Friday, February 11, 2011

Tumbang Hosni! Tumbang Rejim Zalim!

Kuala Lumpur. 1 Ogos 2009. Usai solat jama’ - qasar Zohor dan Asar di Masjid Negara, saya dan rakan-rakan ikut turun ke dataran masjid. Di tangga, sudah terbentuk kelompok kecil rakyat. Samada yang datang dari jauh atau dekat, mereka hadir hari itu untuk satu tujuan, mengumandangkan suara rakyat untuk didengari Pemerintah!


Maka tengahari itu, seluruh dunia menjadi saksi. Ibu negara menjadi medan hambat menghambat. Siren polis, deru kipas helikopter, loceng amaran dan hentakan cota FRU serta bunyi das-das tembakan gas pemedih mata bersaing hebat dengan gegak-gempita suara rakyat. Laungan Takbir membangkitkan rasa, menggegar jiwa saya laungkan bersama sahabat-sahabat seperjuangan.

Berduyun manusia yang punya kesedaran tinggi dan mahukan keadilan, berarak melangkah, membentuk lautan manusia yang saya tidak nampak hujungnya.


Saya dan rakan-rakan dibedil polis dengan gas pemedih mata. Sudah lali! Sudah berkali-kali kami rasai. Malangnya, pancutan air kimia tetap berjaya melemahkan kami, ‘membutakan’ kami, sehingga kami terpaksa melarikan diri mencari tempat perlindungan. Saya rebah tersungkur ke jalan raya, dalam kelam-kabut saya diseret teman yang dari awal erat menggenggam tangan, membantu saya menyelamatkan diri daripada ditahan polis.

Sebaik sahaja keadaan sedikit tenang, kami berkumpul semula. Kami menadah tangan ke langit, mengharap bantuan dan kekuatan daripada Pemilik Segala Kekuasaan. Usai berdoa, kami menyusun saf dan menghadap kiblat. Solat sunat hajat dua rakaat. Belumpun sempat salam pertama diberi, kedengaran deruman enjin trak FRU datang dari sebelah kiri. Saya menyempurnakan rukun solat dengan salam pertama waktu kedengaran tembakan gas pemedih mata ke arah kami.

Bercempera kami melarikan diri. Saya sempat menoleh ke kiri, sebutir bom asap pemedih mata jatuh tepat di samping saya.

AlhamduliLlah, sedikit kenangan indah yang dapat saya kutip sepanjang usaha mempelajari dan mengerti perjuangan ini. Semuanya terimbau kembali waktu saya mengikuti perkembangan revolusi Mesir yang berlangsung hebat kini.

Tiada rejim yang mampu menandingi kekuatan suara rakyat, yang dipadu dengan kekuatan Aqidah!

Saya melihat ikhwan seperjuangan di Mesir, solat berjemaah di dataran lapang dan di jalan-jalan raya. Kalau waktu saya dan rakan-rakan di Kuala Lumpur, kami melarikan diri ketika ditembak gas pemedih mata, namun ikhwan seperjuangan di Mesir tetap di dalam saf mereka. Teguh dengan qiam mereka, tatkala mereka dipancut air kimia terus ke muka waktu bersolat jemaah! MASYAALLAH! SUBHANALLAH!


Kekuatan apa ini!? Ini bukan kekuatan rakyat biasa, ini kekuatan tentera-tentera Allah! Ini kekuatan yang lahir daripada IMAN! Bukan sekadar protes kerana dizalimi, ini adalah perjuangan rakyat menegakkan ISLAM di negara mereka!

Terbaru, Hosni cuba mengambil hati rakyat. Beliau mengarahkan pasukan keselamatan untuk tidak agresif dalam mengawal himpunan rakyat Mesir. Yang menghairankan sungguh lucunya, sahabat-sahabat seperjuangan yang berhimpun di Kedutaan Amerika untuk menyatakan sokongan mereka kepada rakyat Mesir dan membantah campurtangan Amerika, di’serang’ dan dihambat pula oleh polis Malaysia.

Mungkin benar kata seorang Menteri, yang tugasnya ‘Menerang, Berkomunikasi dan Mengurus Hal-Ehwal Kebudayaan’. Katanya, keadaan di Mesir ‘berbeza’ dengan di Malaysia. Benarlah barangkali, waktu Mesir melonggarkan tekanan kepada rakyat, Malaysia pula yang ‘lebih-lebih’ bertindak.

Saya kira, sedikit sebanyak revolusi Mesir dan Tunisia awalnya, turut menjadi mimpi ngeri yang mendatangi malam-malam Penguasa-penguasa ini. Membuatkan mereka trauma dengan sebarang himpunan rakyat.

Ikhwanku yang dicintai di Mesir sana, teruskan usaha kalian. Kami di sini, tidak putus mendoakan.

Kemenangan kalian, adalah kemenangan kami! Kemenangan kalian, akan membuka pintu kecil yang membawa masuk sinar harapan untuk anak-anak Palestin! Kalian tumbangkanlah rejim zalim yang merantai kehidupan kalian itu, sekaligus merobohkan dinding yang sekian lamanya memenjara ikhwan kita di Palestin.

Pergi jahanam dengan usaha-usaha Amerika yang cuba mencampuri urusan kalian! Jahanam juga dengan mana-mana suara yang meminta kalian undur! Jahanam dengan suara-suara damai yang cuba dibawa Hosni!

Tiada damai untuk kamu Hosni! Tiada damai untuk manusia yang telah banyak ‘berjasa’ mengekang perjuangan ISLAM, perjuangan rakyat! Tiada damai untuk manusia yang telah bertanggungjawab menutup ruang bantuan dan sedikit harapan untuk rakyat Palestin!

Tiada damai untuk kamu Hosni, manusia yang berjiran dengan Palestin, sedang di hatimu tiada sedikit pun simpati untuk anak-anak Palestin! Pergi jahanam dengan kamu Hosni, manusia yang paling berguna untuk Israel di seluruh pelusuk Asia Barat!

Pergi jahanam dengan mana-mana rejim zalim, yang memandang enteng kekuatan suara rakyat. Nantikanlah letusannya, ia akan menghancurkan kalian!

YASQUT MUBAARAK!! YAHYA SHA’AB!!

0 comments:

Post a Comment