Suarafata

Bicara Minda dah Luahan Rasa Seorang Anak Muda.

Senyum. Sapa. Salam.

Senyum itu sedekah. Salam itu sunnah. Bertegur sapa mengerat ukhuwwah!

Muhasabah

Kredit untuk Khadimul Quran.

Muhasabah

Senyum dan terus melangkah.

Sang Murabbi

Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah.

Tuesday, May 31, 2011

Bingkisan buat Jilul Nasr ; SABAR


Dengan nama Allah, dan selawat kepada RasuluLlah.

Antara makhluk Allah yang suka sungguh abang tatapi ialah bulan, terutamanya bulan purnama. Banyak perkara yang akan abang teringat apabila memandangnya. Antaranya, ayat 35 daripada surah An-Nuur. Ayat yang menceritakan bahawa Allah SWT (memberi) Nuur (cahaya) kepada seluruh langit dan bumi. Dalam ayat ini, Allah SWT menggunakan kata Nuur bukan Dhiya’. Walaupun kedua-duanya bererti cahaya, namun makna tersiratnya berbeza.

Nuur digunakan bagi bulan, berbanding Dhiya’ bagi matahari (Surah Yunus, ayat 5). Boleh kita fahami, apabila digunakan kata Nuur itu, cahayanya bersifat lembut, nyaman dan menenangkan seperti cahaya bulan. Itulah perumpamaan bagi ‘belaian’ rahmat Allah – damai dan tenang. Setiap kali melihat bulan, abang akan teringat pada kasih sayang Allah kepada kita semua. Berbeza dengan Dhiya’, digunakan untuk cahaya matahari yang sifatnya panas membahang, bahkan membinasakan!

Itu, hebatnya Al-Quran. Pilihan perkataannya sahaja sudah membawa banyak erti tersirat.

Juga, abang akan teringatkan RasuluLlah SAW (Sollu ‘alaih!). Wajah Baginda Nabi SAW umpama PURNAMA, cemerlang sinarnya dan tidak puas walau berapa lama ditatap sekalipun. Bahkan makin ditatap, makin cinta.

Dan, apabila memandang pada bulan, abang akan teringat pada Jilul Nasr. Barangkali, mungkin kerana tazkirah pertama abang pada Jilul Nasr selepas PLKN adalah mengenai BULAN. Ingat? Waktu itu, kalian bersila mengelilingi abang di pinggir padang Maahad. Dengan cahaya indah bulan melimpahi kita semua, dan udara damai malam berpuput lembut membawa nafas segar untuk kita.

Malam itu abang bercerita mengenai bulan, mengenai tanda-tanda kebesaran Allah di sekeliling kita. Bulan yang indah, bumi yang terhampar, langit teguh meski tidak bertiang dan banyak lagi tanda-tanda yang boleh dilihat dengan mata kasar kita semua. Tinggal lagi, samada kita melihatnya semata-mata dengan mata yang dua biji itu, atau melihatnya dengan MATA HATI.

Apa sahaja di sekeliling kita wahai adik-adikku, kembali kepada bagaimana kita melihatnya. Walau sehebat manapun keajaiban ciptaan Allah, kalau kita melihatnya semata-mata dengan ‘mata’, tanpa hati yang berteras IMAN, keajaiban itu tidak memberi erti.

Begitu jualah dalam perjuangan ini. Perjuangan untuk menegakkan Islam di dalam diri setiap Jilul Nasr, dan menegakkannya pula di dalam diri para sahabat kita, adik-adik Usrah dan warga Maahad kita – ke arah menegakkannya di seluruh negara nantinya, InsyaALLAH!

Dalam jalan perjuangan itu, banyak cabaran dan dugaan menimpa dan membadai Jilul Nasr. Usah dikiralah limpahan kata nista dan cemuhan demi cemuhan yang kita terima. Itu WAJIB bagi ghuraba’ yang bertekad dengan Islam dan perjuangannya. Ujian itu SunnatuLlah, memang kerja Allah. Itulah caranya Allah menentukan samada kita benar-benar ikhlas dalam berjuang atau sebaliknya. Samada kita tahan dengan cabaran dan ujian, atau rebah-kalah dihanyutkan arus Kekufuran dan Jahiliyyah!

