Saturday, January 8, 2011

Yakinlah Wahai Jilul Nasr

Bertubi-tubi saya ditembakkan mesej oleh adik-adik Jilul Nasr. Daripada yang mengucapkan penghargaan, hinggalah kepada yang sekadar bertanya khabar. Tetap semuanya memberi bekas di hati ini. 

Ada yang tak terbalas bahkan. Bukan tak sempat, tetapi.. kadang-kadang tak termampu saya balas.. Bingkisan daripada adik-adik, kadang-kadang ada yang selamba biasa, ada juga yang boleh meruntun rasa, mengalirkan air mata.. Saya sentiasa kecewa sendiri, dek gagal mencari perkataan yang sesuai untuk membalas mesej-mesej adik-adik ini..

Tak sedikit mesej yang ditaip panjang saya padamkan semula, tak kurang juga karangan berjela yang dibuang begitu sahaja, semuanya gara-gara saya merasakan yang jawapan saya untuk adik-adik tidak cukup baik. Sedangkan, saya mahu memastikan yang terbaik untuk mereka..
Iya, daripada setiap perkara, bermula nama gelaran mereka hinggakan program dan aktiviti mereka. Semuanya cuba untuk kami laksanakan sehabis baik.
Mengapa? Kerana merekalah Generasi Penggegar Dunia yang sedang kami bentuk. Pada merekalah, kefahaman dan semangat cuba kami garap sedaya upaya, agar kelak, suatu waktu nanti, generasi yang diimpi As-Syahid Syed Qutb, yang dicita oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan impian sekalian pejuang Islam.. iaitu JILUL NASRIL MANSYUD!!!
Faham dan Yakin
Untuk kalian Jilul Nasr, ingin abang tegaskan, kalian sedang berada di jalan yang tepat. Tiada jalan yang lebih baik daripada jalan yang kalian sedang lalui ini. Yakinlah yang kalian sedang berkelana menuju Allah, dalam keadaan yang paling benar dan paling hebat. Berbanggalah kalian, bahawa jalan kalian tempuhi sekarang inilah sebenar-benar jalan, inilah satu-satunya jalan.
Sesungguhnya adik-adik yang abang kasihi sekalian, adik-adik semua telah menyahut perintah Allah, di dalam Surah as-Saff, ayat 14  :
Yang bermaksud : “Wahai orang-orang Yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Lalu mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!"
Adik-adik abang, Allah berfirman dengan cukup jelas, “Jadikanlah diri kamu AnsaruLlah..!!”. Kalian siapa? Bukankah kalian Jilul NASRIL Mansyud!?
Inilah rahsia, mengapa abang begitu bersungguh menggelarkan kalian dengan Jilul NASR. Kalianlah cita-cita kami, kalianlah harapan dan impian kami.
Justeru adik-adik yang dikasihi, kita tak punya masa untuk dilengahkan, masa untuk dibazirkan. Setiap detik yang kita sia-siakan adalah ‘kegagalan dan kekalahan’. Setiap saat yang kita biarkan berlalu tanpa usaha mempersiapkan diri sebagai Generasi AnsaruLlah, hanya akan membawa bala bencana kepada ummah dan agama Islam. Mari adik-adikku, kita renungi firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 108 :
Yang bermaksud : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, mengajak manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan Keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (daripada Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain."
Adik-adik Jilul Nasr sekalian, pentingnya untuk kita sama-sama memahami Islam dan Perjuangannya serta yakin inilah sebaik-baik jalan. Kerana dengan Faham akan membuahkan Amal.
Adik-adik ana, kita, Daie ini, umpama pohon berbuah. Dilontar orang dengan batu, demi mendapatkan buah yang kita ada. Lalu, andai kiranya kita tak punya sesuatu, apa yang akan kita berikan pada orang?
Mari kita renungi, pesanan Saiyidina Umar bin Abdul Aziz, Khulafa’ ar-Rasyidin ‘kelima’ : “Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, dia lebih membawa kepada keburukan”.
Adik-adik ana yang dikasihi, kita, kamu semua dan abang, perlu sama-sama memenuhkan diri dengan ilmu. Agar waktu kita terlontar ke medan perjuangan, kita mempunyai hujah jelas untuk  mempertahankan Islam. Justeru adik-adikku, jangan sesekali kalian lengah daripada memperteguhkan KEFAHAMAN. Ingatlah, bahawa asas perjuangan kita adalah FAHAM. Iya, faham!
Al-Imam As-Syahid Hassan al-Banna menyebut, “Yang saya maksudkan dengan faham ialah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah Islam yang tulen”.

Apa maksudnya?
Kita hendaklah yakin kepada Islam. Yakin untuk hidup dengan Islam. Yakin untuk hidup untuk Islam.
Ramai Muslim sekarang, kononnya mengaku Islam. Tetapi, dirinya sebenarnya, tidak yakin dengan Islam. Hidup lebih Amerika berbanding Amerika sendiri. Tauhid dilempar entah ke mana. Syariat terbiar tak dipeduli. Tapi, apabila bernikah kahwin, beraya Aidilfitri, mengikut Islam.. tetapi, Solat, Puasa, AKHLAK!!?? Mereka ini mengaku sahaja Islam, sedangkan mereka beramal dengan cara hidup Jahiliyyah, iya, jahiliyyah di abad moden ini.
 
Minda mereka jahiliyyah, akhlak mereka jahiliyyah. Mereka tertipu dengan permainan musuh-musuh Islam. Sedikit sahaja mereka disuakan dengan perangai-perangai Jahiliyyah, terus terpengaruh dan terikut-ikut, hinggakan terlupa habis siapa Tuhan sebenar, siapa ikutan sebenar, apa panduan hidup sebenar..
Maka, kita hendaklah memahami Islam sebagaimana ia selayaknya difahami, hinggakan kita mampu untuk meletakkannya (Islam) sebagaimana ia sewajarnya diletakkan.

1 comment: