Suarafata

Bicara Minda dah Luahan Rasa Seorang Anak Muda.

Senyum. Sapa. Salam.

Senyum itu sedekah. Salam itu sunnah. Bertegur sapa mengerat ukhuwwah!

Muhasabah

Kredit untuk Khadimul Quran.

Muhasabah

Senyum dan terus melangkah.

Sang Murabbi

Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah.

Wednesday, March 9, 2011

Bangkitnya ISLAM dan RAKYAT, umpama Air Mengalir!

Ia ibarat air mengalir. Tenang, damai, nyaman dan senyap. Ia mengalir turun ke lembah kejayaan, melepasi ratusan, bahkan ribuan halangan yang merentanginya.

Manusia-manusia Penguasa yang gila takhta, akan cuba merencatkan alirannya. Justeru, dihadang ‘air’ itu. Diempangnya mereka.

[Surah al-A'raf, 45]
"Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat." 

Air itu tidak diam. Sesekali tidak! Ia mengesamping ke kanan atau ke kiri. Mencari jalan untuk ia ‘meloloskan’ diri.

Mereka empang pula di kiri dan kanan!

Manusia Penguasa akan berterusan cuba menghalang. Mereka paksa, mereka kekang. Mereka cipta akta-akta yang membelenggu suara dan memenjara minda.



Kadang-kadang mereka pujuk, mereka rayu. Datanglah ‘gula-gula’ dan kerja-kerja ‘mee segera’ menjelang tempoh Undi Raya.

[Surah al-Qalam, 9]
"Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu)."

Mereka kelihatan berjaya. ‘Air’ itu tampak diam, tidak bergerak. Mereka bertepuk-tampar gembira, geger riuh satu dunia mereka menang lagi sokongan dan kekal menjadi pilihan rakyat.

Mereka tertipu sebenarnya!

[Surah Az-Zumar, 39]
"Katakanlah: "Wahai kaumku (yang masih berdegil dalam kekufurannya)! Buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang ugama Islam yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya); kemudian kamu akan mengetahui kelak"

Air yang nampak tenang itu, hakikatnya sedang mengumpul kuasa. Biarpun empangan yang menghalang berjaya membatasi gerakannya, namun ia berhimpun. Ia berhimpun, berhimpun dan berhimpun. Terus berhimpun, menambah tenaga dan momentumnya.

Hinggalah suatu ketika, air itu MELEDAK! Waktu itu, apa jua cara tidak mampu menghalang, tidak akan berjaya mengekang. Ia merobohkan tembok-tembok binaan manusia Penguasa itu dengan sekali lalu! Ia mengheret mereka sama, menenggelamkan mereka, melemaskan mereka sekali dengan timbunan-timbunan harta yang mereka kumpul waktu di puncak takhta. 

[Surah al-Qamar, 45]
"Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari"



"Itulah nanti, Kebangkitan ISLAM dan kemenangan RAKYAT!!"

Sunday, March 6, 2011

Bingkisan buat Jilul Nasr


Adik-adikku yang dikasihi,
Telah diceritakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa seorang alim besar yang bernama Fudhail berkata, “Kebanyakan pemuda memperlihatkan susuk badannya agar dipandang perkasa, tetapi manusia yang GAGAH perkasa menurut ISLAM ialah yang sanggup memaafkan kesalahan sahabatnya”.

Manusia diciptakan Allah SWT, penuh kelemahan. Sekiranya ia mempunyai kelebihan, pastilah akan ada pula kekurangan di bahagian yang lain. Itulah ajaibnya ciptaan Allah SWT, penuh rahsia dan hikmah yang terkandung. Tiada yang dicipta Allah, sia-sia!

Antara hikmahnya manusia diciptakan ada kelemahan ialah, antara sahabat-sahabat boleh saling nasihat menasihati. Sahabat yang melihat sahabatnya berbuat kesilapan, dapat menegur dan memberi nasihat. Maka, beruntunglah sahabat yang memberi nasihat, kerana ia beroleh pahala menjalankan kerja Amar Maaruf Nahi Mungkar.