Pelbagai bentuk ujian itu akan datang menimpa. Datangnya ia juga daripada segenap sudut yang ada. Boleh jadi daripada diri Jilul Nasr sendiri, daripada ahli-ahlinya. Atau datang daripada adik-adik Usrah, atau datang daripada pelajar-pelajar lainnya.

Maka lihatlah ujian-ujian itu, sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita. Bagaimana? Bagaimana ujian yang pedih dan perit itu boleh jadi tanda kasih Allah?

Kerana dengan UJIAN, kita berpeluang untuk SABAR.

3 pecahan sabar itu wahai adik-adikku, yang setiap satunya hendaklah kita fahami baik-baik dan hafaznya. Hafaz itu ertinya bukan hafal semata, bahkan pelihara ia sebagai amalan kita semua.

Pertama, sabar dalam mentaati perintah Allah SWT. Sabar dalam kekal berada di jalan perjuangan ini. Sabar dalam menunaikan hak-hak Allah ke atas kita semua, hamba-Nya.

Ibadah khusus (solat, puasa dan lain-lain) walau fardhu atau sunat, adalah perkara yang tidak menyenangkan nafsu kita. Nafsu lebih selesa bersenang-senang dan beristirehat sepanjang masa. Apatah lagi PERJUANGAN – Amar Maaruf Nahi Munkar ini, jauh lagilah daripada digemari nafsu. Kurang masa rehat, kurang masa bermain, masa tidur, masa berbual kosong dan masa untuk dibazirkan! Itu semua, kekurangan yang dibenci nafsu.

Tatkala rakan-rakan sebaya kita menghabiskan masa berlama-lama di padang, kita pula ada pengajian Tafaqquh untuk disertai. Di waktu mereka melepak dan berborak beramai-ramai selepas kelas malam, kita pula ada liqa’ mingguan yang wajib dihadiri. Ketika rakan-rakan berehat dan pulang daripada sekolah, kita masih di sana untuk Usrah. Semua itu, memberi tekanan kepada nafsu, yang pastinya mahu bersama-sama dengan rakan-rakan kita tadi.

Renungilah, betapa sabarnya RasuluLlah SAW dan para sahabat dalam mentaati perintah Allah. Para sahabat yang awal-awal bersama RasuluLlah SAW, mereka rela berkorban dan terkorban demi mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Walau jadi miskin, walau dihina, diboikot, meninggalkan kampung halaman, hatta menggadai nyawa!

Ayuh kita semua renungi firman Allah di dalam surah al-Kahfi, ayat 28 :

Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melampaui batas.”

Maka, ayuh kita bersabar. Bersabar dalam mentaati perintah-Nya. Melawan kehendak-kehendak nafsu itu.

Kedua wahai adik-adikku,
Sabar dalam meninggalkan maksiat. Tinggalkan maksiat, tidak perlukan tenaga. Caranya hanyalah berdiam diri, tidak melakukan maksiat itu. Berbanding melakukan ketaatan, kita perlu memaksa diri. Memaksa kaki untuk ke masjid atau liqa’, memaksa mata agar tidak tertutup terlena waktu belajar atau mendengar tazkirah, memaksa diri untuk hadir Usrah atau perjumpaan. Tinggalkan maksiat itu, cukup dengan : TIDAK BUAT.

Tetapi para Ulama’ menyatakan kepada kita, meninggalkan maksiat itu jauh lebih berat daripada melakukan ketaatan. Misalnya, mudah untuk kita melarang adik-adik Usrah berkata kesat atau mengumpat. Namun, untuk kita sendiri melaksanakannya bagaimana? Sedangkan, untuk meninggalkan kata-kata kesat dan mengumpat kita cuma perlu berdiam diri.

Mengapa begitu susah? Kerana maksiat itu ‘menyeronokkan’. Melempar kata kesat kepada orang lain lebih mudah, sama seperti menceritakan keaiban sahabat-sahabat, sedangkan diri selalu lupa untuk menginsafi aib sendiri!

