Suarafata

Bicara Minda dah Luahan Rasa Seorang Anak Muda.

Senyum. Sapa. Salam.

Senyum itu sedekah. Salam itu sunnah. Bertegur sapa mengerat ukhuwwah!

Muhasabah

Kredit untuk Khadimul Quran.

Muhasabah

Senyum dan terus melangkah.

Sang Murabbi

Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah.

Friday, January 28, 2011

Pada Cara Engkau Melihatnya

“Persoalannya adalah, pada bagaimana cara kita melihatnya. Kita kena ‘melihat’ dengan HATI”, ujar saya. Salah seorang daripada mereka tersenyum, lalu membusungkan dadanya ke arah saya.

Saya mengoyak senyuman, “Kenapa ni?”.

“Melihat dengan Hati”, jawabnya sambil tersengih-sengih. Lantas berderai tawa kami semua. Saya geleng kepala. Macam itu pula yang difahaminya.

Kedengaran riuh-rendah suara pelajar asrama bermain di padang sekolah. Petang itu, selepas Solat Asar, saya ‘lepak-lepak’ dengan adik-adik Jilul Nasr.

“Dengar sini baik-baik..”, beritahu saya pada mereka. Ada yang menyiku rakannya, menyuruh diam.

Pertama, Allah SWT menentukan segalanya untuk kita, dengan cukup sempurna. Namun, mengapakah ada ketikanya, hati kita memberontak? Protes dengan takdir yang menimpa.

“Mengapa nasibku begini?”
“Mengapa jadi begini?”

Kedua, mengapa mudah benar manusia merasa takjub dan hairan dengan ‘keajaiban-keajaiban’ baharu?
Habis gempar satu negara, sejadah berdiri! ‘Beramai-ramai’ pula, berjemaah barangkali. Corak pada tubuh ikan yang membentuk nama Allah, pada tubuh kambing, pada telinga bayi. Dan seribu satu macam lagi ‘keajaiban Tuhan’!

Tetapi, mengapa manusia tidak merasa takjub dengan penciptaan dirinya? Pada kesempurnaan akal yang diberi Allah untuknya. Pada rupa parasnya yang indah. Pada kemampuannya mengolah alam ciptaan Tuhan, supaya sesuai dengan keperluannya. Atau pada jarinya, yang punyai lekuk-lekuk dan alur penuh ajaib yang tidak akan ada samanya dengan mana-mana manusia lainnya di seluruh dunia! Mengapa tidak merasa takjub dengan keajaiban hebat ini semua?

Mengapa tidak merasa SYUKUR dengan udara segar yang dihirupnya?

Mengapa tidak merasa kagum pada Mentari yang bersinar terang tanpa ada tali yang menggantung, atau pada langit yang berdiri tanpa pasak yang menyokong?

Mengapa?

“Kerana, ia terletak pada cara kamu melihatnya”.

Ketahuilah diriku dan kalian, bahawa sesungguhnya tiada yang ditentukan Allah itu buruk pada kita, hanya ia tidak menepati kesukaan nafsu yang beraja di hatiku dan hatimu. Mustahil Allah menzalimi hamba-Nya! Hanya diriku dan dirimu yang menanggapi ujian, dugaan dan cubaan daripada Allah, sebagai nasib buruk untuk kita.

“Ia adalah pada cara kita melihat, pada ‘dengan apa’ kita melihat.”

Ada manusia, melihat dengan pandangan Nafsu. Ibarat melihat makanan terhidang di hadapan mata, sedang nafsu meronta-ronta keinginan. Lantas tanpa soal periksa, makanan entah siapa pemiliknya, diambil tanpa kisahkan dosa pahala.

Ada pula manusia, melihat dengan Akal. Seorang chef profesional, yang tahu masam manisnya makanan, kurang atau lebihnya bahan, dengan sekadar melihat.

Ada juga manusia, melihat semata-mata dengan Mata. Pandangan kosong tanpa makna.

Namun, terdapat segelintir manusia, yang melihat dengan Hatinya. Umpama, melihatkan rendang yang disejukbekukan, hantaran dari ibunda di kampung halaman, sedangkan dirinya di kejauhan merantau di tanah orang demi ilmu dan pengalaman. Lantas, Hatinya mengingatkan, kepada siapa yang menyediakan rendang itu. Hatinya mengingatkan, kepada Ibunda yang sedang merindu. Lalu bergenanglah air mata kerinduan..

“Melihat dengan Hati, sesungguhnya membawa kita kepada Pembuatnya, Pemiliknya, Pencipta asalnya.”

Mengapa tidak berSyukur dengan udara yang dihirup seharian-harian? Kerana engkau tidak melihat dengan Hati, tidak ketemu siapa yang memberi Ni’mat udara yang engkau hirup!

Mengapa tidak kagum dengan penciptaan dirimu yang sempurna, atau pada Mentari yang memancar dan Langit yang ‘tertegak’ megah? Kerana engkau melihatnya semata-mata dengan Mata!

Mengapa tidak engkau ketemu, siapa Pencipta alam saujana, langit dan bumi yang luasnya tidak akan mampu kau terokai sepenuhnya ini? Kerana engkau melihat, hanya dengan pandangan akal, dengan teori-teori akademikmu, hipotesis dan jangkaan-jangkaanmu! Tidak dengan HATImu!

Mengapa engkau melihat ujian dan dugaan Allah buat mu, sebagai nasib malang yang menimpamu? Kerana engkau tidak melihatnya, sebagai cara Allah mengasihimu, cara Allah menyintaimu. Engkau melihat dengan NAFSUmu semata!

“Ayuh diriku dan dirimu, bukalah HATI.. kerana banyak rahsia yang tidak akan tersingkap, tanpa engkau mencarinya dengan hatimu.”

“Justeru, ianya PADA CARA ENGKAU MELIHAT.”

Surah al-Haj, ayat 46 :


"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di muka bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar. Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang BUTA ialah HATI di dalam dada"

Thursday, January 27, 2011

Apakah Kau Masih Mahu Derhaka?

Malam itu, Usrah. Seperti biasa, Rabu malam Khamis.

Murabbi bertanya, "Apa rasanya, manusia langsung tidak berterima kasih dengan pemberian kita?".

"Apa pula rasanya, manusia itu, bukan sahaja tidak berterima kasih, bahkan mencela-mencaci kita, melawan kita?"

"Bagaimana pula rasanya, manusia yang menerima pemberian kita, langsung tidak berterima kasih, bermasam muka, dan berterima kasih kepada orang lain bahkan?"

Saya pandang rakan-rakan, masing-masing terangguk-angguk. Masing-masing diam, tetapi mengangguk penuh makna, memahami ke mana arahnya persoalan yang dibuka Murabbi.

"Begitulah Syukur, untuk mudah difahami", jelasnya.

