Saturday, January 8, 2011

Usah Leka Bicara Soal Qiamat


Saya gusarkan KELEKAAN kita dalam perbahasan-perbahasan mengenai isu-isu Qiamat, Kedatangan Dajjal dan Amanah Menyebarkan Risalah.

Saya melihat ia begitu berleluasa terutama di laman-laman sosial, tak kurang juga yang ‘berterbangan’ melalui SMS. Saya pasti (harapnya saya silap), sudah kerapkali kalian juga menemui perkara begini.

Antara yang terbaru saya dapat, melalui SMS, mengenai ingatan kepada Qiamat pada 26 haribulan yang jatuh pada hari Jumaat. Dan ada juga mesej, yang di akhirnya dinyatakan, “Sila sebarkan kepada 7 orang, sekiranya tidak, akan ditimpa bala dalam masa 3 hari!”.

Dari jihat positif, mungkin ada baiknya. Mesej/entri sebegini mungkin boleh menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada kita mengenai dunia yang dimamah usia dan akhir zaman. Tetapi, apa kenanya dengan “Sebarkan kepada 7 orang, jika tidak, akan ditimpa bala dalam masa sekian-sekian..”!?

Saya, yang tohor ilmunya, dan cetek pengalaman ini, cuba untuk menilai hal ini..

LEKA SOAL QIAMAT
Saya bimbangkan, yang kita terlalu leka berbahas dan berkhilaf mengenai persoalan-persoalan berkaitan Qiamat. Bukan menolak untuk ia dibincangkan, apatah lagi menolaknya (NauzubiLlah), kerana BerIman kepada Hari Qiamat adalah tiang iman. Menolaknya, menafikannya, bererti KUFUR!

Saya cuba menarik perhatian kepada Firman Allah SWT, melalui Surah Al-A’raf, ayat 187 :

Yang bermaksud : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (huru-hara) Hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk Yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui".

Ini bermakna, perbahasan mengenai Hari Qiamat sudah berlangsung lama. Sejak zaman baginda Nabi SAW, bahkan berlanjutan ke kurun selepasnya, kepada kurun seterusnya, melalui zaman-zaman, menelesuri perbincangan dan perbahasan panjang para Ulama’.. lalu pergi ke mana perbahasan ini? Apakah ia pernah mencapai tamatnya?

Baginda Nabi SAW, dan para Ulama’ yang mengikuti jejak langkah baginda SAW, mengembalikan perbahasan ini kepada, “katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah.

Lalu siapakah kita, yang sedikit benar ilmu ini, untuk turut memanjangkan perbahasan dalam bidang yang di luar kemampuan kita?

Surah Al-Israa’, ayat ke 85 yang bermaksud : dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

Para Ulama’ telah menetapkan, beberapa ruang yang dibolehkan untuk kita berbincang mengenai persoalan ini, berdasarkan apa yang telah ditinggalkan oleh baginda Nabi SAW, iaitu berlegar sekitar Petanda-petanda Qiamat (kerana kejadiannya memang tidak boleh dibahaskan, berIman kepadanya WAJIB, dan menolaknya KUFUR!).

Maka, tak usahlah dibincangkan SAMPAI CUBA MENCARI TARIKH KEMUNGKINAN BERLAKUNYA QIAMAT!

LEKA SOAL DAJJAL
Persoalan rupa Dajjal pula, jelas baginda Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih :

Daripada Umar radiyaLlahu anhu, bahawa Nabi SAW meminta orang ramai diam pada hari Haji Perpisahan. Baginda memulakan ucapan dengan memuji Allah SWT kemudian menyebut tentang Dajjal dengan begitu panjang lebar dan bersabda “Allah tidak mengutus Nabi kecuali untuk memberi peringatan kepada umatnya bahawa Dajjal akan keluar di kalangan kamu dan kamu akan tahu tentangnya, ianya tidak tersembunyi lagi. Sesungguhnya Tuhan kamu bukan yang buta sebelah mata dan Dajjal itu buta sebelah mata kanannya seperti mana sebelah”.

Baginda Nabi sudah menjelaskan berkenaan Dajjal, dan menjamin. “Dajjal akan keluar di kalangan kamu dan KAMU AKAN TAHU TENTANGNYA, ianya tidak tersembunyi lagi”.

Cukuplah dengan maklumat yang disampaikan Nabi SAW, dan jaminan baginda SAW yang kita akan mengetahui kedatangannya kelak.

Maka tak usahlah diperbahaskan sampai kepada rupa-rupa terperinci Si Dajjal ini!

Cukup kita berIman dengan kedatangannya pada hari Qiamat kelak. Usahlah kita memberat-beratkan diri dengan perkara yang di luar kemampuan kita, kerana ia dilarang Islam.

As-Syahid Imam Hassan al-Banna, menegaskan larangan memberat-beratkan melalui Risalah Taalim (Rukun Pertama ; Usul kedua) :

“Al-Quran hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah bahasa Arab, tanpa MEMBERAT-BERATKAN dan tidak pula membabi buta.”

Jelas Muhammad Abdullah al-Khatib dalam Nazharat fi Risalati Taalim, baginda Nabi pernah bersabda : “Aku dan umatku, berlepas diri daripada bersikap memberat-berat”.

Tambah beliau lagi, Saiyidina Umar al-Khattab pernah berkata, “Kami ditegah daripada bersikap memberat-berat”. Yang bermaksud, “Membahaskan tentang perkara-perkara sulit yang tidak wajib dibahaskan dan kita hendaklah mengambil syariat yang jelas dan menerima perkara yang dibawahnya.”

