Saturday, January 8, 2011

Kisah Pemuda untuk Pemuda


Dunia kerapkali menyaksikan, sejarah sentiasa tak lupa mencatatkan, kisah-kisah hebat sang pemuda, kesungguhan mereka, kejayaan mereka menegakkan agama. Kisah-kisah hebat ini, wajar untuk saya dan kamu, hayati sebaiknya, kerana dalam mempersiapkan diri sebagai pemuda yang bakal menggegar dunia, kita perlukan contoh tauladan untuk diekori, yang wajar ditekuni dan elok dikagumi.

DARWAS BIN HABIB
Marilah kita hayati kisah seorang remaja yang muda belia, bernama Darwas bin Habib.

Sebuah perkampungan di gurun padang pasir mengalami kemarau dan kering kontang pada zaman pemerintahan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Orang-orang kampung datang beramai-ramai berjumpa Khalifah Hisyam. Antaranya adalah Darwas bin Habib, dan usianya pada ketika itu baru 14 tahun.

Sewaktu semua orang kampung datang berjumpa, Khalifah Hisyam berkata kepada pengiringnya, “Adakah engkau membenarkan semua orang berjumpa denganku sehingga budak-budak pun engkau benarkan?”.

Darwas memahami yang Khalifah Hisyam memaksudkan dirinya. Lalu berkata Darwas :

“Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya kunjunganku ini tidak mengurangkan kedudukanmu walau sedikitpun, tetapi aku memperoleh kemuliaan. Orang kampung ini datang kepadamu, kerana suatu perkara yang tidak tertanggung lagi. Bicara itu adalah apa yang disebarkan, manakala diam itu adalah apa yang disembunyikan. Tidak diketahui sesuatu bicara melainkan sesudah ia disebarkan”

Khalifah Hisyam kagum dengan bicara remaja itu, lalu bertitah :

“Nyatakanlah bicara itu wahai anak yang bertuah”.

Lalu, remaja itu berkata :

“Wahai Amirul Mukminin! Kami ditimpa kemarau selama tiga tahun berturut-turut. Tahun pertama ia menguruskan kami. Tahun kedua ia memakan daging badan kami. Dan tahun ketiga ia menggigit tulang belulang kami. Padahal dalam tangan tuan hamba ada banyak harta benda yang lebih. Apabila yang lebih itu daripada hak Allah, bahagikanlah ia kepada hamba-hamba Allah yang berhak. Sebab kalau ia kepunyaan mereka, mengapa pula tuan hamba menahannya, dan tidak memberikannya kepada mereka? Tetapi, kiranya ia milik tuan hamba, sedekahkanlah kepada kami, kerana sesungguhnya Allah membalas orang-orang yang berbuat baik.”

“Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, seorang pemimpin dengan rakyat adalah ibarat ruh dan jasad. Jasad tidak hidup melainkan dengan ruh!”

Lantas Khalifah Hisyam bertitah :

“Anak ini tidak mengatakan sesuatu yang sia-sia. ”

Lalu baginda memerintahkan pegawainya memberikan 100, 000 dirham kepada orang-orang kampung itu, dan dihadiahkan 100, 000 dirham lagi kepada Darwas.



Darwas lalu berkata :

“Wahai Amirul Mukminin, berikanlah 100, 000 dirham itu kepada orang-orang kampung saya. Saya khuatir apabila 100, 000 dirham yang diberikan kepada mereka itu tidak mencukupi untuk keperluan mereka.”

Lalu, berkata Khalifah Hisyam kepada Darwas, “Habis bagaimana dengan keperluan engkau?”

Jawab Darwas, “Saya tidak punya apa-apa hajat selain daripada apa yang sudah saya sampaikan untuk kaum Muslimin umumnya”.

SA UMAR AL-KHATTAB DAN PEMUDA
Pernah suatu ketika, Amirul Mukminin SA Umar al-Khattab lalu berdekatan dengan sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang bermain.