Sabda Nabi SAW, “Jangan kamu saling marah-memarahi, jangan kamu saling berhasad dengki, jangan kamu kata-mengata” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berusahalah kita, untuk meninggalkan larangan Allah, kata-mengata dan gelar-menggelar. Juga maksiat-maksiat lainnya. Apatah lagi kita sebagai Daie dan Naqib Usrah. Lidah kita yang menutur tazkirah, patutnya tidak betah melafaz kata hina dan umpatan. Kaki yang melangkah ke liqa’ dan usrah, patutnya tidak sanggup untuk melangkah ke tempat maksiat. Mata dan telinga yang biasanya melihat dan mendengar tazkirah, al-Quran, kitab-kitab Thaqafah dan Harakah, sepatutnya tidak sanggup mendengar dan melihat perkara-perkara Mungkar. NauzubiLlah.

Ketiga,
Sabar waktu ditimpa musibah. Sabar ketika menerima ujian Allah.

Sebagaimana pesan abang awal-awal tadi, ujian itu pasti akan menimpa kita. Lebih-lebih lagi sebagai Daie dan Naqib – Jilul Nasr.

Walaupun pedih hati tatkala dihina dan dimaki, sabarlah. Begitu juga, bentuk-bentuk ujian lainnya.

Kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (semoga dirahmati Allah), sabar itu 2 jenisnya. Pertama, bersifat badani (fizikal) dan kedua, ruhani. Sabar fizikal, seperti kesakitan, kesusahan dan sebagainya yang menimpa jasad. Sabar kedua, sabar kepada ejekan, cemuhan, kekecewaan, kemarahan, kehendak nafsu dan sebagainya.

Kadang-kadang, ujian tak mesti datang daripada musuh. Boleh jadi daripada kawan. Nasihat kepada kita yang diberikan secara tidak hikmah, boleh membuatkan kita tersinggung dan marah, namun bersabarlah.

Lihatlah semua ujian Allah, sebagai peluang untuk kita menambah pahala dan meningkatkan ketaqwaan dengan sabar. Apabila ditimpa ujian, dalam apa bentuk sekalipun, jangan difikirkan dahulu mengenai sebab-sebabnya. Tetapi ingatlah siapa Penyebab ujian itu (Allah SWT).

Jangan mengeluh waktu diuji, kerana itu ertinya RUGI. Telah berkata Ibnu Mubarak, “Musibah atau bencana itu hanya satu, tetapi akan menjadi dua sekiranya kita mengeluh. Pertama, musibah itu sendiri. Dan kedua, hilangnya pahala kerana keluhan itu”.

Paling penting adik-adikku,
Sentiasalah mengadu kepada Allah. Tidak salah menceritakan masalah kepada manusia, itu tanda Ukhuwwah kita – berkongsi dan berusaha menyelesaikan masalah bersama-sama. Namun, sentiasalah dahulukan Allah. Merintih dan mengadulah kepada Allah terlebih dahulu, kongsikan isi hati itu kepada-Nya yang Maha Mendengar.

Sesungguhnya, manusia tidak mampu menyelesaikan masalah sesama mereka, kecuali hanya dengan izin-Nya. Maka, dahulukanlah Allah SWT.

Begitupun adik-adikku,
Sabar bukan bererti duduk diam sahaja, membatu tatkala dihina dan berlalu tanpa kata. Tetapi, mestilah disusuli langkah yang hikmah.

Lihatlah bagaimana kesabaran Baginda Nabi SAW dan para sahabat pada awal perkembangan Islam. Mereka tidak mendekam selama-lamanya dalam siksaan Kuffar Quraisy, bahkan sabar itu kemudiannya diiringi dengan langkah STRATEGIK untuk hijrah. Kemudian disusuli dengan KEBERANIAN dalam Badar, Uhud dan Khandaq. Seterusnya KEBIJAKSANAAN dalam perjanjian Hudaibiyah serta perancangan kemenangan sewaktu pembukaan kota Makkah.

Sabar itu tidak sekadar berdiam diri, bahkan disusuli dengan perancangan susulan yang bijaksana untuk menyelesaikan masalah yang menimpa.

