Saturday, January 8, 2011

Selamat Hari Ibu


Hari Ibu, jatuh pada tanggal 9 Mei setiap tahun. Tak tahulah siapa yang mencadangkan tarikh itu, tetapi ia telah diiktiraf masyarakat sedunia. Di segenap pelusuk dunia, hari yang sama, setiap anak yang mengasihi ibu masing-masing, akan cuba meraikan ibu mereka melalui pelbagai cara tersendiri.

Hari Ibu ini, teringat saya mengenai kisah ulama’ tersohor India, Syeikh  Hassan Ali an-Nadwi. Kisahnya cukup indah untuk dihayati. Mari berkongsi..

Suatu waktu dahulu, beliau merupakan anak murid yang ‘lambat’. Kalau dalam sesi pengajiannya, dialah yang paling akhir akan faham, itupun setelah gurunya bertungkus lumus memberi pengajaran dan penerangan. Satu hari, beliau menemui gurunya. Beliau memohon izin untuk tidak hadir ke kelas hari itu. Gurunya menuntut sebab. Dengan sopan beliau menceritakan keadaan ibunya yang uzur, lumpuh sebahagian badan, hingga tidak mampu mengurus diri sendiri. Beliau memohon untuk hari itu, beliau tidak ke kelas bagi menjaga ibunya. Si guru dengan berat hati melepas pergi. Kasih pada anak murid menyebabkan dia sangat berat hati mengizinkan anak muridnya itu tidak hadir ke kelas. Sudahlah kalau hadir ke kelas pun sukar faham, apatah lagi tertinggal terus pengajian.

Syeikh Hassan Ali an-Nadwi, pulang ke rumah untuk mengurus ibu. Tanpa sedar si guru menurut dari belakang. Tiba di rumah, ibunya sedang mengesot sendiri untuk ke tandas. Tak tertahan, habis najis bertepekan di lantai. Anak yang taat itupun, memapah ibunya ke tandas. Selesai membersihkan ibunya, dibersihkan pula najis-najis yang mengotori lantai. Penuh tekun, tanpa soal. Rupanya, si guru asyik melihat dari kejauhan. Air mata gurunya berlinangan melihat keletah anak muridnya. Betul-betul tersentuh hati, melihat anak muridnya yang ‘lembab’ tetapi begitu menyintai ibunya. Dikatakan, kerana linangan air mata si guru itulah, Syeikh Hassan Ali an-Nadwi ‘menjadi’ ulama’ tersohor India sejak itu. Berkat tangisan si guru yang meredhai ilmu yang diunjuk kepada si murid.

Pertama kali sahabat saya berkongsi kisah ini, hati saya tersentuh. Maha Suci Allah. Itu sahaja yang mampu diungkap. Mana nak dicari lagi anak yang sebegitu. Saya gusar, moga Allah jadikan saya anak yang bertanggungjawab kepada ibu saya. Amin.

Malangnya, situasi seperti ini, sukar sekali untuk didapati kini. Yang ada, hanyalah kisah-kisah ibu dan bapa yang dihantar ke pusat-pusat penjagaan orang tua. Betullah kata orang, seorang ibu mampu sahaja menjaga dan membesarkan 10 orang anak dari kecil hingga dewasa, tetapi 10 orang anak belum tentu lagi mampu menjaga seorang ibu yang telah menjangkau usia tua. Kadang-kadang, kita lebih memuliakan ibu orang lain. Boleh bergurau senda, bertepuk tampar, bermesej dengan ibu orang lain. Ibu sendiri? Terlewat ambil sahaja, terus meninggi suara. Menengking, malahan. Saya kesal dengan diri saya, sayalah itu. Sayalah yang biadab dengan ibu sendiri. Tetapi, begitu menyantuni ibu orang lain.

“Ummi, saya minta maaf. Terima kasih, membesarkan kami anak-anak sehingga kini.”

0 comments:

Post a Comment