Sahabat yang menerima teguran pula, akan berasa lapang dada dan terhutang budi kerana ada sahabat yang menjaganya. Teguran yang diberi, adalah bukti sahabatnya itu menyintainya. Sahabat yang kononnya menjaga hati, hingga tidak mahu menegur sahabat yang berbuat silap, sebenarnya tidak wajar dijadikan sahabat. Itulah dia, sahabat yang tidak boleh tumpang pada agama, juga pada akhirat.

Sedangkan, tujuan orang berIMAN bersahabat, adalah bukan hanya tumpang gembira di atas dunia, tetapi tumpang pada urusan akhirat. Supaya dapat saling mendekatkan diri kepada Allah dan RasulNya.

Namun, perlu diingat, teguran dan nasihat yang diberikan mestilah IKHLAS. Teguran itu mestilah penuh HIKMAH dan KASIH SAYANG. Teguran yang tidak berhikmah bukannya mengeratkan Ukhuwwah, tetapi akan mencetuskan kesedihan dan kemarahan. Muramlah wajah, lalu tidak bertegur sapa dan kemudiannya berakhir dengan terputusnya ikatan Ukhuwwah.

Sahabat yang menerima teguran pula, hendaklah IKHLAS dan gembira menerima teguran. Pujuklah hati, supaya merasa suka ditegur, kerana itulah buktinya sahabat itu menyayanginya. Sahabat yang tidak menyayanginya, pastilah akan membiarkan dirinya terus di dalam kesilapan.

Itulah namanya, asam garam persahabatan. Tiada erti persahabatan, jika tiada kenangan manis dan pahitnya. Kenangan-kenangan pahit-manis inilah yang memupuk erat persahabatan.

Kembali kepada pesanan Fudhail. Dalam persahabatan, pastilah ada salah silap dan kurangnya. Kadang-kadang, kita yang tersilap. Kadang-kadang, sahabat kita yang tersilap. Justeru, salinglah maaf memaafkan. Sekiranya bertelingkah, sahabat yang mula-mula meminta maaf itulah sahabat yang sejati. Sahabat yang mula-mula menghulur tangan, memberi salam dan menegur sapa, itulah dia sahabat yang sebenarnya.

Kasih dan sayangnya dia kepada sahabat, mengatasi marah dan benci kerana pertelingkahan. Dia sudah awal-awal memaafkan dan cepat-cepat pula meminta maaf. Inilah dia, kasih sayang dan asam garam dalam persahabatan.

Sentiasalah berbaik sangka (Husnu Zon) sesama sahabat. Jangan sesekali menyebut cacat-cela sahabat di dalam HATI, kerana itupun dikira mengumpat, cuma dengan hati. Apatah lagi, mengumpat dan menyebut cela sahabat dengan LISAN. Lebih-lebihlah ia perbuatan yang buruk dan Maksiat.

Ketahuilah adik-adikku Jilul Nasr yang dikasihi,
Antara tanda setia dan kasih kepada sahabat itu, mendiamkan buruknya. Menjadi tanggungjawab pada kita, untuk menjaga nama baik sahabat. Amanah bagi kita untuk merahsiakan kesilapan-kesilapan dan kekurangan sahabat. Janganlah sesekali memburuk-burukkan sahabat dihadapan orang lain. Itulah tanda betapa tidak ikhlasnya kita bersahabat.

Telah berpesan Saiyidina Abbas RA kepada anaknya, Saiyidina Abdullah bin Abbas RA.

“Aku melihat Saiyidina Umar RA di dalam majlis besar apabila hendak meminta pendapat seringkali dia mendapatkanmu terlebih dahulu.”

“Oleh itu, aku hendak berpesan kepadamu 5 perkara.”

Pertama, jangan sesekali membuka rahsia ketuamu.

Kedua, apabila berada di dalam majlisnya janganlah sesekali engkau bercerita keburukan orang lain.

Ketiga, jangan diketahui Umar yang engkau pernah berdusta walaupun kepada orang lain.

Keempat, jangan sesekali derhaka kepada perintahnya.

Kelima, jangan sampai di tahu yang engkau khianat.

Inilah jua pesanan abang buat adik-adik semua,
Pertama,
Janganlah sesekali dibuka rahsia pimpinan dan Jilul Nasr kepada umum. Peliharalah baik-baik dalam kalangan adik-adik, lalu selesaikanlah dengan penuh HIKMAH.