Ingatlah kisah Khabbab al-Aradh RA yang datang kepada Nabi SAW meminta supaya didoakan kemenangan Islam segera. Sedangkan Khabbab itu sendiri, diuji Allah dengan dahsyat sekali, diletakkan di atas bara api oleh musuh-musuh Allah sehinggakan padam bara-bara api itu dengan lemak dan darah yang menitis daripada tubuhnya! Maka bangun RasuluLlah SAW, dengan merona merah wajahnya lalu bersabdalah Baginda yang mafhumnya : Ada lelaki yang ditanam badannya ke dalam bumi lalu digergaji kepalanya hingga terbelah dua. Ada lelaki yang disikat kepalanya dengan sikat besi hingga tertanggal kulit dan daging daripada kepalanya dan nampak tulangnya, namun itu tidak menghalang mereka daripada agama mereka.

Ujian kepada Khabbab RA itu sahaja sudah cukup dahsyat, apatah lagi ujian yang diceritakan Baginda Nabi SAW itu. Maka, adik-adikku, apa sangatlah ujian yang menimpa kita. Kalau sekadar cemuhan dan kata nista, seolah-olah sekadar seketul kerikil baru menimpa, lalu apakah kita akan mengalah?

Tepuk dada dan ayuh tanya IMAN kita, adik-adikku...

Ingatlah juga, walau betapa buruk dan serongnya pandangan manusia kepada kalian semua, Allah dan Rasul-Nya sentiasa bersama. Dan selepas Allah dan Rasul-Nya, abang sentiasa di sisi kalian, dari jauh mendoakan dan memandang positif pada kalian.

Ayuh Jilul Nasr, jalan masih panjang. Jangan berhenti sekadar kerana ‘kemuncup dalam perjalanan’. Dengan Iman dan Hidayah daripada Allah, tiada musuh yang mampu menghalang. Berpeganglah kita semua dengan Taqwa, berhati-hatilah ‘berjalan’, jangan sampai terlanggar batas-batas yang ditetapkan Allah – supaya kita kekal di atas jalan-Nya yang lurus ini.

Bersatulah dengan Ukhuwwah. Berkasih sayanglah kerana Allah. Ianya akan menjadi penguat semangat kita dalam menempuh dan menongkah badai perjuangan ini. Ketahuilah adik-adikku, kelak nanti di akhirat, Allah akan bertanyakan kepada hamba-hambaNya, “Siapakah yang berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Sesungguhnya Aku akan menaungi mereka pada hari tiada naungan selain naungan-Ku.”

Sesungguhnya, kalian semua bersahabat kerana IMAN. Itulah jalinan yang mengikat kita semua. Maka, persahabatan itu juga mestilah cara orang beriman. Saling berpesan-pesanlah dengan KESABARAN, juga KEBENARAN dengan cara paling hikmah sesama kalian. Bersatu, berteguhlah di atas jalan Allah bersama-sama.

Allah, Rasul-Nya (dan selepas keduanya) abang ada bersama.


Sunday, May 29, 2011

Nilai Seorang Guru

Saya dalam program waktu itu.

Seorang guru, sedang jenuh menasihati peserta supaya diam dan ambil cakna taklimat program yang sedang cuba disampaikannya sebaik sahaja tiba ke tapak program.

Saya dan sahabat, duduk di bangku jauh daripada peserta. Tetapi cukup hampir untuk memerhati setiap tingkah laku mereka, tutur bicara mereka. Mereka tampak gelisah, mungkin kerana panas, atau lelah perjalanan masih tersisa.

Namun, tetap itu bukan alasan untuk menyampuk sang guru di hadapan, apatah lagi mentulikan telinga dan berbual sesama mereka. Saya geram melihat peserta. Mereka tidak sedar barangkali siapa yang berada di hadapan mereka. Guru itu, pernah memegang amanah sebagai Presiden sebuah persatuan pelajar yang hebat, namanya gah seantero negara bukan hanya dalam kalangan persatuannya sahaja.

Saya berpaling kepada sahabat, keluh saya sambil geleng kepala, "Kalaulah budak-budak ini tahu betapa hebat dan terkenalnya guru mereka ini. Guru ini pernah jadi Presiden persatuan besar. Macam manalah mereka boleh sebegitu biadab? Isy.."

Sahabat saya itu juga geleng kepala, tetapi katanya, "Bukan Din. Bukan nilai Presiden itu, tapi kalaulah budak-budak ini fahami besarnya nilai seorang GURU.."

