongkah badai perjuangan ini. Ketahuilah adik-adikku, kelak nanti di akhirat, Allah akan bertanyakan kepada hamba-hambaNya, “Siapakah yang berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Sesungguhnya Aku akan menaungi mereka pada hari tiada naungan selain naungan-Ku.”

Sesungguhnya, kalian semua bersahabat kerana IMAN. Itulah jalinan yang mengikat kita semua. Maka, persahabatan itu juga mestilah cara orang beriman. Saling berpesan-pesanlah dengan KESABARAN, juga KEBENARAN dengan cara paling hikmah sesama kalian. Bersatu, berteguhlah di atas jalan Allah bersama-sama.

Allah, Rasul-Nya (dan selepas keduanya) abang ada bersama.


0 comments:

Post a Comment