ANCAMAN SEKIRANYA TIDAK DISEBARKAN
Satu lagi perkara, yang kadang-kadang menggelikan hati saya.

Banyak sekali di akhir mesej yang saya terima, atau entri yang saya baca di FB, dinyatakan pada akhirnya, hendaklah disebarkan kepada sekian-sekian jumlah orang, dalam masa sekian-sekian, jika tidak akan ditimpa bala dalam tempoh sekian-sekian.

Saya selalu bergurau kepada adik-adik, “Sepatutnya abang dah lama kena langgar dengan lori balak, sebab abang tak pernah peduli mesej-mesej begini”. (Bukan ‘mencabar’, baca dengan nada jenaka).

Iyalah, mana tidaknya, saya sampai hairan, entah siapalah yang memulakan  mesej-mesej begini. Memang terdapat ancaman daripada Allah SWT kepada mereka yang menyembunyikan ayat Allah, tetapi.. “ditimpa bala dalam masa 3 hari..”? Jelas, ini bukan cara Islam!

Allah berfirman jelas, di dalam Surah Luqman, ayat ke 34 :

Yang bermaksud : Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan Yang tepat tentang hari kiamat. dan Dia lah jua Yang menurunkan hujan, dan Yang mengetahui Dengan sebenar-benarnya tentang apa Yang ada Dalam rahim (ibu Yang mengandung). DAN TIADA SESEORANG PUN YANG BETUL MENGETAHUI APA YANG AKAN DIUSAHAKANNYA ESOK (SAMA ADA BAIK ATAU JAHAT); dan tiada seorangpun Yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya.

Nasib seseorang, termasuk dalam 5 perkara ghaib yang HANYA DIKETAHUI ALLAH! Maka siapalah kita, untuk menentukan bala ke atas seseorang dalam tempoh-tempoh tertentu pula?

WaLlahua’lam.

JANGAN TERLEKA, BERSIAPLAH
Saya lebih suka untuk berbincang mengenai persoalan ini. Bukankah ini juga yang disoal kembali baginda Nabi kepada seorang sahabat yang bertanyakan baginda mengenai tarikh Qiamat? Persiapan sebelum Qiamat!

Suka saya mendatangkan satu hadis untuk renungan kita bersama.

Daripada Huzaifah, bahawa Nabi SAW bersabda : “Berlakunya zaman kenabian dalam kalangan kamu sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. Kemudian Allah mengangkatnya (menghilangkannya) ketika mana dia menghendaki. Kemudian, berlaku pula Khilfah di atas manhaj Kenabian. Maka berlangsunglah ia sebagaimana yang dikehendaki Allah untuk berlaku. Kemudian Allah mengangkatnya ketika mana Dia menghendakinya. Kemudia berlaku pula pemerintahan raja yang ‘menggigit’. Maka berlakulah ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlaku pula pemerintahan raja ‘paksaa’. Maka berlakulah ia sepertimana dikehendaki Allah. Kemudian Allah mengangkatnya ketika mana dikehendakiNya. Kemudian berlaku pula Khilafah di atas manhaj kenabian. Lalu baginda Nabi SAW diam.”

[Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi, daripada Nu’man bin Basyir, daripada Huzaifah]
Jelas baginda Nabi SAW, umatnya terbahagi kepada 5 zaman. Pertama, zaman Nubuwwah. Zaman baginda Nabi SAW sendiri yang memimpin ummat, hinggalah baginda SAW wafat.

Kedua, zaman Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah. Zaman pemerintahan Khulafa’ Rasyidin. 4 sahabat utama baginda Nabi SAW, yang memerintah dan memimpin ummat  atas keadilan, kesaksamaan sepertimana tinggalan Nabi SAW.

Ketiga, zaman Malikun Adhon. Pemerintahan yang ‘menggigit’. Kita semua sedia maklum, zaman ini, pemerintahan mula diperturunkan secara perwarisan (monarki). Pembunuhan ahlul bait dan para sahabat. Ulama’ ramai yang ditindas. Kezaliman berleluasa (tidak semua ketika) pada Zaman pemerintahan Umayyah membawa kepada Uthmaniyyah.

Keempat, zaman Mulkan Jabbariyyin. Pemerintah yang sombong dan memaksa. Zaman SEKARANG! Amerika dan Zionis memaksakan Demokrasi dan sistem hidup tajaan mereka kepada masyarakat dunia. Hingga kelihatan seperti merekalah ‘Penguasa’ di dunia ini.
Dan zaman kelima, zaman kembalinya Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah. Lalu, kita boleh fahami, QIAMAT hanya akan berlaku sesudah bangkitnya kembali, sistem PEMERINTAHAN ISLAM yang sebenar. Islam Hakiki akan bangkit semula!

Pernah, waktu di awal kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, terdapat Ulama’ yang sudah menyangkakan, Qiamat akan terjadi, kerana menyangka Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah terakhir SUDAH RUNTUH!

Namun, tampil As-Syahid Imam Hassan al-Banna, menegaskan, yang masanya belum tiba. Tugas kita yang terutama sekarang adalah untuk MEMBANGKITKAN semula, Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah!

Kita WAJIB berIman dengan KEMENANGAN ISLAM di akhirnya nanti!

“Sahabat-sahabat yang dikasihi, masa tidak memihak kepada kita, dan musuh sentiasa mengintai peluang untuk menggagalkan kebangkitan Islam kali ini! Justeru, USAHLAH kita asyik terleka BERBAHAS dan BERKHILAF mengenai persoalan di luar jangkauan kita. Mari kita ubah topik perbincangan kita dan bekerja untuk kemenangan Islam! SEKARANG!”


0 comments:

Post a Comment