Ada segelintir manusia, yang Allah berikan pada mereka ni'mat, namun langsung tidak ber'terima kasih' kepada Allah. Ini jenis manusia, yang mungkin tahu siapa yang memberikan mereka segala Ni'mat, namun terlalu bongkak dan angkuh untuk menghargai.

Segelintir lainnya, bukan setakat tidak ber'terima kasih', dicela caci pula Pemberi Ni'mat yang Maha Sabar dan Penyayang. Mereka menentang perintah-perintah Allah, meninggalkan suruhan-suruhanNya, bahkan tidak mengendahkan larangan-laranganNya.

Ada segelintir pula, manusia-manusia sesat, yang tidak bertemu, siapa Pemberi Ni'mat pada mereka. Akhirnya, ber'terima kasih'lah mereka kepada sesama manusia, kepada batu, kayu, atau matahari!

Itulah sebahagian kecil ragam manusia.

Justeru, Murabbi mengingatkan kami, agar tidak alpa dari berSyukur kerana mampu berSyukur. Bukan semua, yang diberi Ni'mat oleh Allah, untuk menghargai Ni'matNya. Ada yang dibiarkan leka, alpa dan hanyut sesat. Namun kita, terpilih sebagai manusia-manusia sedar, yang ketemu jalan munuju Khaliq mereka, InsyaALLAH!

Beringatlah diriku dan sahabat-sahabatku, bahawa mereka yang terpilih untuk bersyukur itu tidak ramai, bahkan segelintir kecil sahaja. Bersyukurlah kerana mampu Bersyukur!

Firman Allah SWT, pada Surah As-Sajdah, ayat 9 :


"Kemudian Dia menyempurnakannya (penciptaan) dan meniupkan roh ke dalam (tubuh)nya, dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (namun) sedikit sekali kamu berSyukur"

Malam lainnya, saya bersama adik-adik Jilul Nasr. Liqa' Tazkirah, sekaligus Muhasabah.

Tanya saya pada adik-adik, "Antara Api dan Air, keduanya penting, tapi mana yang lebih menyenangkan?".

Semua bersetuju dengan Air.

"Kenapa?".

"Walaupun Api penting, tetapi Air lebih menyenangkan, kerana ia menyejukkan, menyamankan, menyucikan. Berbeza dengan Api, yang meski penting, tetapi ia juga memusnahkan, menyakitkan!".

"Tetapi, antara mati dalam sebuah letupan dahsyat, atau mati kelemasan, manakah lebih menyeksakan?"

"Mati lemas", jawab mereka dengan wajah berkerut.

Lihat adik-adik, air yang lembut, dingin menyamankan, suci dan menyucikan, boleh jadi penyebab kematian yang sangat menakutkan. Mati kelemasan, mati perlahan-lahan dalam keadaan terseksa, dada membakar, meraung meminta udara.

Itu kuasa Allah adik-adik, segalanya milikNya, di bawah kawalanNya. Air sebegitu menyenangkan, dengan kehendaknya, boleh sahaja menjadi dahsyat dan menakutkan.

Itu, air.

"Bagaimana dengan API besar yang dijanjikan Allah untuk golongan penderhaka. NERAKA!?"

Api, yang memang sedia memusnahkan, disediakan Allah SWT sebagai tempat diamnya manusia penderhaka, sesuai balasan untuk mereka sempena dosa-noda di dunia dahulunya?

Apakah kita mampu menahan perit pedihnya?

 
 
 
 





4. Sekali-kali tidak! Pasti dia akan dilemparkan ke dalam Huthamah (Neraka).
5. Dan tahukah kamu, apakah Huthamah itu?
6. Iaitu API Allah yang dinyalakan.
7. Yang membakar sampai ke hati.
8. Sungguh, api itu ditutup rapat di atas diri mereka.
9. (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang panjang.


 Diriku dan dirimu, "Apakah Masih Mahu Derhaka?"

Tuesday, January 25, 2011

Jalan Ke Syurga










Begitu, antara komen yang saya terima untuk entri Surat Terbuka kepada Perdana Menteri.

Iya! Betul, saya setuju!

Saya setuju yang manusia, tidak akan sesekali mampu menentukan siapa yang layak ke Syurga, dan siapa yang bakal dihumban ke dalam Neraka. Jika itu yang dimaksudkan pada komen 'sahabat' saya ini.

Ia hak milik mutlak Allah SWT. Bahkan, Saiyiduna RasuliLlah SAW, tidak punyai keistimewaan itu.  Sebagaiman Hidayah, ia hanya milik Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 56 :


Baginda SAW yang mulia bagaimanapun, punya hak memberi syafaat yang diperlukan oleh semua kita kelak di Mahsyar. Namun, tetap syafaat tidak bererti RasuluLlah SAW menentukan siapa ke Syurga atau Neraka.

Ia milik Allah, ketentuan tersebut hanya pada-Nya. Hanya milik-Nya.

Allah SWT berfirman, di dalam Surah Al-Fatihah, ayat 6 dan 7 :



Sahabat,
Saban hari, kita mengulang-ulang ayat-ayat ini, memohon agar Allah SWT menunjuk jalan pada kita. Jalan yang lurus. Dan jalan siapa yang lurus ini? Jalan insan-insan yang diberi ni'mat oleh Allah SWT, bukannya jalan manusia-manusia yang menerima murka Allah SWT ataupun jalan kesesatan.

Disebut di dalam Tafsir Ar-Rahman, bahawa jalan manusia yang menerima murka itu adalah mereka yang memilih untuk menentang Islam, menentang Allah SWT!

Lalu, jalan yang lurus ini, jenis manusia mana yang melaluinya?

Firman Allah SWT, di dalam Surah An-Nisaa', ayat 69 :


Sahabat, benar sungguhlah, manusia tidak akan pernah punyai hak untuk menentukan Syurga atau Neraka. Ia milik Allah SWT sahaja. Namun, Allah SWT menunjuk jalan pada kita, manusia supaya boleh dibezakan, mana satu jalan ke Syurga atau selainnya.

Sahabat, jalan ke Syurga itu, jalan yang dilalui oleh para Anbiya', jalan insan-insan yang benar dengan janji mereka pada Allah SWT, insan-insan yang sedia mengorbankan bukan hanya tenaga dan harta, bahkan Jiwa semata-mata kerana Allah, juga insan-insan Soleh yang menjunjung perintah Allah dan membuang jauh-jauh apa yang dilarang Allah SWT. Itu jalannya, jalan ke Syurga.

Untuk ke Syurga, tidak dapat tidak, wajib untuk kita mengikuti jalan mereka tersebut.

Justeru, tegas saya, jalan yang dirintis oleh para Ulama' pejuang, seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan sekalian para Ulama'-ulama' pewaris Nabi yang tak mampu saya sebut satu persatu di sini, itulah jalan ke Syurga!