Saya diam, senyum.

Benar, nilai guru itu sebenarnya melebihi nilai Presiden tadinya.

Saya senyum, dan bermonolog sendiri dalam hati, "Engkau benar sahabat. Kalaulah adik-adik ini fahami nilai seorang guru.."

p/s Selamat Hari Guru! Maaf lambat.. Tetapi rasanya, masih belum terlewat 'kan?

Wednesday, May 11, 2011

Bingkisan buat Jilul Ariffin (MML Batch 2009 / Asrama MML Tingkatan 1 2005)

Saya titipkan bingkisan abang Hayyi Mohamad yang mendidik saya dan sahabat-sahabat waktu di asrama 6 tahun dahulu. Seingat saya, pernah sekali saya dirotannya kerana lewat Subuh (hehe..).

Dan pernah sekali saya tidak ke sekolah kerana demam dan Abang Hayyi datang beri saya 'ubat' yang paling mujarab : beliau datang pada saya, meletakkan tangannya di dahi saya dan memeluk saya. Saya segar, dengan ubat 'kasih-sayang'. Terima kasih, jasa Abang tak terhingga. Tidak akan kami lupa, selamanya InsyaALLAH.

Salam..moga segar sokmo, muda-mudahan rahmat n redhaNya sentiasa bersamo..

Mari pakat baco crito pemudo:

"Kami ceritakan kpdmu (Muhammad saw) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yg beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Kami satukan hati mereka ketika mereka bangun menyatakan :Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru Tuhan selainNya. Sungguhnya, jika kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan p'kataan yang sangat jauh dari kebenaran"

[Inilah kekuatan iman pemuda Kahf, tatkala berhadapan dengan Raja Dikyanus yang mengakui dirinya adalah tuhan, lantaran itu Allah tutupkan pendengaran dan tidurkan mereka selama 309 tahun demi menyelamatkan iman para auliya' ini.

Adik-adik, teman-teman sekalian..kita di Malaysia dihujani kes-kes aqidah seperti murtad, engkar kefardhuan solat, kes sosial seperti pergaulan bebas, perzinaan yang telah dicantikkan istilahnya, kelahiran anak zina yang dijenamakan sebagai anak tak sah taraf seterusnya diakhiri dengan kes pembuangan bayi. Ini kes yang melibatkan rakyat bawahan, orang atasan pula sibuk dengan video seksnya, si penuduh asyik dengan sumpah laknatnya, segala maksiat ini telah dijadikan hobi. Patutlah jika remaja terlibat dengan kes-kes di atas tadi, orang atasan yang jadi sifunya..Jenayah-jenayah ini yang sentiasa menjadi topik perbualan para asatizah, para dukturah, para ilmuan seterusnya pimpinan negara.

Adik-adik,teman-teman sekalian..kalian adalah duta-duta ISLAM, kalian adalah promoter-promoter yang akan mempromosikan ISLAM, lupakah bahawa suatu masa dahulu kalian dididik, ditarbiah di pusat pentarbiahan yang sedia melahirkan du'at, melahirkan para doktor yang berjiwa ISLAM, para saintis yang berfikrah ISLAM, bahkan melahirkan perawat-perawat ummah!

Ana yakin kalian sedang memainkan peranan ini di kampus-kampus, pusat-pusat pengajian dalam dan luar negara. Kalian sedang menongkah arus, kalian berwatak seperti ikan di lautan, masin lautan tidak sesekali mengubah prinsip ikan. Kalian sedang berusaha menjadi seperti air yang mengalir, yang membawa segala sampah sarap, segala kelodak bersamanya, tidak sesekali seperti air yang bertakung, yang tenang bersama segala sampah sarap! Ana yakin kalian masih ingat janji baiah kalian dalam program MIFTAH suatu ketika dahulu, waktu itu kalian berserban, membawa panji-panji yang digambarkan bahawa itulah panji ISLAM! Kalian ikut segala arahan fasilitator kerana terbakar semangat kalian, ada juga yang rela dalam ketakutan. Pokoknya kalian semuanya bersemangat!

