Sunday, March 6, 2011

Bingkisan buat Jilul Nasr


Adik-adikku yang dikasihi,
Telah diceritakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa seorang alim besar yang bernama Fudhail berkata, “Kebanyakan pemuda memperlihatkan susuk badannya agar dipandang perkasa, tetapi manusia yang GAGAH perkasa menurut ISLAM ialah yang sanggup memaafkan kesalahan sahabatnya”.

Manusia diciptakan Allah SWT, penuh kelemahan. Sekiranya ia mempunyai kelebihan, pastilah akan ada pula kekurangan di bahagian yang lain. Itulah ajaibnya ciptaan Allah SWT, penuh rahsia dan hikmah yang terkandung. Tiada yang dicipta Allah, sia-sia!

Antara hikmahnya manusia diciptakan ada kelemahan ialah, antara sahabat-sahabat boleh saling nasihat menasihati. Sahabat yang melihat sahabatnya berbuat kesilapan, dapat menegur dan memberi nasihat. Maka, beruntunglah sahabat yang memberi nasihat, kerana ia beroleh pahala menjalankan kerja Amar Maaruf Nahi Mungkar.

Sahabat yang menerima teguran pula, akan berasa lapang dada dan terhutang budi kerana ada sahabat yang menjaganya. Teguran yang diberi, adalah bukti sahabatnya itu menyintainya. Sahabat yang kononnya menjaga hati, hingga tidak mahu menegur sahabat yang berbuat silap, sebenarnya tidak wajar dijadikan sahabat. Itulah dia, sahabat yang tidak boleh tumpang pada agama, juga pada akhirat.

Sedangkan, tujuan orang berIMAN bersahabat, adalah bukan hanya tumpang gembira di atas dunia, tetapi tumpang pada urusan akhirat. Supaya dapat saling mendekatkan diri kepada Allah dan RasulNya.

Namun, perlu diingat, teguran dan nasihat yang diberikan mestilah IKHLAS. Teguran itu mestilah penuh HIKMAH dan KASIH SAYANG. Teguran yang tidak berhikmah bukannya mengeratkan Ukhuwwah, tetapi akan mencetuskan kesedihan dan kemarahan. Muramlah wajah, lalu tidak bertegur sapa dan kemudiannya berakhir dengan terputusnya ikatan Ukhuwwah.

Sahabat yang menerima teguran pula, hendaklah IKHLAS dan gembira menerima teguran. Pujuklah hati, supaya merasa suka ditegur, kerana itulah buktinya sahabat itu menyayanginya. Sahabat yang tidak menyayanginya, pastilah akan membiarkan dirinya terus di dalam kesilapan.

Itulah namanya, asam garam persahabatan. Tiada erti persahabatan, jika tiada kenangan manis dan pahitnya. Kenangan-kenangan pahit-manis inilah yang memupuk erat persahabatan.

Kembali kepada pesanan Fudhail. Dalam persahabatan, pastilah ada salah silap dan kurangnya. Kadang-kadang, kita yang tersilap. Kadang-kadang, sahabat kita yang tersilap. Justeru, salinglah maaf memaafkan. Sekiranya bertelingkah, sahabat yang mula-mula meminta maaf itulah sahabat yang sejati. Sahabat yang mula-mula menghulur tangan, memberi salam dan menegur sapa, itulah dia sahabat yang sebenarnya.

Kasih dan sayangnya dia kepada sahabat, mengatasi marah dan benci kerana pertelingkahan. Dia sudah awal-awal memaafkan dan cepat-cepat pula meminta maaf. Inilah dia, kasih sayang dan asam garam dalam persahabatan.

Sentiasalah berbaik sangka (Husnu Zon) sesama sahabat. Jangan sesekali menyebut cacat-cela sahabat di dalam HATI, kerana itupun dikira mengumpat, cuma dengan hati. Apatah lagi, mengumpat dan menyebut cela sahabat dengan LISAN. Lebih-lebihlah ia perbuatan yang buruk dan Maksiat.

Ketahuilah adik-adikku Jilul Nasr yang dikasihi,
Antara tanda setia dan kasih kepada sahabat itu, mendiamkan buruknya. Menjadi tanggungjawab pada kita, untuk menjaga nama baik sahabat. Amanah bagi kita untuk merahsiakan kesilapan-kesilapan dan kekurangan sahabat. Janganlah sesekali memburuk-burukkan sahabat dihadapan orang lain. Itulah tanda betapa tidak ikhlasnya kita bersahabat.

Telah berpesan Saiyidina Abbas RA kepada anaknya, Saiyidina Abdullah bin Abbas RA.