Sampai atau tidak, itu MILIK ALLAH! Bukan kita yang berhak untuk menentukannya. Tetapi, inilah jalan ke arahnya. Jalan selainnya, bahkan jalan yang bertentang dengannya, adalah jalan penuh sesat yang akan memalingkan kita jauh dari Allah, dari RedhaNya, dari Ni'mat SyurgaNya.

"Ya Allah, peliharalah Hatiku, agar ia tidak memendam dendam dan amarah, nyalaan Syaitan dan Nafsu."

Thursday, January 20, 2011

Ayuh Anak Muda, Bangkit Menggegar Negara

AlhamduliLlah, setingginya syukur kepada Allah. Juga selawat serta salam kepada Junjungan Mulia, RasuluLlah SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta sekalian Ulama', Umara' dan Pejuang-pejuang Islam yang tetap tegar di atas jalan perjuangan menegakkan kalimah Tauhid yang menjadi Sunnah dan Perintah daripada Baginda SAW.

Syukur kepada Allah, yang menggerakkan hati sahabat-sahabat seperjuangan (dan mungkin seteru!?) untuk meneliti karangan saya. Jutaan penghargaan buat semua sokongan yang kalian berikan, juga buat doa yang dipanjatkan.

Tidak kira, respon yang saya terima daripada sisi positif atau sebaliknya, tetap ia memberi manfaat pada saya. Samada untuk saya jadikan ia semangat yang mendorong, nasihat yang memandu ataupun peringatan untuk saya bermuhasabah.

Ramai dalam kalangan mereka yang prihatin terhadap saya, kesal dengan 'keberanian' saya menyatakan nama penuh dan umur saya. Kata mereka, bimbang dicari orang-orang yang 'berniat jahat', bimbang dikenakan apa-apa tindakan yang tidak munasabah nanti.


AlhamduliLlah, syukur kepada Allah yang meletakkan kasih pada saya di dalam hati kalian. Tetapi, InsyaAllah.. tak akan ada apa-apa yang buruk bakal menimpa saya. Saya tidak melanggar undang-undang bukan? Saya juga belum terikat lagi dengan akta-akta kuku besi yang memenjara minda dan suara anak muda. Dan kalau ada apa-apa yang menimpa (NauzubiLlah..), saya yakin, Allah akan 'menghantar' kalian semua untuk 'berdiri' bersama saya, berhadapan dengan rejim tirani itu nanti.

Persoalan surat ini, sampai atau tidak kepada YAB Dato' Seri PM, adalah persoalan ketiga, keempat ataupun kelima, bagi saya. Apa yang lebih penting adalah, saudara dan sahabat sekalian. Iya, memanglah saya menulis untuk beliau, namun sasaran saya adalah kalian.

Saya mahu menghantar isyarat, betapa seorang anak muda, mempunyai kekuatan untuk bersuara. Justeru, saya memberi isyarat, mengajak kalian semua juga untuk bersama. Agar kelak, semua anak muda, yang punya maruah dan harga diri, akal yang sihat dan jiwa yang sedar, akan sama-sama bersuara. Akan sama-sama bertegas dengan mereka yang punya kuasa dan menyalahgunakannya!

Sahabat-sahabat semua, kita anak muda punya kekuatan dan semangat. Punya keinginan dan kehendak yang kuat. Ayuh, mari sama-sama kita satukan suara, padukan tenaga, untuk digembleng sehebat-hebatnya, demi 'membebaskan' negara dan ummah tercinta, yang telah sekian lama 'terbelenggu'!

Allah SWT telah memberi perintah, menerusi kalamNya yang Mulia, di dalam Surah al-Kahfi, ayat ke-13 dan 14 :


Yang bermaksud : Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya, mereka adalah PEMUDA-PEMUDA yang berIMAN kepada Tuhan mereka, dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka (13).

Dan kami teguhkan hati mereka, ketika mereka BERDIRI lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru Tuhan selain Dia, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang menyimpang jauh daripada kebenaran (14)"

Sahabat-sahabat sekalian, ciri-ciri pemuda perkasa itu, paling kurang 4, sebagaimana diisyaratkan menerusi ayat tersebut.

Pertama, mereka berIman kepada Allah.

Kedua, mereka diberi petunjuk dan bantuan oleh Allah SWT.

Ketiga, hati mereka teguh dan terikat kerana Allah.

Keempat, mereka bukanlah golongan yang duduk berdiam diri, bergoyang kaki dan hanya memuaskan tembolok sendiri, bahkan mereka adalah PEMUDA, yang BANGKIT, BANGUN dan bertegas, bahawa mereka hanya menghambakan diri kepada Dia, Raja Segala Raja.

Ayuh pemuda, mari kita bangkit berdiri, ayuh kita perangi habis-habisan, sistem kehidupan caca-merba yang mengkultuskan manusia Penguasa, dan menghambakan rakyat jelata yang tidak berdaya, serta sesiapapun yang menjadi dalang disebaliknya!

Samada kita perangi mereka dengan senjata kasih-sayang, mahupun (mungkin) ketegasan, BUAT TETAP.. BUAT!!

Usah ditunggu hari tua, atau nanti hari layak mengundi baharu teraba-raba mencari arah, tentukan sikap dan pendirian kalian sekarang juga, wahai Anak Muda!

Biar orang-orang tua kita, tersenyum bangga melihat anak-anak muda, bangkit bersuara dan bergerak, mengibar obor dan panji Kebenaran.

Ayuh anak muda, bangkit dan mari kita bersama, GEGARKAN negara!!

Ciri-ciri Kepimpinan Islam

Kepimpinan adalah suatu seni muamalah yang bertabiat kemanusiaan, yang dengan kepimpinanlah kita mampu mempengaruhi manusia ke arah satu-satu matlamat.

Islam meletakkan persoalan kepimpinan sebagai persoalan yang sangat besar. Banyak sekali di dalam Al-Quran dan Sunnah yang menyentuh persoalan kepimpinan samada secara langsung mahupun tidak. Persoalan kepimpinan diletakkan sangat tinggi di dalam Islam, hinggakan pemimpin yang berlaku adil dijanjikan Allah kemuliaan yang sangat besar.

Sabda Nabi SAW sebagaimana yang dilaporkan oleh Imam Tirmizi :
"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukannya dengan Allah kelak ialah para IMAM YANG ADIL".

Dan begitulah sebaliknya pula bagi pemimpin yang tidak berlaku adil dan khianat dalam melaksanakan amanah, dijanjikan dengan azab siksaan dan kemurkaan Allah SWT.