Sabarlah dalam berjuang dan bersahabat. Allah tidak menguji adik-adik di dalam Tamrin. Tidak di dalam PLKN, NTC atau KEMPRO. Bahkan Allah menguji adik-adik, sepanjang adik-adik berada di dalam Jemaah. Justeru, kalaulah ada pertelingkahan atau masalah-masalah yang timbul, peliharalah baik-baik, dan selesaikanlah bersama-sama.

Janganlah sesekali dibuka rahsia atau keburukan pimpinan dan jemaah kepada orang lain yang tidak berkenaan. Sesungguhnya, itulah seburuk-buruk perbuatan!

Kedua,
Sentiasalah tegur menegur dan nasihat menasihat antara satu sama lain dengan penuh hikmah. Inilah untungnya orang berjuang dan berjemaah. Ada sahabat di sisi yang sering mengingatkan dan memberi nasihat.

Adik-adik yang menerima nasihat pula, terimalah dengan hati yang TERBUKA. Meskipun, nasihat yang diberikan kadang-kadang mungkin mengguris hati. Ingatkan pada diri dan pujuklah hati, teguran itu walaupun pedih adalah bukti kasih sahabat kepada kita.

Ingatlah, janganlah dinasihati dan ditegur sahabat dengan KASAR. Tegurlah dengan penuh lembut dan kasih sayang. Allah mendidik manusia dengan kasih sayang, lalu bagaimana pula kita mahu mendidik manusia dengan kekerasan!?

Allah meletakkan kita di dalam rahim sewaktu bayi. Rahim itu, ertinya KASIH SAYANG. Rahim itu, terletak pada tubuh ibu, bukannya bapa. Itulah HIKMAH dan RAHSIA Allah. Rahim yang lembut dan selesa untuk kita waktu itu, diletakkan pula pada tubuh manusia yang lembut dan penyayang.

Justeru, bergaullah dengan penuh kasih sayang. Apabila ingin bertutur, atau memberi nasihat, ingat dan fikirlah, apakah kata-kata yang ingin disampaikan mungkin mengguris hati sahabat.

Adik-adikku,
Ketiga, janganlah sesekali menyebut keburukan sahabat kita di hadapan orang lain. Sebagaimana kita benci diumpat, begitulah pula jangan sesekali kita mengumpat.

Ketahuilah, umpat-mengumpat tidak mestinya di LISAN. Umpat di HATI (Su’u Zon) juga WAJIB dielakkan. Sentiasalah berbaik sangka kepada sahabat.

Wahai adik-adikku,
Abang pergi meninggalkan adik-adik, dalam keadaan adik-adik semua bersatu. Justeru, sentiasalah kekal bersatu, tetapi bukan kerana abang. Tetapi, kerana Allah dan RasulNya, juga kerana ISLAM dan perjuangan JILUL NASR!

Ketahuilah, kenangan indah bersama adik-adik, sentiasa diingati abang. Tidakkan abang lupa, wajah-wajah adik-adik, tutur kata dan suara adik-adik, juga teguran dan nasihat yang diberikan adik-adik.

Sesungguhnya, abang mengasihi kalian, kerana Allah dan RasulNya.

Janganlah Lord Reid jawapannya!

Maha Suci Allah, Maha Sempurna Dia. Alam ciptaanNya, tersusun rapi, terbina indah. Lihatlah langit yang tiada tiang menyangga, ‘berdiri’ megah di atas kepala. Lihatlah bumi luas terbentang, dikeluarkan daripada ‘perut’nya rezeki-rezeki untuk manusia. Ada pohon-pohonan yang menghasilkan buahan sebagai makanan, ada juga yang paling kurang sebagai tempat berteduh. Semakin dipandang, semakin banyak dan luas keindahan yang dinikmati.

Nyatalah, Maha Kuasa Allah yang menciptakan sekalian alam ini. Mustahillah bagi Allah menjadikan segalanya sekadar untuk ‘bermain-main’ dan sia-sia. Diciptakan dunia, sebagai tangga ke akhirat, negeri sebenar yang bakal dihuni kita semua. DiciptakanNya hidup dan mati, untuk menguji yang mana antara kita, baik amalannya.