Habis bertempiaran lari kanak-kanak tersebut melihatkan Khalifah Umar mendekat.. kecuali seorang..

Abdullah bin Zubair kekal di tempatnya. Khalifah Umar lalu bertanya, “Mengapa kamu tidak lari bersama sahabat-sahabatmu?”

Abdullah bin Zubair ra berkata jelas dan sopan, “Wahai Amirul Mukminin, aku tidak melakukan apa-apa kesalahan kepadamu untuk aku takut kepadamu, jalan ini juga tidaklah sempit.. Ruang yang ada cukup untuk engkau lalu..”

Pernah juga suatu ketika, seorang Khalifah daripada Bani Umayyah menerima penghadapan seorang remaja untuk bercakap kepada Khalifah, mewakili kaum kabilahnya.

Lalu Khalifah berkata, “Carikan lelaki yang lebih dewasa untuk mewakili kaummu”.

Tegas sang remaja, “Wahai Amirul Mukminin, andai kiranya kepimpinan itu ditentukan usia, terdapat ramai di luar sana yang berhak dan layak berbanding kamu..!”

Yang sedihnya, remaja seperti kita hari ini, jauh mengenali Justin Bieber, Adam Lambert dan puak-puak mereka berbanding sahabat-sahabat Nabi, hinggakan tercengang terlopong, apabila diceritakan mengenai Qa’qa’ bin Amr Tamimi dihantar SA Umar al-Khattab sebagai ‘pasukan’ tambahan. Bahkan bingung apabila diceritakan kisah Ikrimah bin Abi Jahal, Harith bin Hisyam dan Ayash bin Abi Rabiah yang syahid kerana ketinggian ithar ketiga-tiga mereka dalam perang Yarmouk.

Sangka remaja kini, sahabat Nabi cuma, SA Abu Bakar, Sa Umar, SA Usman, SA Ali dan barangkali mungkin ‘biasa kedengaran’, SA Khalid al-Walid..

Hmm.. inilah padahnya, apabila pemerintah asyik ‘memperkenalkan’ ikon-ikon kafir sebagai idola untuk remaja..

1 comment:

  1. saya sgt bersetuju dgn saranan saudara berkenaan pemerintah skrg tidak mementingkan hero2 dlm sejarah Islam khususnya para sahabat Nabi SAW yg begitu banyak rahsia2 ajaib yg harus di titipkan kpd pemuda2 zaman sekarang. Ini amat lah penting kerana kalau kita lihat rata2 pemuda pemudi zaman skrg cuma mengenali artis2 yang glamor dan perempuan2 yg mendedahkan aurat di sana sini tanpa ada satu batas persempadanan utk mengekang gejala ini dari terus mengobrak-abrikkan jiwa dan pemikiran anak muda zaman sekarang. Mereka jelas terlalu jauh terpesong dari akidah sebenar Islam. Mereka lebih kenal Justin Bieber dari Qa'qa ibnu Amru yg amat luar biasa kehandalannya dlm peperangan dan amat luar biasa sekali pemikirannya dalam mengendalikan tentera Islam dlm menghadapi musuh islam yg begitu ramai pada zaman itu. Contoh2 lain seperti Abdullah Ibnu Zubir, yg amat perkasa dan gagah berani semasa mudanya. Kekuatannya sama seperti seribu orang lelaki dlm sesebuah peperangan. Ini amat hebat sekali. Ada ramai lagi contoh2 pemuda dlm sejarah islam yg harus di contohi oleh anak2 muda zaman sekarang. Nama2 seperti Khalid Al Walid, Amru Al ash, Adi Bin Hatim, Muthana Harithah, Yazid abu Suffian dan ramai lagi yg tidak di ketahui langsung oleh anak2 muda Islam zaman sekarang. Semoga dgn adanya contoh2 seperti di atas, maka akan menyemarakkan lagi semangat jihad anak2 muda islam dlm syiar islam yg maha suci lagi agung ini.

    ReplyDelete