Sabda Nabi SAW, daripada Ma’qal bin Yasar RA :
“Tidak ada seorang hamba yang Allah menyerahkan kepadanya urusan rakyat kemudian dia mati dalam keadaan ia menipu rakyatnya, melainkan HARAM ke atasnya Syurga”

Bahkan, kepimpinan di dalam Islam, tidak hanya terbatas kepada jawatan-jawatan khusus atau pangkat-pangkat tertentu. Falsafah kepimpinan Islam juga, tidak terbatas kepada pentafsiran-pentafsiran sempit para akademis dan bijak pandai Barat. Islam tidak mengehadkan kepimpinannya hanya kepada organisasi dan jawatan. Tanpa jawatan dan kedudukan, seorang Mukmin yang memahami agamanya, boleh sahaja menjadi pemimpin yang agung.

Kepimpinan adalah mengenai pengaruh. Kepimpinan Islam adalah mengenai kemampuan mempengaruhi manusia untuk berada di landasan Islam yang sebenarnya. Manakala pengaruh adalah hubungan kita dengan seseorang dan hubungan tersebut memberi bekas kepadanya. Justeru, kepimpinan Islam, selain daripada bermakna cara-cara memimpin mengikut aturan Islam, juga membawa makna, kemampuan seseorang Mukmin untuk mempengaruhi persekitarannya (manusia dan suasana) supaya ‘terpengaruh’ dengan Islam.

Apabila berbicara soal kepimpinan, kita mestilah memahami betapa besarnya perkaitan dan kedudukannya pada Islam. Justeru, terdapat beberapa perkara yang perlu kita fahami sejelas-jelasnya:

Pertama, bahawa Islam itu adalah agama Jemaah, agama Kumpulan.
Usaha-usaha besar dan penting di dalam Islam adalah secara berjemaah. Misalnya, Solat. Bukankah solat yang terbaik, dan sangat-sangat ditekankan Baginda Nabi SAW ialah solat secara berjemaah?

Sabda Nabi SAW sebagaimana yang dilaporkan Imam Bukhari :
“Solat BERJEMAAH terlebih afdhal berbanding solat berseorangan sebanyak 27 darjat”

Manakala, as-Syahid Syeq Qutb, di dalam Tafsir Fi Zhilalil Quran (yang sebahagian besarnya dikarang sewaktu as-Syahid terpenjara di sebalik jeriji besi kerajaan taghut yang zalim Mesir, di bawah pemerintahan kuku besi Jamal Abdul Nasser), menegaskan bahawa perlunya wujud satu jemaah atau thaifah (kumpulan) untuk menjalankan amanah Amar Maaruf dan Nahi Munkar sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat 104 :

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu PUAK/KUMPULAN yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyeru berbuat segala perkara yang baik serta melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”

Dan untuk lebih jelas lagi, Islam adalah agama yang menuntut ummat untuk bersatu di dalam jemaah berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Nasa’ie dan Ibnu Hibban (menurut al-Hakim, dikira sahih menurut syarat Imam Bukhari) :

“Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada Jemaah sekadar sejengkal, sesungguhnya ia telah menanggalkan Islam daripada lehernya, sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menyangka dirinya seorang Islam”

Lalu, SA Umar al-Khattab menegaskan perkaitan antara Jemaah dan Kepimpinan sebagaimana kata-katanya yang masyhur, yang diceritakan oleh Imam Bukhari :

“Tidak (tertegak) Islam tanpa adanya JEMAAH, tidak (berdirinya) jemaah melainkan dengan KEPIMPINAN (Qiyadah) dan tidak (bermaknanya) kepimpinan tanpa ketaatan”

Kedua, bahawa seorang Muslim (tetaplah) mesti memimpin, sekurang-kurangnya memimpin sebuah rumah tangga ataupun setidak-tidaknya, dirinya sendiri.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari :
“Setiap kamu adalah penggembala (PEMIMPIN), dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya ”.

Kepimpinan adalah Fitrah. Menolak kepimpinan bererti melanggari Fitrah manusia yang diciptakan Allah SWT. Hal ini tidak perlu diperjelaskan lagi. Tiada siapa yang menolak atau berjaya menolak kepentingan persoalan kepimpinan dalam kehidupan.

Ketiga, bahawa orang-orang Islam mestilah berikat dengan kepimpinan meskipun di dalam urusan yang kelihatan kecil.

Sabda Nabi SAW :
“Apabila keluar musafir oleh tiga orang hendaklah mereka melantik salah seorang daripadanya menjadi KETUA

Keempat, bahawa kepimpinan adalah amanah. RasuluLlah SAW pernah berkata kepada Abu Dzar yang direkod oleh Imam Muslim :

“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau adalah seorang yang lemah sedangkan (kepimpinan) adalah satu amanah pada hari Kiamat merupakan satu kehinaan dan penyesalan. Kecuali bagi orang yang dapat melaksanakan tugasnya dengan benar dan menunaikan kewajipannya dengan sebaik-baiknya”

Kelima, bahawa Islam telah meletakkan kaaedah-kaedah yang tertentu, syarat-syarat tertentu supaya kepimpinan Islam dapat diisi dengan sebaik-baik yang boleh. Para Ulama’ membuat penelitian yang rapi dan teliti yang diletakkan ke atas calon kepimpinan.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Qasas, ayat 26 :
“...sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang KUAT lagi AMANAH

Firman Allah SWT di dalam Surah Yusuf, ayat 55 :
“Dia (Yusuf) berkata, Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir) kerana Sesungguhnya aku adalah orang yang PANDAI MENJAGA (Amanah), dan BERPENGETAHUAN

Telah kita ketahui bahawa, kepimpinan adalah amat penting, dan juga merupakan amanah yang amat besar, apatah lagi memimpin ummat kepada Islam hakiki. Sebarang kesilapan ataupun kecuaian, hanya akan menatijahkan kesan yang amat buruk dan dahsyat, menjadi bencana kepada ummat keseluruhannya.

Para Ulama’ dan Fuqaha’ telah memberikan panduan yang secukup-cukupnya kepada kita, di antaranya ialah, tidak harus dipilih pemimpin melainkan daripada kalangan mereka yang :

1. Lelaki

2. Muslim, baligh dan berakal

3. Ilmu yang mencukupi (munasabah pada tanggungjawab/jawatan/peranan/fungsi)

4. Adil

5. Yang bebas (bukan hamba)

Syarat-syarat ini telah diperketatkan lagi dengan beberapa perkara dan diperkemaskan lagi tafsiran-tafsiran syarat di atas, menurut jawatan/peranan yang dikehendaki. Para Ulama’ juga menerangkan bahawa, oleh kerana pemimpin bagi ummat Nabi Muhammad SAW, adalah penyambung perjuangan dan kepimpinan Baginda Nabi SAW, maka syarat-syarat amanah, fathanah, siddiq dan tabligh mestilah dipunyai oleh kepimpinan Islam.

Di sana pula, ada syarat-syarat yang lain yang mesti diambil perhatian, iaitu keahlian/kebolehan yang baik, dari segi kepakaran pengalaman dan lainnya, ditambah dengan syarat kesempurnaan anggota pancainderanya yang lima.

Oleh kerana menjadi pemimpin, ertinya berkuasa, dan kekuasaan yang ada hendaklah digunakan kepada kebajikan semata-semata dan seorang Pemimpin Islam mestilah baik dan selamat daripada sifat tamak haloba. Dan kepimpinan itu mestilah menjauhi daripada segala yang boleh meragukan.

Menyedari hakikat bahawa kepimpinan ialah merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar serta mengggerunkan, maka, para Ulama’ telah meletakkan sifat-sifat yang tertentu yang sepatutnya ada pada seorang Pemimpin. Ini kerana, pemimpin ialah contoh ikutan atau qudwah kepada anggota dan orang lain. Manakala, contoh ikutan terbaik untuk seseorang pemimpin ialah diri RasuluLlah SAW sendiri.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab, ayat ke-21 :
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) RasuluLlah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (berIman kepada) hari Kiamat dan dia banyak menyebut (mengingati) Allah”

Di sana terdapat beberapa ciri-ciri, sifat dan akhlak yang perlu ada pada seseorang Pemimpin :

1. Ikhlas kepada Allah dan benar-benar mahu keRedhaanNya dalam setiap gerak kerja. Tanpa Ikhlas, maka sia-sialah segala usaha dan tidak dipandang Allah SWT kelak, dan hendaklah juga dibersihkan daripada sifat, riya’, ‘ujub, mahukan kedudukan pangkat dan sanjungan.

2. Fikiran yang cerdas, bijaksana, pengalaman dan pengetahuan yang luas, cepat memahami masalah, tidak pelupa, tidak buntu waktu gawat.

3. Tenang, tidak pemarah, bertimbang rasa, pengasih dan lemah lembut.

Bukankah SA Umar bin Abdul Aziz begitu hebatnya pemerintahannya, sedangkan baginda memerintah dalam jangka masa yang cukup singkat, tidak lain kerana 2 asas penting yang dipegangnya. Pertama, berIman dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT, mengetahui bahawa kita hanyalah Khalifah Allah yang diberi amanah untuk menegakkan agama dan mengurus dunia dengannya. Kedua, rasa bertimbang rasa, pengasih dan lemah lembut yang sangat tinggi yang ada pada baginda.
Baginda pernah bertitah, “Apakah yang akan aku jawab pada Allah, andai kiranya ada keldai di Baghdad yang kakinya terperosok ke dalam lubang jalan yang rosak, akibat kelalaian aku melaksanakan amanah..”

4. Berani dan bermaruah, tidak penakut, tidak pula gopoh. Sebaik-baik keberanian adalah yang berterus terang di atas kebenaran dan sanggup menyembunyikan rahsia yang diamanahkan padanya, mengakui kesalahan kiranya dia bersalah dan menginsafi diri sendiri.

5. Bercakap benar apa jua keadaan. Supaya sifat ini terjaga, seorang pemimpin hendaklah hormat menerima dan menyampaikan berita yang diterima.

6. Sifat Tawadhu’ dan merendah diri terhadap orang-orang Mu’min.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat ke-54 :
“..kelak Allah akan mendatangkan satu kaum, Dia menyintainya dan mereka menyintaiNya, mereka bersikap lemah lembut, merendah diri kepada orang yang berIman, dan bersikap keras, tegas kepada orang-orang Kafir.. ”

7. Menunaikan janji.

8. Sabar. Kerana perjalanan Da’wah adalah perjalanan yang tersangat panjang, yang mestilah dipimpin oleh Mukmin yang tinggi sabarnya dan cekal menempuh jalanan perjuangan.

Firman Allah SWT, di dalam Surah Ali-Imran, ayat ke-200 :
“Wahai orang-orang berIman, bersabarlah, dan pertahankanlah kesabaran serta tetaplah di pengkalan dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya”

Pada hakikatnya, masih banyak ciri-ciri yang perlu ada pada kepimpinan Islam, termasuklah ciri-ciri atau akhlak Umumi Muslim yang dituntut ke atas seorang pemimpin Islam. Antaranya, ihsan kepada golongan yang lemah, memelihara silaturrahim, memuliakan anak yatim dan yang miskin, pemalu, menjauhkan diri daripada berkata-kata secara kasar, menguasai teknik berpidato dan menarik perhatian, menjauhkan diri daripada perkara bidaah dan syubhah, melazimi amalan Sunnah, berwaspada, bertimbang rasa, tidak memberat-beratkan atau terlalu cuai dan sebagainya lagi.

Kesemua ini adalah amat penting ke atas seseorang kepimpinan Islam. Kerana kedudukan pemimpin Islam terutamanya di dalam harakah Islam adalah amat tinggi.

Telah berpesan Imam Hassan al-Banna, di dalam Risalah Taalim, “yang saya maksudkan dengan Thiqah ialah keyakinan seorang Jundi (pendakwah)  kepada Qiyadi (pemimpin) nya pada kemampuan dan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan lahirnya perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan”

Kata as-Syahid lagi “Qiadah merupakan sebahagian daripada Da’wah. Da’wah tidak akan wujud tanpa Qiadah. Kekuatan sistem jemaah, kekemasan strateginya, kejayaannya menuju matlamat dan keupayaannya menghadapi segala bentuk halangan serta kesusahan bergantung kepada sejauh mana timbal balik Thiqah di antara Qiadi dan Jundi”

“Dalam Da’wah, qiadah mempunyai hak seorang bapa dari sudut ikatan hati, hak seorang Ustaz dari sudut memberi ilmu, hak seorang Syeikh dari sudut pendidikan Rohani dan hak seorang pemimpin di sudut siasah dan polisi umum Da’wah, da’wah kita merangkumi semua makna-makna ini”

Justeru, atas kedudukan yang sebegini tinggi, yang diamanahkan kepada Kepimpinan, maka tidak wajarlah amanah kepimpinan diletakkan pada orang-orang yang tidak amanah dan layak.

WaLlahu’alam..

