Saturday, January 8, 2011

BALKIS : Teruskan Usaha, Maknakan Perjuangan

Sukar sungguh akhir-akhir ini untuk saya menulis sesuatu. Kepala terasa pengap. Idea hanya sekadar berlompatan di dalam minda saya tanpa mampu saya luahkannya ke dalam penulisan. Adalah juga beberapa isu semasa yang cuba saya ikuti, namun semuanya tidak mampu saya ‘kejar’. Idea hanya kekal tersekat di dalam kepala, ‘berputar-putar’ di dalamnya.

Saya berusaha menggali kaedah dan teknik, dengan membaca tulisan-tulisan ilmuwan dan agamawan. Saya juga menggagahkan diri membaca novel-novel Islami dan novel fiksyen, berusaha untuk menimbulkan ‘rasa’ dan kekuatan untuk menulis. Akhirnya, saya putuskan yang menulis mengenai sesuatu yang hampir dengan saya, dengan ‘cara’ saya sendiri, adalah lebih mudah dan bermanfaat.

BADAN LATIHAN DAN KEPEMIMPINAN ISLAM (BALKIS) 

AlhamduliLlah, usia BALKIS hari ini, hampir sahaja genap lima dekad. Semenjak ia ditubuhkan secara rasmi awal-awal dahulu, iaitu pada tahun 1964 dan sehingga kini, BALKIS kekal utuh di atas jalan yang dirintis kepimpinannya yang terdahulu. Nama-nama besar terpahat di lipatan sejarah kepimpinannnya. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat merupakan Guru Penasihat BALKIS yang pertama, manakala al-Fadhil Ustaz Nik Razi Bin Nik Mat mengendali kemudi kepimpinannya kali pertama. AlhamduliLlah, ada antara nama-nama penting di peringkat negeri hari ini, di peringkat negara malahan (bahkan mungkin ke dunia!), adalah kader-kader yang lahir lewat usaha Da’wah dan Tarbiyyah yang digerakkan BALKIS sejak sekian lama.

Saya tidak kemaruk BALKIS! Tidak obses dengannya. Saya memahami dengan jelas bahawa ia hanyalah nama sebuah organisasi yang penuh dengan kekurangan-kekurangan yang membuktikan fitrahnya ; lemah. Ada apalah pada nama? Ada apalah pula pada usia? Ada apalah pada BALKIS..?

DASAR DA’WAH DAN TARBIYYAH 

Justeru, apa istimewanya BALKIS?

Istimewa BALKIS ialah DASAR-nya, yang sekian lama menghidupkan gerak kerjanya. Dasar Da’wah dan Tarbiyyah yang dipikulnya, Perkaderan dan Perjuangan yang dikendongnya sejak sekian lama, itulah yang menjadikannya istimewa bagi saya. Saya akui, saya mungkin bukan yang terbaik untuk dijadikan contoh, tetapi apa yang saya rasai, fahami, pelajari, atau apa yang saya jadi hari ini bahkan, adalah lewat didikan dan pelajaran yang saya terima melalui BALKIS.

BALKIS dirintis oleh pengasasnya dahulu, untuk menjadi organisasi yang tidak jumud dan kaku. Tidak beku dan tidak lesu. Ia mesti HIDUP! Iya! “Umpama air mengalir..” kata Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS - kini). Air itu mengalir tenang, turun dari puncak bukit ke lembah untuk berkumpul dan bergabung dengan tasik yang lebih luas dan hebat. Tiba-tiba datang halangan mengempang dari hadapan. Ia mengalir ke samping. Disekat dari kiri, ia ke kanan. Dihalang dari kanan. Ia melimpah ke atas. Ditutup dan disekat dari segenap jihat!? Ia bertahan, berkumpul.. dan ketika ia bersedia dan benar-benar ‘gagah’, ia memecahkan halangan yang menutup jalannya sekian lama. Turun mencurah-curah dan tak terbendung lagi oleh apa-apa sekalipun.

Begitulah perjuangan, perkaderan, da’wah dan tarbiyyah! Ia tidak mungkin disekat dan dihalang, andainya ia hidup sungguh-sungguh dengan ruhnya yang asli. Paling tidak pun ia boleh disekat dan dilambatkan. Sudah teratur fitrah alam, bahawa perjuangan Islam yang akan menang, mengatasi kebatilan, kefasikan, kemunafikan dan kemungkaran.

Dasarnya sudah tepat, tinggal lagi sekalian ahlinya bertanggungjawab untuk memastikan dasar itu tidak hanya tercatat kemas di dada kertas. Biarlah ia terlaksana dan diangkat ke alam realiti kita.

SKEPTISME 

Ada yang memandang sinis akan semangat dan kesungguhan ahli-ahli BALKIS. Ini adalah masalah besar yang malangnya menjadi ‘normal’ kini. Skeptik atau sinis dengan sekolah agama, pelajar agama, buku-buku agama, kerjaya berteraskan agama dan apatah lagi perjuangan dan gerakan-gerakan Islam. Semuanya seolah-olah mendatangkan alergi (meminjam frasa Ustaz Hasrizal Abdul Jamil).

