Saturday, January 8, 2011

Allah Maha Melihat


Saya di rumah! Baru sahaja usai bergelut dengan ‘mid year exam’ selama dua minggu. Pulang ke rumah inipun bukan untuk bersuka-ria. Saya pulang ke rumah untuk berbincang dengan penganjur program Kem Remaja Islam yang bakal diadakan tak lama lagi. Anjuran PAS Kawasan Pengkalan Berangan. Suka sungguh saya untuk terlibat membantu menjayakan program ini. Saya pulang ke rumah dengan sahabat saya, Afiq Awang Bakar untuk tujuan program ini. Dan tadi, saya teringat sebuah kisah ketika sedang mengemas rumah, membersihkan bahagian belakang pintu dan celah-celah almari yang selalu saya terlepas pandang.

Sebuah kisah yang suka sungguh untuk saya kongsi bersama kalian. Ia mengenai seorang hamba Allah (SubhanaLlah, saya terlupa namanya). Sedang berguru dengan seorang ulama’ (yang juga saya lupa namanya, Maha Suci Allah daripada sifat pelupa!) yang cukup tinggi ilmu dan rendah hatinya di sisi Allah.

Mari kita kongsi..

Suatu hari, gurunya menyuruh anak muridnya keluar daripada tempat pengajiannya. Sang guru mengarah anak muridnya berguru ‘sesuatu’ dengan ‘seseorang’ di sebuah masjid. Bukan mempersoal, tetapi untuk kepastian agar tidak tersilap langkah, sang murid bertanya pada gurunya, apa yang mahu dipelajari dan daripada siapa?

Si guru menjawab ringkas, “Nanti kamu akan tahu”. Anak murid yang taat itu, segera bergegas berangkat tanpa mempersoal lagi arahan sang guru.

Tiba di masjid, dia menuruti jemaah di situ bersolat. Usai solat, dia menunggu penuh debar. Misteri sungguh arahan guru kali ini. Tak lama, masjid kosong. Tinggal hanya seorang di dalam masjid dan seorang di luar. Yang di luar, sibuk menyental longkang masjid. Yang di dalam, sedang khusyuk membelek kitab-kitab berhampiran mimbar.

Perlahan-lahan dia mendekati orang yang sedang khusyuk menelaah kitab. Hati kecilnya yakin, inilah sang guru yang dicari. Pabila hampir, dia menyapa lembut, dan bertanya, “Adakah sesuatu untuk diajar kepada saya?”.

“Pergi-pergi! Aku sedang sibuk, tak nampakkah?”, balas si penelaah kitab dengan nada membentak.

Kecewa. Sangkaannya, inilah tuan guru yang dicari. Dia pun melangkah keluar masjid untuk pulang dan mengadu pada guru.

Tiba-tiba terdetik hatinya, untuk menyapa si pencuci longkang yang kelihatan sibuk menjalankan tugasnya. “Assalamualaikum, pak cik,” sapanya.

“Waalaikumussalam”, salam disambut penuh mesra dan wajahnya diangkat.

“Dah lama pak cik kerja ini?”, tanya sang murid.
“Dah lama nak, dekat 30 tahun”, jawab pak cik itu.

Si murid mengangguk-angguk kagum. Tertarik dengan kesungguhan pak cik itu membersihkan celahan longkang, lantas dia bertanya. “Isy, pak cik, kenapa bersungguh sekali cuci bahagian celah-celah tu, bukan ada orang nampak pun?”

Pak cik itu mengangkat wajahnya lagi, mengoyak senyuman, dan menjawab lembut, “Tapi Allah nampak nak..”.

Si murid tersentak, tanpa sedar, bibirnya menguntum senyuman. Inilah gurunya, dan dia sudah mendapat pengajarannya untuk hari ini. Setelah bersalaman, dia pulang ke tempat pengajiannya dengan hati yang membugar gembira.

Murabbi saya pernah bertanya, antara 99 nama Allah yang Mulia, yang manakah yang paling terkesan di hati saya. Saya jawab, Maha Melihat dan Mendengar. Kerana, dengan keduanya saya merasa takut untuk berbuat maksiat meski tanpa kehadiran sesiapa.

Murabbi saya bersetuju, namun katanya, nama-nama Mulia itu terangkum sekali, saling berkaitan. Dengan memahami kesemuanya, membuat kita terasa, bahawa kita HANYA HAMBA! Siapalah kita, untuk menentangNya, yang memiliki 99 nama Gah dan Mulia.

Doa saya, janganlah kita jadi seperti si penelaah kitab yang ‘sibuk’ itu. Sedikit pun tiada manfaat ilmu yang kita timba, jika itulah cara amal kita. Nau’zubiLlah..

0 comments:

Post a Comment