DiciptakanNya juga syurga dan neraka, untuk dijadikan ‘rumah’ manusia di negeri Akhirat nanti. Beruntunglah manusia-manusia yang mendapat Redha dan Kasihan belasNya, diizinkan menempati Syurga selama-lamanya. Dengan bidadari-bidadari bermata cantik, buah-buahan dan makanan yang tersedia pada detik dia menginginkannya ataupun untuk dipetik daripada dekat dan sungai-sungai indah yang mengalir di bawahnya. Mereka hidup dalam gembira dan aman, bersuka ria, sebagai balasan untuk mereka yang ‘bersusah’ dan ‘berpayah’ di dunia.

Celaka amatlah manusia, yang menempati Neraka. Diberi makan daripada pohon Zaqqum, yang disumbat masuk ke kerongkong mereka. Di dalam perut, buahan itu menggelegak umpama cairan tembaga, yang membuak-buak umpama air panas yang sedang mendidih. Lalu Malaikat-malaikat yang sentiasa patuh kepada Allah SWT, dan diberi kudrat mengatasi segala kudrat manusia di dalam Neraka diarah supaya mengheret manusia-manusia durjana pendosa ke tengah-tengah Neraka. Kemudian, Malaikat-malaikat itu menuangkan ke kepala mereka air panas yang menghancur-luluhkan tubuh badan mereka. Berteriaklah mereka mohon dikasihani, mohon diampuni. Bertempiklah mereka, meminta supaya dihidupkan kembali untuk beramal baik. Menjeritlah mereka, mohon dibiarkan mereka mati pada saat itu juga.

Herdik Malaikat kepada mereka, “Rasakanlah, (bukankah) sesungguhnya kamu benar-benar orang perkasa lagi mulia!”

Tiada mati sesudah mati di dunia. Kekallah manusia, di negeri Akhirat yang abadi, menempati tempat yang sesuai dengan perbuatan mereka di dunia.

Ketahuilah,
Mengakui keEsaan Allah bukanlah sekadar tidak menyembah selainNya. Esanya Allah, tidak hanya pada zatNya, bahkan pada KERJANya, pada KetentuanNya. Itu semua, perlu diakui dan disaksikan juga.

Umpamanya, langit! Tiada yang memiliki saham dalam pembuatan langit. Hanya Allah jualah yang telah menciptakan. Bahkan, bukan sahaja langit, seluruh alam semesta malahan!

Begitu jualah, ketentuanNya, undang-undangNya, hukum hakamNya! Tiada sekutu bagi undang-undang Allah, tiada sekutu bagi Syariat Allah!

Justeru, bagaimana manusia yang menolak Hukum Hakam Allah? Bagaimana manusia yang tidak mengendahkan Syariat Allah? Antara Syurga dan Neraka, mana pula yang layak bagi mereka?

Besarlah dosa bagi sesiapa yang mengingkari hukum hakam Allah. Bertambah besarlah pula bagi satu kumpulan yang diberi mandat kuasa oleh Allah, yang berterusan menafikan hukum hakam Allah.

Begitu jualah, buat mereka yang menyokong kumpulan ini. Di Neraka, manusia yang lemah akan berkata kepada manusia yang lebih ‘berkuasa’, “Engkaulah yang mengheret aku ke Neraka!”

Jawab manusia berkuasa, “Engkaulah yang mengikuti aku ke Neraka!”

Saling bertelingkahlah sesama mereka di dalam Neraka, sedangkan para pejuang Islam, para pendukung dan penyokong, juga para pengundi kumpulan yang berjuang meninggikan Syariat Allah dan Sunnah RasulNya, bersenang-lenang di dalam Syurga.

Kembalilah, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Selagi matahari masih mula bersinar di tempat biasa, peluang untuk KEMBALI masih ada. Hentikanlah menyokong kumpulan yang memusuhi Allah dan RasulNya! Hentikanlah mengikuti dan memilih kumpulan yang menolak dan memusuhi para Ulama’ dan pejuang yang berusaha keras menegakkan hukum dan syariat Allah di Malaysia ini.