Wednesday, January 19, 2011

Syarat Keberkesanan Da'wah


Ramai dalam kalangan du’at kini, yang mengajak ke agama Allah, sentiasa mengeluh, mengapa dakwah mereka selama mereka berdakwah, kurang menampakkan kesan.
Bahaya, kerana ia boleh membawa kepada akibat yang lebih buruk, misalnya, du’at merasa terlalu letih sedangkan tiada kesan daripada keletihan yang dialaminya dan lambat laun berputus asa daripada berdakwah.
Kata Dr. Said Ramadhan al-Bouti, dalam kitabnya, Rahsia Dakwah Yang Berkesan, beliau menyebutkan bahawa, ada banyak syarat untuk menjadikan dakwah itu dakwah yang berkesan. Namun, beliau telah merumuskannya kepada 3, yang paling penting.
Syarat pertama untuk keberkesanan dakwah, iaitu, Daie hendaklah dapat menunjukkan teladan, sikap dan sahsiah yang menggambarkan keIslamannya.
Syarat ini amat penting, memandangkan seorang daie mestilah mempunyai ilmu yang tergambar pada keperibadiannya. Ilmu itu satu perkara, manakala tergambar pada peribadinya satu perkara.
Pertama, Ilmu, adalah perkara yang amat penting pada seorang daie. Mana mungkin seseorang memberikan sesuatu yang bernilai jika dia sendiri tidak mempunyai apa-apa untuk dirinya sendiri. Umpama sebatang pohon, yang hanya punyai cabang-cabang ranting, tiada buah untuk dituai, bahkan dedaunan untuk dibuat berteduh.
Kedua, ilmu itu tergambar pada dirinya. Ramai dalam kalangan daie, yang berdakwah, sedang ia sendiri tidak komited dengan ajaran dan nilai Islam yang didakwahkannya. Ramai juga yang berdakwah, sedang ia tidak ikhlas dalam dakwahnya. Dakwahnya hanya kepura-puraan semata-mata demi kepentingan dirinya. Kedua-dua jenis daie ini, tidak akan menyumbang apa-apa untuk Islam, malahan menyebabkan orang yang didakwahnya bertambah jauh daripada Islam.
Daie yang berdakwah tanpa dirinya sendiri berdisiplin dengan ajaran Islam, boleh kita lihat dengan jelas. Dia sendiri tidak beramal dengan ilmunya, melakukan apa yang dilarangnya. Bahkan kata Dr. Said Ramadhan al-Butti, daie yang solatnya dalam keadaan tergesa-gesa, seolah-olah memikul sesuatu yang berat di pundaknya, juga daie yang tidak berdisiplin dengan Islam. Bagaimana dia kononnya terlalu sibuk dalam dakwah, sehinggakan tidak sempat untuk melaksanakan ibadah mafrudah (wajib) dalam keadaan sempurna, tidak sempat untuk melaksanakan ibadah-ibadah masnunah (sunat) tambahan.
Daie yang tidak melaksanakan nilai dan ajaran Islam pada dirinya, juga adalah daie yang tidak ikhlas dalam dakwahnya. Manakala daie yang berpura-pura kuat beribadah dan melaksanakan nilai dan ajaran Islam, juga dapat kita nilai melalui Istiqamahnya dan kesan dakwahnya. Kerana, hati yang betul-betul ikhlas boleh menyentuh hati orang yang didakwahnya. Daie yang tiada ikhlas dalam dakwahnya, hanya akan membuat orang yang didakwah lebih jauh daripada Islam.
Persoalannya, bagaimana hal ini boleh berlaku? Dan bagaimana, seorang daie, boleh mengikhlaskan dirinya dalam dakwahnya?
Pertama, Islam adalah penyerahan dan pengakuan mutlak kepada Allah, yang daripada penyerahan dan pengakuan itulah lahirnya suatu sikap ketundukan dan penghambaan, serta kepatuhan kepada setiap arahan dan suruhanNya, laranganNya, di samping meredhai segala ketentuannya.
Asas Islam hanya akan kukuh sekiranya diisi dengan nilai keImanan yang sempurna. Manakala, ia akan terus kukuh di dalam hati sekiranya hati itu terus menerus dibersihkan daripada segala kekotoran dan penyakit hati, termasuk menjauhkan hati daripada pengaruh nafsu syahwat. Rujuk Surah as-Syams, ayat 7-10. Juga, surah as-Syu’ara, ayat 88-89.
Berkenaan dengan hati, RasuluLlah SAW bersabda, “Sesungguhnya, di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuh, apabila ia rosak, maka ikut rosaklah sekalian tubuhnya. Segumpal daging itu ialah HATI”
Iman yang bersih daripada segala kekotoran inilah yang akan lahir pada seluruh anggota tubuh, Hingga akan kelihatan pada diri daie itu, ciri-ciri, nilai dan akhlak Islam. Dia akan mengamalkan Islam dengan rela hati dan bersungguh-sungguh.
Penyebab dakwah didengar dan diterima bukan logiknya ucapan, kerana manusia melanggar hak-hak Allah bukan kerana tiada dalil yang kuat dan meyakinkan logiknya, ianya kerana dorongan hawa nafsu yang menyesatkan.
Daie yang memelihara hatinya, dakwahnya akan menyusup halus ke dalam hati para pendengarnya. Meski hati pendengarnya keras, pasti akan sedikit terkesan dan tersentak.
Seandainya kedua-dua hati keras (daie dan pendengar), maka apa yang membezakan antara daie dan pendengar itu hanyalah daie itu petah berpidato, mempunyai kelebihan dalam berucap dibandingkan dengan pendengar yang hanya mendengar.
Wallahu’alam..al-faqir ila Rabbihi..

Tuesday, January 18, 2011

15 Julai '10 : Corat Coret dari Hati untuk Jilul Nasr

Hati ini bagai terpanggil-panggil untuk pulang ke rumah. Entahlah, tiba-tiba, rasa rindu pada suasana di rumah begitu menggamit hati. Saya pun tidak lengah-lengah dengan berfikir banyak kali untuk hal biasa begini, lantas segera memutuskan tekad dalam hati. “Hari ini aku nak balik.”

Tak tahulah pula, apa perasaan yang berlegar di dada saya waktu berangkat pulang ke rumah. Semuanya bagai bercampur-baur. Ada terasa sedikit duka, sedikit gembira, rasa ceria, rasa hiba.. dan ia semuanya menjadi ‘rojak campur’ di dada dan benak saya.

Waktu dalam perjalanan, saya meladeni mesej daripada Amiruddin, salah seorang daripada 76 orang adik lelaki Daie Jilul Nasr saya. Ujar saya padanya, “Ana mahu bawa diri..” Daripada mesej-mesejnya yang seterusnya, saya mengesan nada bimbang. Bimbangkan saya.

Malamnya, tiba di Kuala Terengganu, telefon saya berbunyi, menjerit menyatakan ada mesej yang singgah di kotak simpanannya. Iya, lagi mesej daripada adik Daie Jilul. Kali ini daripada Muti’in. Tanyanya, “Abang sihat?”

“Abang nak bawa diri ke mana?.”

“Jauh ke dekat?.”

“Luar negeri ke luar negara?.”

