Tuesday, January 18, 2011

Seketul Kerikil yang Buat Kita Terdongak


“Kenapa kadet polis kalah?”

“Macam mana boleh kalah ni?”

“Buu..kadet polis kalah!”

Saya baru sahaja usai menyertai pertadingan kawad kaki peringkat akhir Massak, pada Isnin, 10 Mei (2010) tempoh hari. Pasukan kami yang bertanding sebagai juara menunggu, tewas dan hanya berpuas hati di tangga ke 3. Begitulah, antara ungkapan yang saya terima daripada rakan-rakan, adik-adik dan guru-guru. Yang bertanya, saya jawab setakat mampu. Arahan salah yang diturut oleh separuh platun menyebabkan kami kehilangan banyak markah, terus menjunam ke tempat ketiga. Yang mengejek, saya diam sahaja, kalau dilayan hanya menambah pedih di hati sahaja, sebaiknya tak perlu dilayan.

Saya menipu jika mengaku tidak terkesan dengan soalan dan ejekan ini. Siapa yang tak terkesan? Piala yang sudah kami juarai tahun sudah dan tahun sebelumnya berturut-turut, dirampas dan dibawa pergi oleh seteru utama kami. Pedihnya menyayat hati dan menyiat-nyiat rasa. Terasa hampir mengalirkan air mata tatkala mendengar pengumuman rasmi oleh pengacara majlis. Longgar engsel lutut, mujur tak 'tertanggal'. Kami 'ratapi' kekalahan ini dengan melakukan tekan tubi berpasukan. 30 kali semuanya, beralaskan hanya penumbuk. Hilang suara saya, kerana kami menjerit sekuat-kuat hati mengira setiap satu tekan tubi yang kami lakukan. Sakit tangan, menongkat tubuh di permukaan batu-bata perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV langsung tak terasa. Hilang ditelan pedihnya hati.

Malamnya, saya seolah-olah jadi tak keruan. Terasa benci meluap-luap dalam hati, tapi tak tahu siapa yang menjadi sasarannya. Kekalahan ini adalah penutup kisah kadet polis saya. Inilah pertandingan paling akhir saya sertai. Inilah sejarah akhir saya sebagai anggota pasukan Kor Kadet Polis MML. Malangnya, yang terakhir inilah, yang paling pahit dan perit. Kami tewas. Dan saya, mengaku yang saya benar-benar terkesan dan terganggu.

Saya teringat sebuah kisah. Seorang arkitek seni bina. Sedang bertungkus-lumus menyiapkan grand masterpiecenya, bangunan tinggi dan canggih.

Suatu hari, dia melawat tapak pembinaan. Meninjau-ninjau proses pembinaan. Setingkat demi setingkat diperiksanya. Mahu memastikan setiap inci bangunan itu dibina tepat sebagaimana rekaannya. Sampai di tingkat atas sekali, dia menyedari satu kecacatan. Meski satu, ia boleh merosakkan keseluruhan bangunan kelak.

Dia meninjau ke bawah, mahu memanggil pekerjanya untuk memperbetulkan kesalahan. Kelihatan seorang pekerja, sedang membancuh simen. Sekuat hati, dia melaung. Langsung tidak berkesan. Suaranya ditenggelami oleh bunyi mesin pembancuh simen. Lantas dia mengagau poketnya, keluarkan sekeping syiling 50 sen. Dilemparnya ke bawah, jatuh betul-betul di hadapan pekerja tersebut. Terhenti sebentar si pekerja, dijeling ke kiri dan kanan, lalu diambilnya syiling itu, terus dimasukkan ke dalam poket. Siap tersengih lagi. Arkitek di atas mengagau lagi poket, ada lagi syiling. Dilontar lagi ke bawah, sekali lagi jatuh di hadapan pekerja itu. Serupa! Dijeling kiri dan kanan, lalu diambil dan dimasukkan ke dalam poket.

Arkitek di atas sudah mahu menyumpah seranah, mujur jenis penyabar. Kalau tidak, pasti habis diseranahnya. Si arkitek mencari-cari benda lain yang boleh dilempar. Terjumpa seketul kerikil kecil. Dibidik betul-betul, dengan melafazkan nama Allah, dilontarnya kerikil itu. KUK!!! Betul-betul atas topi kuning si pekerja. Terus si pekerja terdongak, mencari mana datangnya benda yang menghempas topinya. Mujurlah bertopi, kalau tak, boleh benjol juga. Hah, barulah nak dongak ke atas!

Saya fikir-fikir, kisah ini penuh makna untuk saya dan kalian renungi. Allah sentiasa melimpahi kita dengan nikmat-nikmatnya. Tak pernah sedetik pun Allah memutuskan rahmat, kasih sayang dan nikmatNya daripada kita. Malangnya, jarang benar kita dapat ‘mendongak’ ke atas, mensyukuri nikmat-nikmat itu. Seperti si pekerja tadi, hanya tahu ambil sahaja. Tatkala Allah ‘melemparkan’ kita seketul kerikil, untuk menyedarkan kita, barulah kita TERDONGAK.

Ibarat ujian yang kadang-kadang Allah beri pada kita, tak lain kerana cintanya Allah pada kita, hambaNya. Ujian yang Allah timpakan, untuk membuatkan kita ‘mendongak’ semula padaNya, tidak terus terlalai dan tenggelam dalam nikmat.

Seperti terlakar pada ayat 33 hingga 36, Surah ar-Rum, rujuklah. Manusia memang mudah alpa tatkala dibuai nikmat. Mujurlah Allah kasihankan kita, sesekali menurunkan ujian yang memberi sedar.

Saya kira, kalahnya kami ini, ialah batu kerikil yang Allah ‘lempar’kan agar saya terdongak. Syukur, AlhamduliLlah, Allah menyayangi diri ini.

SubhanaLlah. Bukakan pintu hikmahMu buat kami, agar kami mengerti setiap ketentuanMu.

0 comments:

Post a Comment