Yakinlah,
Undang-undang Allah itulah sebenar-benar keadilan dan keamanan. Syariat Allah itulah yang sebenarnya yang mententeramkan.

Tiadalah berguna walau satu sen pun untuk dibawa menghadap Allah wang-wang yang diselit di celahan batik. Banyak manapun wang yang disorok di balik lipatan kain pelikat, sedikitpun tidak membantu waktu di dalam kuburan.

Janganlah sehingga di dalam kubur, ternganga-nganga mahu dijawab soalan Mungkar dan Nakir.

Janganlah waktu ditanya oleh mereka, “Siapa Tuhanmu!?”

Lord Reid jawapannya.

Friday, March 4, 2011

Surat Terbuka untuk Datin Seri Rosmah Mansor

Assalamualaikum Datin Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, andai diizinkanNya, Julai nanti genaplah usia saya 19 tahun.

Saya perkenalkan diri, sebagai remaja yang ingin tahu. Apa jua medium yang termampu saya pergunakan, saya usahakan sebaiknya agar saya dapat mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkenaan negara Malaysia yang tercinta ini.

Iya, Datin Seri. Umur saya, sangat muda. Kedudukan saya, jauh benarlah kiranya dibandingkan dengan Datin Seri. Namun, saya yakin dan percaya, andai umurlah yang menjadi penentu kelayakan seseorang untuk bersuara, tidaklah layak sama sekali untuk suami Datin Seri memegang amanah pentadbiran negara sekarang, kerana di luar sana terdapat ramai yang lebih tua usianya!

Tegas saya, saya adalah remaja yang memerhati. Saya tidak mahu, sekadar menjadi manusia yang kerjanya memuaskan tembolok sendiri. Tidak juga hanya terpaku di bilik darjah, ‘menelan’ buku teks sekolah. Saya percaya, erti hidup pada memberi!

Datin Seri Rosmah Mansur yang saya hormati,
Saya pohon jutaan kemaafan, andai surat kecil ini menyinggung Datin Seri. Saya tidak berniat untuk menyakiti hati Datin Seri, jauh sekali memburuk-burukkan. Surat kecil ini, hanyalah usaha kerdil saya, menyampaikan isi hati. Ia hanyalah suara hati dan pandangan seorang anak muda.

KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT

Datin Seri,
Pernah suatu pagi, saya dibawa ibu untuk menziarahi jenazah anak tunggal seorang jiran kami. Kanak-kanak kecil itu, baru berusia 6 tahun. Khairani namanya. Runtun rasa di hati, sebaik melihat keadaan rumah tempat tinggalnya kanak-kanak itu bersama ibunya. Saya cuba membayangkan, bagaimanalah andainya hujan lebat menimpa bumbung rumah itu. Atapnya berlubang-lubang, hinggakan saya fikir memadai dengan cahaya matahari yang ‘mencuri’ masuk melaluinya untuk menyinari ruang dalam rumah daif itu. Saya terpaksa melangkah berhati-hati, kerana lantainya berkeriut dan goyah sekali.

Hadir insaf dan syukur di dalam hati saya, bahawa betapa saya memiliki hidup yang jauh lebih baik dan selesa berbanding ramai lagi rakyat kebanyakan.

Di sekolah, saya punyai rakan-rakan yang sulit sekali melangsaikan yuran bulanan asrama. Bukan culas, bukan malas, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka. Adik-beradik ramai yang masih bersekolah, ditambah taraf hidup dan kos keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari, semuanya membebankan!

Datin Seri,
Sungguh saya tidak mampu mengelakkan rasa kecewa, apabila mengetahui yang Datin Seri bermalam di sebuah hotel di Dubai dengan kos melebihi RM100, 000 semalaman. Sehingga ke hari ini, saya  masih teringatkan rumah daif adik Khairani, juga nasib ramai lagi yang saya temui sepanjang umur ini. Saya tahu, betapa besarnya urusan Datin Seri, juga kedudukan Datin Seri. Mungkin memang Datin Seri berhak, tetapi, apakah Datin Seri langsung tidak teringatkan kami, rakyat yang kesusahan? Apakah Datin Seri langsung tidak terfikirkan nasib ratusan, ribuan lagi rakyat yang tidak bernasib baik?