Inilah saatnya segala ilmu dan segala bekalan tarbiah itu dipraktikkan, Tafsir Al-Quran sebagai sumber pertama, Hadis Rasulullah SAW yang kalian hafal jadi menjadi dalil utk berhujjah, Sirah Muhammad saw yang dipelajari sebagai pembakar semangat. Remaja dan ummah memerlukan kalian, mereka menanti-nanti sentuhan kalian, pastikan bayi suci tidak terbuang lagi selepas ini, pastikan aqidah ummah terus utuh. Di mana kalian berada sekalipun, pasti ada fungsinya. Bak satu binaan, bukan semua yang jadi tiang, bukan semua yang jadi konkrit, tetapi ada yang jadi tiang, ada juga yang jadi besi konkrit.

Ana yakin adik-adik, teman-teman sekalian adalah PEMUDA! Bahkan kalian adalah JILUL ARIFIN !! Pemuda fungsinya terlalu besar, jika elok pemuda maka eloklah generasi seterusnya, jika rosak pemuda maka hancurlah generasi akan datang. PEMUDA lah sebagai kayu ukurnya..

Siruu 'ala barokatillah...

Abe Ayie,
Pok Guard Asrama Alternatif (Spital) suatu ketika dahulu..

Syukur

Adab dan sudah menjadi adat, manusia mengamalkan kesantunan dalam menunjukkan penghargaan bagi sesuatu pemberian dengan berterima kasih.

Bagi yang memberi akan merasa dihargai dan dirai jika pemberiaannya dibalas dengan ucapan terima kasih. Puaslah hati, menerima penghargaan daripada sahabatnya itu.

Bagi yang menerima, terasa tidak memadai sekadar mengucap terima kasih, kalau mampu pasti sahaja akan diberikan sesuatu yang lain sebagai balasan. Itulah adab antara manusia, memang fitrahnya begitu, mahu dan gembira apabila dihargai.

Pastilah terasa hati, sekiranya pemberian kita kepada sahabat tidak dibalas ucapan terima kasih. Akan berkecil hati, dan kita akan berkira untuk berkongsi sesuatu dengannya lagi.

Apatah lagi, sekiranya pemberian kita bukan sahaja tidak menerima ucapan terima kasih bahkan ditinggal terbiar begitu sahaja. Ataupun lebih tragik, diletakkan di tempat tidak sepatutnya : tong sampah misalnya.

Bertambah-tambah hancur hati kita yang memberi, jika pemberian kita kepada sahabat tidak dihargai dengan ucapan terima kasih bahkan dia jadi bermusuh dengan kita. Hadiah kita tidak merapatkan hubungan kita dengannya, bahkan kian jauh.

Itu semua, boleh kita umpamakan dengan ni’mat-ni’mat Allah SWT kepada manusia.

Manusia meni’mati pemberian Allah sepanjang masa, setiap detik, setiap ketika. Berikan satu detik kita berlepas daripada ni’mat atau pemberian Allah!? Adakah? Pasti tiada.

Nafas yang ‘memberi’ nyawa, anggota tubuh yang diguna setiap masa bagi menjalankan urusan-urusan kehidupan bahkan juga untuk bermain, bergembira dan sekian banyaknya lagi pemberian Allah buat kita.

Firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 34 yang bermaksud :

“Dan sekiranya kamu menghitung ni’mat Allah, pastilah kamu tidak akan mampu menghitungnya.”

Ada manusia, menerima ni’mat Allah namun mereka tidak mensyukurinya. Tidak ‘berterima kasih’ kepada Allah yang telah memberi sekian perkara yang mereka ni’mati itu.

Ada juga jenis manusia, yang menyalahgunakan ni’mat-ni’mat pemberian Allah SWT. Mereka ‘meletakkanya’ pada tempat yang tidak sepatutnnya : misalnya menggunakan mata untuk melihat perkara-perkara mungkar.

Bahkan ada golongan manusia yang lebih zalim terhadap diri mereka sendiri dengan menentang dan bermusuh dengan Pemberi Ni’mat kepada mereka. Menentang dan menolak peraturan Allah, menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lainnya dan mengingkari perintah-perintahNya.

Syukur atau berterima kasih ialah adab, kalau sesama manusia. Ia AKHLAK yang diajari Nabi SAW kepada kita sebagai cara bergaul sesama kita.

