Saturday, January 8, 2011

Ujian


Baginda SAW, mengingatkan kita menerusi sabdanya yang mulia, “Cabaran untuk seorang Mu’min itu 5! Mu’min yang dengki padanya, munafiq yang membenci, musyrik yang sentiasa memerangi, syaitan yang berusaha menyesati dan nafsu sendiri yang tak pernah berpuas hati!”
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat yang ke 155 :
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan hara, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar”
Terpahat kemas di dada Sirah, pernah dahulu, Umayyah meletakkan batu besar di dada Bilal RA, waktu sinar mentari menyiat-nyiat pedih kulit, di tengah-tengah padang pasir seluas mata memandang. Bilal RA dalam kelemahan, membisik.. “Ahad! Ahad!”
Dahulu juga, Ammar bin Yasir RA menahan pedih dan sakit di hati, melihat keluarganya disiksa di hadapan mata, sedangkan dia tak berdaya untuk membuat apa-apa. Dalam kepalsuan, dia mengisytihar keluar dari Islam, demi memelihara Iman yang membugar di dada. Lidahnya mengiyakan kehendak Kuffar Quraisy, sedangkan hatinya meningkah membantah.
Pernah juga baginda Nabi SAW bertitah mengeluar perintah, “Sekiranya Zaid bin Harithah gugur, maka Ja’far bin Abi Thaliblah yang menggantikannya, lalu kiranya Ja’far juga gugur, panji Islam akan dikendali Abdullah bin Rawahah pula. Sekiranya Abdullah juga gugur, syurakanlah sesiapa yang layak dalam kalangan kamu”. Dan dalam peperangan itu, medan Mu’tah yang luas itu menyaksikan ketiga-tiga orang sahabat yang mulia tersebut, gugur syahid. Panji Islam kemudiannya dibawa oleh SA Khalid bin Al-Walid.
Baginda SAW dan para sahabat berperang dan bertempur demi menjulang Tauhid, hingga dikatakan, mereka turun berperang dalam keadaan luka perang sebelumnya masih belum sembuh!
INI ADALAH SEBAHAGIAN KECIL DARIPADA KISAH-KISAH UJIAN YANG MENIMPA PARA PEJUANG ISLAM KETIKA ITU!!
“Lalu, apa pula UJIAN yang menimpa kita kini?”, begitu persoalan yang dilontar Naqib kami, untuk dibahas di ‘gelanggang’ Usrah kami. Malam itu, seperti biasa, Rabu malam Khamis. Adik-adik di Maahad memang cukup tahu, malam itu saya tidak akan ke sekolah untuk bertemu mereka. Awal-awal lagi sudah saya maklumkan, malam itu untuk ‘USRAH’.
Khali sejenak. Kami semua diam. Barangkali ada yang diam kerana memang tidak tahu jawapannya. Mungkin juga berdiam diri kerana tidak yakin dengan jawapan sendiri. Tetapi saya pasti, sahabat-sahabat dan saya kebanyakannya berdiam diri, kerana kami ‘gilakan’ pandangan Naqib kami! Kami tidak sabar-sabar untuk mendengar dan mengutip mutiara tersebut daripadanya.. Hinggakan pernah saya ditegur sahabat, kerana hanya diam sepanjang Usrah, langsung tidak memberi respon, dek ASYIK mencatat isi-isi penting daripada Naqib kami. (Jangan ditiru pula ya..!)
“Jangan merasa diri tidak diuji Allah”, begitu pula ujar Naqib kami, menambah ‘misteri’.
“Pulak?”, saya berbisik dalam hati. Masing-masing sudah tersengih-sengih. Pasti ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada kami.
Kadang-kadang, ada Dai’e sekarang, yang merasa hairan kerana memikirkan dirinya tidak diuji Allah SWT. Mereka mempersoal diri sendiri, “Kenapa aku tidak diuji?”, sedangkan mereka tidak menyedari bahawa setiap detik kehidupan mereka, mereka melalui ujian dan penilaian Allah SWT.
Kita lihat Tuan Guru Nik Aziz, ada yang melempar tohmah dan caci maki padanya. Tak kurang yang memfitnah, mengumpat. Ada yang mengancam bunuh, sekatan demi sekatan dan sebagainya. Itu adalah ujian untuk beliau, sesuai dengan keadaan diri beliau.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat ke 286 :
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.
Beliau sudah melepasi ujian asas, ujian dengan diri sendiri. Ujian untuk mengekang hawa nafsu dan keinginan sendiri. Lalu Allah mengujinya dengan ujian-ujian maha hebat, yang datang daripada luar, daripada musuh-musuh Islam yang sentiasa mengintai cara untuk menumbang-rebahkannya.
Manakala kita, masih bergelut dengan diri sendiri. Masih diuji dengan nafsu dan kehendak-kehendak duniawi. Lalu, apakah dengan tahap rendah kita ini, kita nantikan Allah menguji kita dengan ujian-ujian sehebat dugaan kepada Tuan Guru Nik Aziz, atau ke atas Syed Qutb? Imam Hassan al-Banna? Bilal? Sumayyah? Zaid bin Harisah? Atau RasuluLlah SAW?
Masalah sekarang adalah pada cara kita memahami ujian. Bukan menidakkan ujian-ujian yang diperihalkan Allah SWT melalui firmannya yang mulia, namun, tinggal pada kita untuk menterjemahkannya sesuai dengan keadaan kita.
Jangan merasakan diri tidak diuji, kalaupun tidak ada pedang yang datang melibas leher kita, walaupun tidak terpaksa untuk berlapar dan hidup dalam ketakutan.
Bahkan kita sentiasa dinilai Allah SWT, pada Akhlak kita, pada bicara kita, pada keikhlasan hati kita, pada Istiqamah dan Thabatnya kita, pada kekuatan kita mengekang NAFSU serakah sendiri!
Masakan kita berfikir, yang Allah tidak menguji diri ini, sedangkan kita hanya memahami bahawa ujian itu hanyalah PERANG, LAPAR, TAKUT dan sebagainya. Tetapi kita lihatlah bahawa Allah menguji kita sesuai dengan kekuatan dan kemampuan kita untuk menghadapinya.
Dan UJIAN dunia sekarang yang perlu kita ambil berat, sudah tentulah keruntuhan dinding pemisah HAK dan BATIL, HALAL dan HARAM. Yang runtuh dek pesatnya membangun sistem-sistem kehidupan yang lahir daripada pemikiran manusia. Sistem tajaan musuh-musuh Islam, yang jelas berniat jahat untuk menghancurkan peradaban akhlak dan tamadun sahsiah manusia. Sistem yang meletakkan manusia lemah sebagai hamba, dan manusia yang lebih kuat sebagai raja.
Cabaran dan ujian untuk kita sekarang, adalah mempertahankan Aqidah kita dan manusia lainnya, agar dapat terselamat sepanjang melalui ‘penyiksaan’ paling dahsyat yang pernah berlaku ini. Iya, ‘penyiksaan’ kerana terpaksa hidup di dalam sistem yang bukan Islam!
Saya rasakan begitulah kesimpulan terbaik yang dapat saya beri, lewat penerangan Naqib kami.
Usah ditunggu semboyan perang datang memanggil, kalau asyik menunggu dengan LALAI dan LEKA!
Usah ditunggu musuh datang dengan menghunus senjata, sedangkan diri tidak upaya untuk MENGAWAL Nafsu yang asyik meminta-minta!
Usah ditunggu, kerana kita sedang diuji!

0 comments:

Post a Comment