Saya terpegun, terharu dengan layanan mereka terhadap saya. Tak terlintas kalimat yang selayaknya di benak ini, melainkan ALHAMDULILLAH. Betapa Allah menimbulkan kemesraan antara kami, cinta sesama kami di atas jalan cinta padaNya.

“Adik-adik ana, ana tak kemana pun. Ana hanya pulang ke rumah sebentar. Membawa diri pergi, bagi menghayati dan menginsafi naik dan turunnya iman ini. Abang cuma mencari tempat yang abang boleh diam tanpa gangguan dan keserabutan dek kesibukan di KB”.

Apa pun JazaakumuLlah untuk kalian yang risau dan bimbang akan diri ini. Terima kasih atas doa yang sering kalian tembakkan dari kejauhan. Andai ana mampu, mahu sahaja ana sebut nama adik-adik semua satu persatu dalam doa, sebagai ‘membalas’ doa-doa kalian, namun apalah daya ana, yang masih lemah dan daif ini.

“Abang doakan kalian semua, dan abang juga, agar ditetapkan Allah atas jalan Da’wah dan Perjuangan ini, InsyaAllah.”

Adik-adik ana yang dikasihi,

Terima kasih atas ucapan dan doa yang kalian panjatkan buat ana sempena ulang tahun lahirnya ana ke dunia ini yang ke 18. Betapa ana menerima ucapan-ucapan daripada kalian dengan penuh rasa terharu.. juga rasa syukur yang amat sangat kepada Allah SWT yang menimbulkan rasa manis dan indahnya pada ukhuwwah kita.

Kebiasaannya, pasti kita bergembira saat menghitung detik 12 malam tarikh hari lahir kita. Tidak bagi ana untuk kali ini, ana lalui setiap detik itu, dengan penuh rasa duka dan hiba.

Adik-adik ana, inilah ulang tahun terakhir yang ana lalui bersama kalian. Juga kali terakhir yang ana lalui di Maahad. Selepas ini, mungkin tiada lagi ucapan yang ana dapat dengar daripada kalian yang dicintai. Barangkali, hanya mesej-mesej yang dihantar dari kejauhan, digambarkan melalui lakaran-lakaran huruf yang kosong emosi apabila kita terpisah nanti.

Adik-adik ana yang dikasihi,

Kalian perlu mengerti, betapa besarnya harapan yang kini terpikul di pundak kalian. Harapan ana, harapan ibubapa, harapan keluarga dan harapan Ummah malahan.

Kalian mesti sedar, kalianlah penyambung dan pewaris usaha juangnya Baginda Nabi SAW!

Kalian mesti sedar, kalianlah yang menjadi talian hayat ummat kini!

Kalian mesti sedar, kalian bukan remaja biasa, apatah lagi kanak-kanak yang ceria menghabiskan masa berseronok dengan gula-gula, komik dan hiburan melalaikan.

Kalian adalah remaja terpilih. Terpilih untuk hadir ke PLKN, dan terpilih untuk menganggotai kumpulan Daie Generasi Penolong yang Diharap-harapkan!

Adik-adik ana,

Bukan!

Bukan ana yang memilih kalian!

Ana hanya menjadi ‘alat’, pengantara antara kalian dan Allah, bagi menyampaikan suratan ini buat kalian. Memang tangan ana yang menulis nama kalian, memang suara ana yang melaung arahan, namun hakikatnya, ia semua telah ditakdirkan Allah.

Hakikatnya, Dialah yang memilih kalian semua. Atas kasih dan cintaNya kepada kalian. Mahu kalianlah yang menjadi generasi kelahiran pertama BALKIS melalui projek mega “Membina Generasi Daie Berkualiti” ini.

Adik-adik ana,

Tugas ana bersama kalian hampir sampai ke penghujungnya. Peranan yang ana mainkan dalam ‘lakon layar’ ini semakin hampir waktu tamat. Ana hanyalah seorang watak sampingan dalam kisah panjang ini. Kini, ana hanya menanti perintah daripada Pengarah (Allah SWT) untuk mengarah ana agar meneruskan ‘lakonan’ ana di lokasi lain, ataupun terserahlah padaNya, kiranya Dia memutuskan untuk ana ‘berhenti berlakon’.

Andai Allah sebagai Pengarah, lalu ana sebagai pelakon sampingan, maka siapa pula yang memegang teraju utama?

Baginda Nabi SAW? Tidak dik!

SA Umar al-Faruq? Tidak dik!

Panglima Salahuddin al-Ayyubi? Juga tidak dik!

Adik-adik hitunglah, berapa ramai pun para sahabat Baginda Nabi SAW, mahupun panglima-panglima dan Khalifah-khalifah Islam yang pernah membebaskan al-Quds, Konstantinopel dan mana-mana sahaja. Mereka BUKAN watak utama hari ini!

Waktu lakonan mereka telah TAMAT. Mereka kini sedang mengecap ni’mat dan anugerah hasil kualiti lakonan yang dimainkan mereka.

Justeru, pelakon utama kisah perjuangan membebaskan ummat kali ini, adalah KALIAN!

DAIE JILUL NASRIL MANSYUD!

Akhir coretan ini, ana mahu ulang kalimat keramat yang biasa kalian dengar tatkala bersama ana. Biarlah bosan mendengarnya, biarlah kalian mungkin tidak terasa apa-apa dengannya. Bagi ana, ia adalah ekspresi daripada ana, bahawa betapa ana menaruh impian besar pada kalian semua, DJNM. Ia bukan sekadar lakaran huruf, bukan juga sekadar bunyi yang mencuit gegandang telinga kalian, lantas menghantar denyutan kecil elektrik ke otak kalian, lalu ‘menghasilkan’ bunyi.

Ia hadir dari Hati ana adik-adik. Justeru, ana tidak berharap ia hanya kekal di minda sebagai sebahagian daripada cebisan ingatan. Ana mahukan kalian menerimanya dengan Hati juga.

Adik-adik ana..

“Ana Sayang Antum”.

Seketul Kerikil yang Buat Kita Terdongak


“Kenapa kadet polis kalah?”

“Macam mana boleh kalah ni?”

“Buu..kadet polis kalah!”

Saya baru sahaja usai menyertai pertadingan kawad kaki peringkat akhir Massak, pada Isnin, 10 Mei (2010) tempoh hari. Pasukan kami yang bertanding sebagai juara menunggu, tewas dan hanya berpuas hati di tangga ke 3. Begitulah, antara ungkapan yang saya terima daripada rakan-rakan, adik-adik dan guru-guru. Yang bertanya, saya jawab setakat mampu. Arahan salah yang diturut oleh separuh platun menyebabkan kami kehilangan banyak markah, terus menjunam ke tempat ketiga. Yang mengejek, saya diam sahaja, kalau dilayan hanya menambah pedih di hati sahaja, sebaiknya tak perlu dilayan.