Apakah tiada langsung rasa bersalah di hati Datin Seri? Rasa bersalah kerana tinggal hanya untuk semalaman tetapi dengan kos yang boleh menyamai lebih kurang pendapatan selama 66 bulan bagi 40 peratus rakyat Malaysia! 40 peratus inilah rakyat yang pendapatan bulanan bagi setiap keluarga adalah lebih rendah daripada RM1500 sebulan. Bahkan setiap 3 daripada 4 keluarga ini, adalah sebangsa dengan Datin Seri, bangsa MELAYU!

Atau apakah Datin Seri tidur dengan lena malam itu?

Hingga hari ini, sudah bertahun saya tidak ke restoran Pizza Hut, McDonald dan seumpamanya. Kerana cukup dengan hanya melihat dari jauh, hadir rasa pilu mengenangkan saudara-saudara seagama, anak-anak muda seusia saya atau kanak-kanak, wanita dan orang tua yang dibunuh kejam di Palestin oleh rejim zalim Israel hasil sumbangan restoran-restoran ini.

Ia dipanggil, kasih sayang Datin Seri. Maafkan saya, tetapi saya terpaksa bertanya, apakah tiada langsung walau secebis pun rasa kasihan kepada rakyat Malaysia yang hidup serba kesusahan? Rakyat yang terpaksa melupakan impian dan keinginan kerana kesempitan hidup, namun terpaksa pula menanggung kos penginapan Datin Seri dan rombongan di luar negara untuk hanya semalaman!? Bayangkan pula kos penerbangan untuk keseluruhan rombongan selain daripada penginapan!

Peningkatan kos sara hidup waktu ini, sangatlah membebankan. Suami Datin Seri berterusan meminta seluruh rakyat berjimat, sedangkan isterinya? Hasil tindakan kerajaan pimpinan suami Datin Seri, mengurangkan subsidi untuk rakyat terbanyak sedangkan untuk para taukeh-taukeh besar dikekalkan, juga ‘penyelarasan-penyelarasan’ harga, teramatlah menyulitkan kami semua.

Sungguh Datin Seri, kami sangat terbeban meskipun harga petrol dinaikkan walau beberapa sen. Ia akan mempengaruhi seluruh kehidupan kami. Harga makanan, pakaian, kos pengangkutan dan semuanya akan semakin menyulitkan kami. Saban hari, saya melihat ibu mengeluh kerana gajinya sukar sekali untuk disimpan, ia sekadar mencukupi untuk setiap bulan.

Kami rakyat tidak meminta Datin Seri turut menaiki kereta biasa atau tinggal di rumah biasa seperti kami. Hanya yang kami rakyat pinta, supaya Datin Seri dan suami menyelami hakikat kesukaran yang terpaksa kami tempuhi.

Malangnya, tindakan Datin Seri berbelanja mewah begini adalah sama sekali tidak menggambarkan Datin Seri dan suami bersama-sama kami. Sungguh, ini amat mengecewakan saya. Sukar sekali untuk saya mewajarkannya. Maafkan saya Datin Seri, sungguh ia tidak dapat saya terima.

IFF dan ISLAM

Datin Seri yang dihormati,
Tiadalah yang lebih mengecewakan dan membangkitkan kemarahan, melainkan ketika melihat Datin Seri dan suami di Festival Fesyen Islam Monaco. Bagaimana tidak, pakaian yang diperagakan langsung tidak menggambarkan Islam! Langsung tidak menutup aurat, menampakkan bahagian-bahagian yang sepatutnya sulit dan yang paling dahsyatnya, nama RasuluLlah SAW yang mulia tertera pada pakaian yang tidak menutup aurat!

Apakah Datin Seri tidak menyedari, bagaimana kemarahan yang telah Datin Seri cetuskan? Nama RasuluLlah SAW yang mulia dihina sebegitu rupa! Namanya cukup mulia, hinggakan apabila disebut namanya, dikira manusia yang paling kikir sekiranya tidak dipanjangkan nama itu dengan selawat ke atasnya. Tiba-tiba, nama itu dihina sebegitu rupa! Bahkan, Datin Seri yang menghadapi teguran, kritikan, kecaman dan tunjuk rasa langsung tidak memohon maaf. Langsung tidak!