Namun, dengan Allah SWT, syukur tidak semata adab. Syukur kepada Allah juga adalah sebahagian daripada AQIDAH kita.

Syukur kepada Allah, membawa kita menyedari siapa diri kita. Kita mengerti bahawa tiada satu pun apa yang dini’mati kita dulu, kini dan selamanya adalah milik mutlak kita. Semuanya semata-mata pinjaman daripada Allah untuk membolehkan kita melalui kehidupan di dunia atau sebahagian daripada ujian Allah ke atas kita.

Dengan syukur, kita akan merasa terhutang budi kepada Allah SWT. Sebagaimana kita terhutang budi kepada sahabat yang telah membantu kita. Kita akan berusaha pula supaya dapat membalas budinya, namun kebaikan atau pemberiannya itu tetap akan terpahat di hati walau bagaimana kita berusaha membalasnya. Umpama pepatah Melayu, “Hutang budi dibawa mati”.

Budi Allah kepada kita lebih luas dan maha hebat dibandingkan dengan budi manusia. Allah SWT sudah memelihara kita sejak di dalam rahim ibu lagi, mengasuh kita dan menjaga kita di dalamnya. Bahkan Allah mengeluarkan kita daripada perut ibu dalam keadaan selamat sejahtera. Sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl ayat ke 78 yang bermaksud :

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur.”

Dengan terhutang budi kepada Allah, dengan yakin ni’mat yang diperolehi kita sekarang adalah datang daripada kasihan belas Allah maka kita akan mentaati perintah Allah dan menjauhi sebarang laranganNya dengan senang hati. Hati kita tidak akan mempersoal, mengapa itu tidak boleh dan ini tidak boleh kerana kita yakin bahawa Allah pemilik apa yang ada pada kita, bahkan memiliki kita dan Dialah yang lebih mengetahu kebaikan untuk kita.

Ada jenis manusia, yang sombong dan takabbur dengan ni’mat-ni’mat Allah pada mereka. Mereka merasakan apa yang ada pada mereka, adalah semata hasil usaha keras mereka dan merekalah pemilik mutlak segalanya. Boleh berlaku sewenang-wenangnya tanpa ada batas dan had.

Manusia yang takabbur dan sombong dengan ni’mat Allah tidak ubah sekadar manusia miskin yang meminjam pakaian dan kereta mahal rakannya untuk dibawa berlagak di tengah bandar. Memanglah, ramai manusia akan terpedaya, kagum dan tertarik dengan ‘kemewahan’ palsunya, namun buat sementara sahaja. Bayangkanlah kalau-kalau pemilik asal datang di tengah ramai, merampas pakaian dan kereta mewah itu. Pasti malu besar si miskin itu. Sekadar itu sahajalah, manusia-manusia sombong angkuh yang mendabik dada dengan harta, pangkat dan kekuasaan yang sebenarnya dipinjam sahaja.

Kadang-kadang,
Kita akan diuji dengan keinginan untuk menuruti NAFSU jahat. Menuruti kehendak diri yang bercanggah dengan perintah Allah hasil pacuan dan asakan bisikan Syaitan.

Waktu itu, kesedaran tentang segalanya milik Allah boleh menyelamatkan kita. Misalnya kalau mata ingin melihat perkara mungkar, maka kita ingatkan kepada mata, bahawa ia adalah milik Allah yang kita pinjam. Boleh ditarik balik bila-bila masa bahkan pada ketika itu juga.

Begitu juga anggota lainnya, kaki yang melangkah, tangan yang menyentuh dan memegang, lidah yang berbicara dan lainnya. Bahkan NYAWA! Ingatkan diri, ia juga milik Allah dan boleh diambil semula bila-bila masa yang dikehendakiNya. Malahan ketika berbuat ma’siat, boleh sahaja dimatikan Allah ketika itu : Su’ul Khatimah.

Dan, perkara paling besar yang perlu kita syukuri adalah HIDAYAH : Iman dan Islam yang kita perolehi ini. Juga, ni’mat bersyukur. Iya! Bersyukur kerana dipilih Allah sebagai hambaNya yang bersyukur.

“AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah.”

p/s Saya kongsikan video menarik, buat tatapan sahabat semua.

video