BUKAN REMAJA BIASA 

Kita bukan ‘hanya’ remaja. Kita bukan ‘hanya’ pelajar sekolah menengah agama yang biasa-biasa. Kita adalah Khalifah. Utusan Allah ke dunia untuk MEMBANGUNKAN AGAMA dan MENGURUS DUNIA DENGANNYA. Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang luar biasa. Jangan khianati ni’mat sebesar ini dengan memilih untuk jadi hanya ‘biasa-biasa’.

Act small, think big! Mungkin tindakan kita kelihatan kecil buat masa ini. Jika dilihat sekilas cuma, (sebagai contoh) apa sangatlah dengan usaha program MIFTAH yang kita anjurkan hari ini dibandingkan dengan cita-cita kita menegakkan Islam di segenap inci dunia. Tetapi kalian harus ingat, setiap pengembaraan jauh dan panjang menuju kejayaan, mestilah dimulakan dengan satu langkah yang mungkin kelihatan kecil.

Justeru, hakikat kita berada di dalam BALKIS hari ini ialah, ianya merupakan satu langkah awal ke arah matlamat utama kita yang masih jauh ke hadapan.

Kata Murabbi saya, al-Fadhil Ustaz Saizol Bin Ismail, “Perjuangan ini ibarat kita berkayuh sampan menongkah arus..”

Puas kita kayuh, habis segenap kudrat dan tenaga kita gunakan, namun arus yang kita hadapi tak akan berhenti dan sampan kita bergerak terlalu payah. Sehinggakan kita terfikir untuk berhenti berkayuh lantaran keletihan dan kebosanan dengan kayuhan yang seolah-olah sia-sia dan tidak membawa ke mana.

Namun, cuba bayangkan andai kita berhenti berkayuh? Hanyutlah kita!

Maka, ini ialah jawapan saya untuk mereka yang memandang rendah pada keupayaan kami, FATA!

MOMOKAN HAL ORANG DEWASA 

Apabila kami membuka gelanggang untuk membahaskan isu semasa, isu-isu sensitif mengenai agama, persoalan kepimpinan dan teraju negara.. kami sentiasa dimomokkan dengan “INI URUSAN ORANG DEWASA..”

Cukuplah kami dimomokkan dengan ‘kerja-kerja orang dewasa’ ini..

Kami bukan terlalu muda, untuk cukup mengerti bahawa betapa ummah dalam kebejatan yang amat. Kami bukan terlalu muda, untuk mengerti, ‘orang-orang dewasa’ yang memegang pucuk kepimpinan negara hari ini, mengendali negara seperti ‘BAPA’ mereka yang punya!

Jangan terus kami dimomokkan dengan ‘urusan orang dewasa’ yang kami tidak boleh campuri.. kerana kelak, kalian juga akan mempersalahkan kami kerana gagal berperanan sebaiknya, waktu terlempar ke lapangan masyarakat.. dek kerana asyik termakan momokan sebegini!

Namun, kami akui, kami remaja muda belia, masih perlu belajar dan menimba pengalaman, andai kami melencong maka luruskanlah. Ajarkan kami, didikkan kami.. jangan hanya ditegah itu-ini..
Sertakanlah kami dalam soal-soal penting ummah. Jangan kami dipinggirkan. Setidak-tidaknya, ajar dan maklumkan kami hal-hal penting mengenai agama kami, kalaupun kami belum cukup masak untuk menyertainya langsung.

Bukankah para sahabat baginda Nabi SAW pernah menunjukkan contoh?

Muawiyah ibn Qarrah meriwayatkan daripada bapanya, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam apabila duduk bersama para sahabat, setiap seorang mereka akan membawa anak masing-masing, yang mana anak-anak itu akan berdiri di belakang  bapa mereka, lalu si bapa akan mendudukkan si anak di hadapannya.

[Hadith riwayat al-Nasaa’ie]

Abu Umamah ibn Sahl radhiyallaahu ‘anhu  meriwayatkan bahawa ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu menulis kepada Abu ‘Ubaidah al-Jarrah radhiyallaahu ‘anhu mengarahkan kepadanya, “Ajarkanlah anak-anak kamu berenang”

[Riwayat Ahmad  di awal Musnad 'Umar al-Khattab]

Bukankah sahabat-sahabat baginda Nabi terdiri daripada mereka yang muda-muda, dan yang menentang mereka ialah golongan-golongan tua?

Bukankah yang mencederakan Abu Jahal dalam perang Badar adalah dua beradik yang muda?

Bukankah SA Ali waktu menggantikan baginda Nabi di tempat tidurnya, masih muda belia?

Kendatipun, kami, yang muda mentah ini, mengharapkan tunjuk ajar daripada kalian yang telah merasai pengalaman, yang lebih luas ilmunya, dan lebih jauh pandangannya.. ajarkan kami..

0 comments:

Post a Comment