Sedangkan para Ulama’ masih berbahas, bagaimana cara paling baik untuk mengagungkan Manusia Mulia ini, tiba-tiba Datin Seri kelihatan meredhai perbuatan yang jelas MENGHINA Baginda Nabi SAW!

Sebenarnya, Datin Seri sudah dari awal menunjukkan kecekalan Datin Seri melanggar syariat Allah. Datin Seri tidak menutup aurat, bersentuhan, berlaga pipi dan berpelukan dengan lelaki bukan mahram yang disepakati sekalian Ulama’ sebagai perbuatan yang HARAM!

Menyentuh anjing atau khinzir, hukumnya juga Haram (ralat ; kesilapan saya). Namun, hilang kotornya dengan perbuatan menyamak. Malangnya, tiada apa yang mampu ‘membersihkan’ haram dan kotornya nya menyentuh lelaki ajnabi kecuali API NERAKA!

Lalu, dengan semua perlakuan Datin Seri, apakah mungkin Datin Seri fikir kami rakyat akan menerima dakwaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kerajaan pimpinannya berusaha keras berjuang demi Islam dan bangsa. Sedangkan isterinya sendiri, tidak memelihara Akhlak dan Syariat Islam, juga adab-adab kesantunan Melayu malahan!

RAKYAT MENGIKUTI PEMIMPIN MEREKA

Kata ahli hikmah, “Agama manusia itu, di atas Pemimpin mereka”. Tinggi sahsiahnya, baik akhlaknya, ikhlas hatinya, patuh dan taat kepada Allah, maka begitulah jua rakyatnya. Rakyat akan terpengaruh dengan ketua mereka.

Malaysia hari ini, dalam keadaan yang benar-benar dahsyat bagi saya. Setiap masa perlu di dalam keadaan berjaga-jaga, kerana penjenayah menunggu kita alpa. Gerun saya melihatkan kanak-kanak yang bermain sendirian di halaman rumah, bimbang kalau-kalau ada manusia busuk hati yang berniat jahat kerana jenayah hari ini langsung tidak mengenal beza usia!

Budaya Hedonisme melampau. Nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan. Remaja Melayu Muslim tidak segan silu memakai pakaian yang jauh menyimpang daripada Islam dan adab Melayu. Tidak kekok mengogok arak di pesta-pesta jamuan nafsu. Saban hari ada sahaja kes bunuh bayi lewat pergaulan tanpa batas! Hari ini, remaja mati dengan sia-sia. Samada mati dalam ketagihan najis dadah, atau kemalangan dalam perlumbaan haram!

Bahkan seribu satu lagi, penyakit-penyakit sosial yang sedang membarah, membusuk di dalam negara tercinta!

Bukanlah saya menuding jari kepada Datin Seri dan suami, saya akui malahan, bahawa Datin Seri kelihatan cuba berusaha sedikit sebanyak bagi menangani masalah-masalah ini. Namun, hakikatnya, keadaan rakyat sesuai dengan keadaan pemimpinnya!

Manusia yang jelas disabitkan kesalahan rasuah, diangkat menjadi pemimpin! Manakala pemimpin lain yang mengkritik tindakan ini, di arah supaya tutup mulut dan diambil tindakan! Apa sudah jadi pada negara!? Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Apabila amanah diberikan kepada BUKAN ahlinya, maka tunggulah KEHANCURAN!”

Pemimpin negara tidak memelihara adab pergaulan Islam, tidak memelihara batas aurat, berbelanja boros tanpa timbang rasa kepada rakyat, justeru, bagaimana mungkin kita mengharapkan yang baik-baik daripada rakyat?

Saya gerun melihat perkembangan ini, Datin Seri. Hari ini, kita mengeluh kerana ramainya anak-anak luar nikah yang didaftarkan. Bayangkanlah, apa yang mungkin kita keluhkan 5 atau 10 tahun akan datang!

