Wednesday, April 13, 2011

Daki Hati & Aturan Kehidupan

Perjuangan ISLAM, bukan kita yang memulainya. Bahkan para Nabi dan Rasul terdahulu bersama pengikut-pengikut setia mereka. Khususnya, RasuluLlah SAW.


Kita ini, adalah mata rantai perjuangan Baginda Nabi SAW. Apabila RasuluLlah SAW wafat, maka hadir para sahabat menyambung perjuangan. Seterusnya, para Tabi'in, Tabi' tabi'in dan begitulah sentiasa berkesinambungan hingga ke akhir hayat dunia!

Maka, kerja bawa Islam ini, kerja Nabi. Cara, strateginya dan kaedah-kaedahnya, tidak dapat tidak mestilah cara, strategi dan kaedah-kaedah Nabi SAW.

Iya, Islam akan menang! Tetapi, hanya dengan cara sebagaimana ia pernah menang suatu waktu dahulu. Iaitu, kembali sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya!

Itulah sebabnya, terlalu penting untuk kita, mempelajari, menghayati dan memahami sirah Nabi SAW. Bermula awal hidup Baginda Nabi SAW hingga ke hembusan nafas akhirnya. Semuanya penuh pengajaran. Tidak tertinggal walau seketika pun ruang kehidupan Baginda daripada mengalirkan didikan dan ajaran buat kita.

Bak kata isterinya yang mulia, SA Aisyah, "Akhlaknya (RasuluLlah) adalah QURAN!"

Menghayati sirah Nabi SAW, bukan sekadar untuk melahirkan rasa sayang dan kasih padanya, bahkan mempelajari dan memahami ISLAM! Begitulah sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Said Ramadhan al-Bouti di dalam Fiqh Sirah. Ini kerana, kehidupan Nabi itulah agama! Gerak gerinya, tutur katanya dan segala mengenainya!

Dalam kerja bawa ISLAM ini, oleh kerana ia kerja Nabi, maka hala tujunya sama seperti hala tuju Nabi SAW.

Pertama, untuk membersihkan daki hati yang ada dalam diri manusia.

Kedua, untuk mendatangkan kepada manusia aturan kehidupan sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT.

Daki hati yang paling utama yang perlu dibersihkan daripada diri manusia ialah SYIRIK kepada ALLAH! Sombong dan bongkaknya manusia, hingga tergamak menolak kebesaran dan kekuasaan Allah. Itulah sebesar-besar dan seburuk-buruk kotoran hati yang perlu kita, para DAIE bersihkan daripada masyarakat.

Kalaupun manusia ini, dapat membentuk aturan atau undang-undang hidup, mereka tidak akan mampu sama sekali, mengenali dan apatah lagi membersihkan kotoran hati. Hanya RasuluLlah yang diajar Allah sahaja mengenalinya dan mampu mendatangkan cara untuk membersihkannya.

Kemudian, aturan hidup manusia. Hidup kita ini, bukan seperti lembu, kambing yang hidup sesuka hati dan sekehendak rasa. Ada aturannya! Ada undang-undang! Ada had-had yang diletakkan Allah SWT bagi memelihara kita.

Melanggari had Allah ini, hanya membawa satu natijah untuk kita, iaitu BINASA! Suka saya petik analogi daripada Ustaz Hasrizal Jamil. Bayangkan diri kita sedang membawa isteri yang sedang sarat mengandung dan hampir bersalin ke hospital. Laju dipecutnya kereta. Di hadapan sana, simpang empat.

Datang pula daripada sebelah kiri, kereta yang dipandu laju. Pemandunya sedang senak menahan 'asakan' isi-isi perut yang hampir 'terburai'.

Di simpang empat, bayangkan kedua-keduanya tidak mematuhi undang-undang (lampu isyarat)! Akhirnya? Kemalangan dahsyat!

Saya suka bercerita pada adik-adik. Bayangkan Messi, C. Ronaldo, Rooney dan pemain-pemain hebat gilaan anak-anak muda hari ini bermain di padang. Menggelecek punyalah hebat, tapi dengan tiada tiang golnya dan pengadil mengawal permainan. Jawabnya, haru biru dan caca merbalah jadinya!

Kehidupan ini apatah lagi, ia perlukan aturan. Bahkan sebaik-baik aturan, aturan ALLAH! Hanya aturan ALLAH!

0 comments:

Post a Comment