“Aku melihat Saiyidina Umar RA di dalam majlis besar apabila hendak meminta pendapat seringkali dia mendapatkanmu terlebih dahulu.”

“Oleh itu, aku hendak berpesan kepadamu 5 perkara.”

Pertama, jangan sesekali membuka rahsia ketuamu.

Kedua, apabila berada di dalam majlisnya janganlah sesekali engkau bercerita keburukan orang lain.

Ketiga, jangan diketahui Umar yang engkau pernah berdusta walaupun kepada orang lain.

Keempat, jangan sesekali derhaka kepada perintahnya.

Kelima, jangan sampai di tahu yang engkau khianat.

Inilah jua pesanan abang buat adik-adik semua,
Pertama,
Janganlah sesekali dibuka rahsia pimpinan dan Jilul Nasr kepada umum. Peliharalah baik-baik dalam kalangan adik-adik, lalu selesaikanlah dengan penuh HIKMAH.

Sabarlah dalam berjuang dan bersahabat. Allah tidak menguji adik-adik di dalam Tamrin. Tidak di dalam PLKN, NTC atau KEMPRO. Bahkan Allah menguji adik-adik, sepanjang adik-adik berada di dalam Jemaah. Justeru, kalaulah ada pertelingkahan atau masalah-masalah yang timbul, peliharalah baik-baik, dan selesaikanlah bersama-sama.

Janganlah sesekali dibuka rahsia atau keburukan pimpinan dan jemaah kepada orang lain yang tidak berkenaan. Sesungguhnya, itulah seburuk-buruk perbuatan!

Kedua,
Sentiasalah tegur menegur dan nasihat menasihat antara satu sama lain dengan penuh hikmah. Inilah untungnya orang berjuang dan berjemaah. Ada sahabat di sisi yang sering mengingatkan dan memberi nasihat.

Adik-adik yang menerima nasihat pula, terimalah dengan hati yang TERBUKA. Meskipun, nasihat yang diberikan kadang-kadang mungkin mengguris hati. Ingatkan pada diri dan pujuklah hati, teguran itu walaupun pedih adalah bukti kasih sahabat kepada kita.

Ingatlah, janganlah dinasihati dan ditegur sahabat dengan KASAR. Tegurlah dengan penuh lembut dan kasih sayang. Allah mendidik manusia dengan kasih sayang, lalu bagaimana pula kita mahu mendidik manusia dengan kekerasan!?

Allah meletakkan kita di dalam rahim sewaktu bayi. Rahim itu, ertinya KASIH SAYANG. Rahim itu, terletak pada tubuh ibu, bukannya bapa. Itulah HIKMAH dan RAHSIA Allah. Rahim yang lembut dan selesa untuk kita waktu itu, diletakkan pula pada tubuh manusia yang lembut dan penyayang.

Justeru, bergaullah dengan penuh kasih sayang. Apabila ingin bertutur, atau memberi nasihat, ingat dan fikirlah, apakah kata-kata yang ingin disampaikan mungkin mengguris hati sahabat.

Adik-adikku,
Ketiga, janganlah sesekali menyebut keburukan sahabat kita di hadapan orang lain. Sebagaimana kita benci diumpat, begitulah pula jangan sesekali kita mengumpat.

Ketahuilah, umpat-mengumpat tidak mestinya di LISAN. Umpat di HATI (Su’u Zon) juga WAJIB dielakkan. Sentiasalah berbaik sangka kepada sahabat.

Wahai adik-adikku,
Abang pergi meninggalkan adik-adik, dalam keadaan adik-adik semua bersatu. Justeru, sentiasalah kekal bersatu, tetapi bukan kerana abang. Tetapi, kerana Allah dan RasulNya, juga kerana ISLAM dan perjuangan JILUL NASR!

Ketahuilah, kenangan indah bersama adik-adik, sentiasa diingati abang. Tidakkan abang lupa, wajah-wajah adik-adik, tutur kata dan suara adik-adik, juga teguran dan nasihat yang diberikan adik-adik.

Sesungguhnya, abang mengasihi kalian, kerana Allah dan RasulNya.

1 comment:

  1. Sabda Penghulu kita Nabi Muhammad SAW:
    Sesungguhnya Allah berfirman pada hari Qiamat : Manakah hamba2ku yg saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini,Aku akan beri naunganku pada hari yg mana tiada naungan selain naunganKu sendiri.... (Rawahul Muslim)

    Allahuakbar
    Semoga kita sampai ke tahap ini.... =)

    ReplyDelete