Antara sifat agama kita, INQILABIYYAH Datin Seri. Ertinya, adil dan zalim mustahil begerak seiring. Kebenaran dan kebatilan sama sekali tidak akan bercampur. Syariat Islam dan yang bercanggah dengannya, pasti tidak akan ditemui titik temu antara keduanya. Justeru, Datin Seri berusahalah sehebat manapun untuk memperbaiki masalah sosial, gejala buang bayi dan sebagainya, selagi suami dan kerajaan Datin Seri terus mengesampingkan hukum Allah, dasar Allah, syariat Allah, maka Datin Seri tidak akan BERJAYA! Berani saya kata!

Bagaimana tidak? Datin Seri berusaha mengelakkan masalah bunuh bayi yang kita semua maklum ia bermula daripada pergaulan bebas, sedangkan hub hiburan malam, lesen judi dan konsert-konsert mega sebenarnya adalah penyumbang besar kepada masalah ini! Kerajaan pimpinan suami Datin Seri, umpama membina dan meruntuhkannya semula. Bina dan runtuh, kemudian bina dan runtuhkan lagi. Itulah kitarannya.

KUASA

Datin Seri keluar negara untuk bertemu pemimpin negara luar, pernah juga Datin Seri menyambut kehadiran Perdana Menteri luar negara ke Malaysia, dana RM111 juta untuk PERMATA, pertemuan First Lady dan liputan-liputan meluas setiap aktiviti Datin Seri di media dalam dan luar negara, itu bagi saya menunjukkan yang Datin Seri seolah-olah punya kuasa di dalam pentadbiran negara.

Justeru, sebagai anak muda yang penuh persoalan di minda, saya bertanya dengan baik, bagaimana ini semua berlaku? Sedangkan, kami rakyat tidak pernah melantik Datin Seri sebagai pemimpin negara. Suami Datin Seri yang memimpin kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui proses Pilihan Raya! Atau apakah dengan hanya menjadi isteri kepadanya, menjadikan Datin Seri turut berkuasa?

Datin Seri pasti tahu, berkenaan kebangkitan rakyat yang menyemarak di Timur Tengah. Kerajaan yang tidak bertimbang rasa diterjah dan dihalau rakyat! Antara isunya ialah bagaimana berkuasa dan kaya rayanya isteri kepada pemimpin-pemimpin yang telah tumbang itu.

Saya cintakan negara saya. Tidak sanggup saya melihat negara porak peranda, namun, kiranya Datin Seri berterusan mengikut jejak langkah isteri-isteri pemimpin yang tumbang itu, maka mungkin Datin Seri dan suami boleh menerima nasib yang sama. Kami rakyat semakin tidak tertanggung lagi dengan tekanan-tekanan kewangan dan keperluan hidup sekarang!

Datin Seri,
Surat ini bukanlah ancaman, bukan juga ugutan. Ia sekadar luahan rasa, nasihat dan pandangan yang cuba seorang anak muda sampaikan. Ingin benar saya ingatkan, kedudukan yang Datin Seri nikmati hari ini, adalah kerana rakyat memilih suami Datin Seri. Kuasa di tangan kami, untuk menentukan jatuh dan bangunnya Datin Seri dan suami. Dan sebenarnya, kami rakyat hanyalah ‘jalan’ bagi Allah untuk mengatur ketentuan ini, Allah jualah yang meletakkan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Justeru, berbaiklah dengan kami. Patuhilah suruhan Allah. Kami tidak pinta lebih, sekadar bertimbang-rasa untuk kami.

Datin Seri yang dihormati,
Surat ini mungkin sampai ke tangan Datin Seri. Mungkin sampai sendiri, atau terhenti di tangan pembantu-pembantu Datin Seri atau tidak mampu hampir sama sekali. Kiranya ia selamat sampai ke tangan Datin Seri, saya pohon maaf, kalaulah surat kecil saya ini mengguris rasa Datin Seri. Maafkan saya, kalau ia kerana kesilapan-kesilapan bahasa dan cara penulisan. Namun, andainya Datin Seri terasa hati kerana menerima teguran, tidak akan saya pohon maaf untuk itu! Teguran ini adalah benar, justeru tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kebenaran. Ia pasti menang dan tertegak!

Inilah PENCAK kami! PENCAK ANAK MUDA!