Saya menipu jika mengaku tidak terkesan dengan soalan dan ejekan ini. Siapa yang tak terkesan? Piala yang sudah kami juarai tahun sudah dan tahun sebelumnya berturut-turut, dirampas dan dibawa pergi oleh seteru utama kami. Pedihnya menyayat hati dan menyiat-nyiat rasa. Terasa hampir mengalirkan air mata tatkala mendengar pengumuman rasmi oleh pengacara majlis. Longgar engsel lutut, mujur tak 'tertanggal'. Kami 'ratapi' kekalahan ini dengan melakukan tekan tubi berpasukan. 30 kali semuanya, beralaskan hanya penumbuk. Hilang suara saya, kerana kami menjerit sekuat-kuat hati mengira setiap satu tekan tubi yang kami lakukan. Sakit tangan, menongkat tubuh di permukaan batu-bata perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV langsung tak terasa. Hilang ditelan pedihnya hati.

Malamnya, saya seolah-olah jadi tak keruan. Terasa benci meluap-luap dalam hati, tapi tak tahu siapa yang menjadi sasarannya. Kekalahan ini adalah penutup kisah kadet polis saya. Inilah pertandingan paling akhir saya sertai. Inilah sejarah akhir saya sebagai anggota pasukan Kor Kadet Polis MML. Malangnya, yang terakhir inilah, yang paling pahit dan perit. Kami tewas. Dan saya, mengaku yang saya benar-benar terkesan dan terganggu.

Saya teringat sebuah kisah. Seorang arkitek seni bina. Sedang bertungkus-lumus menyiapkan grand masterpiecenya, bangunan tinggi dan canggih.

Suatu hari, dia melawat tapak pembinaan. Meninjau-ninjau proses pembinaan. Setingkat demi setingkat diperiksanya. Mahu memastikan setiap inci bangunan itu dibina tepat sebagaimana rekaannya. Sampai di tingkat atas sekali, dia menyedari satu kecacatan. Meski satu, ia boleh merosakkan keseluruhan bangunan kelak.

Dia meninjau ke bawah, mahu memanggil pekerjanya untuk memperbetulkan kesalahan. Kelihatan seorang pekerja, sedang membancuh simen. Sekuat hati, dia melaung. Langsung tidak berkesan. Suaranya ditenggelami oleh bunyi mesin pembancuh simen. Lantas dia mengagau poketnya, keluarkan sekeping syiling 50 sen. Dilemparnya ke bawah, jatuh betul-betul di hadapan pekerja tersebut. Terhenti sebentar si pekerja, dijeling ke kiri dan kanan, lalu diambilnya syiling itu, terus dimasukkan ke dalam poket. Siap tersengih lagi. Arkitek di atas mengagau lagi poket, ada lagi syiling. Dilontar lagi ke bawah, sekali lagi jatuh di hadapan pekerja itu. Serupa! Dijeling kiri dan kanan, lalu diambil dan dimasukkan ke dalam poket.

Arkitek di atas sudah mahu menyumpah seranah, mujur jenis penyabar. Kalau tidak, pasti habis diseranahnya. Si arkitek mencari-cari benda lain yang boleh dilempar. Terjumpa seketul kerikil kecil. Dibidik betul-betul, dengan melafazkan nama Allah, dilontarnya kerikil itu. KUK!!! Betul-betul atas topi kuning si pekerja. Terus si pekerja terdongak, mencari mana datangnya benda yang menghempas topinya. Mujurlah bertopi, kalau tak, boleh benjol juga. Hah, barulah nak dongak ke atas!

Saya fikir-fikir, kisah ini penuh makna untuk saya dan kalian renungi. Allah sentiasa melimpahi kita dengan nikmat-nikmatnya. Tak pernah sedetik pun Allah memutuskan rahmat, kasih sayang dan nikmatNya daripada kita. Malangnya, jarang benar kita dapat ‘mendongak’ ke atas, mensyukuri nikmat-nikmat itu. Seperti si pekerja tadi, hanya tahu ambil sahaja. Tatkala Allah ‘melemparkan’ kita seketul kerikil, untuk menyedarkan kita, barulah kita TERDONGAK.

Ibarat ujian yang kadang-kadang Allah beri pada kita, tak lain kerana cintanya Allah pada kita, hambaNya. Ujian yang Allah timpakan, untuk membuatkan kita ‘mendongak’ semula padaNya, tidak terus terlalai dan tenggelam dalam nikmat.

Seperti terlakar pada ayat 33 hingga 36, Surah ar-Rum, rujuklah. Manusia memang mudah alpa tatkala dibuai nikmat. Mujurlah Allah kasihankan kita, sesekali menurunkan ujian yang memberi sedar.

Saya kira, kalahnya kami ini, ialah batu kerikil yang Allah ‘lempar’kan agar saya terdongak. Syukur, AlhamduliLlah, Allah menyayangi diri ini.

SubhanaLlah. Bukakan pintu hikmahMu buat kami, agar kami mengerti setiap ketentuanMu.

Saturday, January 8, 2011

Surat Terbuka untuk Dato' Seri Najib Tun Razak


Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun, sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin, dalam ruang demokrasi, tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.

Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini, menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata). Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. ‘Singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya kini.

Tidaklah pula saya katakan, yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan, saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari, makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri, untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH, kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting.  Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini, percaya bahawa, setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari, saya dan rakan-rakan, menerima berita dari segenap pelusuk negara, samada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI


Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri, turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga, kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka, menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana, seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda, dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan waktu Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar, bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar, yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda, hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para bijak pandai masa depan. Dengan Dato’ Seri melambakkan pada mereka, hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan, bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar beritah demikian, kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya, waktu melihat Dato’ Seri dan isteri, melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati, untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam), yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak, apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka, daripada wang yang mereka perolehi hasil judi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini, ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri, orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali, jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun, Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga, kaya raya.

Maka, tidak kiralah, jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau Rm 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya, adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun, sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu). Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah, meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah yuran persekolah masih dihutang. Bukan sedikit keringat yang dicurah, demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat, yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini, sekadar untuk meraih undi. Waktu berkuasa, kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami, bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati, dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami, ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri, tanpa rasa bersalah, menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu, memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah kerana, kami rakyat, cuba untuk berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi, betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat.Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media dibawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara, adalah bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri, pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi sebab untuk anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara, sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan, adalah remaja muda yang punya sikap. Punya pendirian. Kami berazam, untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad, seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.

Jika sampai masanya, untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti. Agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan mendapat tempat tertinggi di negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada gerak langkahnya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian, hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Muhammad Muizzuddin Bin Zaini