Suarafata

Bicara Minda dah Luahan Rasa Seorang Anak Muda.

Senyum. Sapa. Salam.

Senyum itu sedekah. Salam itu sunnah. Bertegur sapa mengerat ukhuwwah!

Muhasabah

Kredit untuk Khadimul Quran.

Muhasabah

Senyum dan terus melangkah.

Sang Murabbi

Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah.

Tuesday, February 12, 2013

To Let, And To Forgive

Kalau hidup ini adalah kembara, maka jatuh-bangun lewatnya adalah perkara biasa. Pedih juga, lantaran malu yang calar, serta tangan dan kaki yang terluka.

Namun kekadang, teringat peristiwa terjatuh kecil-kecil dahulu, baik jatuh basikal, katil atau tangga; tergelak dan tersenyum sendirian dibuatnya.

Maknanya, yang jatuh itupun dikenang-kenang. Dalam malu dan sakitnya, ada juga yang 'manis' rupanya.

Justeru, tak harus takut berjalan dan berlari. Yang pahit-pahit, diterima sebagai pengajaran yang membentuk diri kita hari ini. Yang pahit-pahit itu tak usah dilupakan pun tak mengapa. Kerana, usaha melupa, hakikatnya hanya membuatkan kita kian teringat.

Usaha melupa kisah-kisah pahit di belakang, hanya menambah dalam luka yang separa sembuh itu. Tapi, jika ia 'diterima' dan diredhai, jadilah ia parut yang membentuk rupa dewasa kita hari ini. Rupa matang lewat jatuh-bangun dalam kelana kehidupan.

Mentari menyinar, usai malam nan gelita. Alam tenang, usai ribut badai menggila. Selepas bersusah, in-sha-allah terbuka jalan mudah ;)

[94 : 5-6]

Thursday, January 31, 2013

Semester 2, Tahun 2... Mula!

Buat pertama kalinya, saya mendaftar 6 subjek untuk semester seterusnya.

Sebelum ini; 3 ketika di semester pertama, 3 juga untuk semester kedua. 5 di semester ketiga dan kali ini - buat pertama kalinya - 6.

Dan, subjek-subjek pengajian saya juga sudah mulai terpisah dengan rakan-rakan yang rata-rata mereka mengambil pengkhususan Fiqh Wa Usuluhu. Saya Usuluddin.

Rakan-rakan ramai yang mengambil Fiqh Uqubat, Usul Fiqh 1 atau 2 dan semisalnya. Sedangkan saya sudah mulai berhadapan dengan subjek-subjek seperti Manahij Mufassirin, Ayat dan Hadis Ahkam, Usul Fiqh Am dan sebagainya.

In-sha-allah, semester ini, subjek pengajian saya adalah seperti berikut;

  1. Manahij Mufassirin, bersama Doktor Amin Butush.
  2. Ayat Ahkam, bersama Dr. Nail Abu Zaid.
  3. Dirasat Fil Hadis Min As-Sunan, bersama Dr. Muhammad Hawa.
  4. Fiqh Al-Qadha, bersama Dr. Syuesy Al-Mahamid.
  5. Fiqh Al-Ibadat 2, bersama Dr. Ali Zuqaili.
  6. Dan, akhir sekali, Bahasa Inggeris 2, bersama Dr. Dima.
Di kala saya menulis entri ini, bumi Mu'tah sedang dilebati frost. Selain daripada saya memang kurang gemarkan sejuk, serasa kasihan dengan entah bagaimana nasib saudara-saudara pelarian sana. Baik dari Syria yang hari ini belum punya tanda pergolakannya bakal mereda, ataupun dari Palestin, bumi Al-Aqsha. Mereka tak punya pakaian yang cukup, tempat berteduh, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Dahulu, benar; saya alergik dengan peperiksaan. Tiada justifikasi memuaskan yang mampu diberikan. Saya sekadar keras kepala, degil, terlalu idealistik (bak kata Umi) dan sebagainya.

Hari ini, saya kian sedar, bahawa kalaupun bukan nilaian gred di akhirnya yang menjadi ukuran kepandaian, namun usaha bersungguh-sungguh untuk memahami, mengingati dan mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan yang dikemukakan adalah lambang fokus, komitmen dan keikhlasan kita dalam pengajian.

Saya sentiasa membayangkan saya diajukan soalan oleh masharakat, ketika sedang menduduki peperiksaan. Dan, jika saya gagal jawab dengan baik, itu jualah kemungkinan yang bakal saya berikan buat masharakat kelak.

Apapun, peperiksaan bukan segala-galanya. Bak kata Bro Ihsan Fadhli;

"Ramai bersedia untuk hadapi peperiksaan. Tak ramai bersedia untuk hadapi pelajaran harian. Sedangkan, fokus, tekun, rajin itu lebih penting untuk memahami pelajaran yang kita hadapi setiap hari. Bukan bermusim saja tatkala menjelang peperiksaan!"

Dan, sesiapa yang bisa tekun dan bersungguh-sungguh untuk setiap sesi pelajaran, akan tiada masalah menghadapi peperiksaan. In-sha-allah.

p/s Bro Ihsan, maaf kalau tersilap matan dalam meriwayat. Tapi, maknanya benar kan? Senyum ^^
Poster sempena peperiksaan daripada Tim Kepimpinan PERMATA 2012/2013.
 

Wednesday, January 30, 2013

Cuti-cuti Di Rumah

Gambar lama, di sekitar Wadi Rum, Jordan. Dari kiri, Anas, Bro Ihsan, Syakir dan saya.
Cuti semester kali ini saya tak ke mana-mana.

Saya sekadar berpeluang menjejak langkah Si Santiago, menapak bersama biri-birinya sekitar Andalusia. Singgah berehat di reruntuhan gereja, tertidur dan bermimpi akan harta karun yang tertanam di sisi piramid Mesir. Kemudian, mengekor kembaranya ke Mesir. Singgah di pelabuhan Tangier. Sama-sama berduka tatkala dirinya ditimpa musibah demi musibah. Menentang angin kasar yang membawa pasir di sahara menuju ke Oasis. Menemui cinta di sana dan berbelah bahagi untuk meneruskan kembara. Namun akhirnya, tiba jua ke piramid. Lalu kebas tangan menggali pasir sekitarnya, mencari harta karun; untuk sekadar menyedari bahawa ia rupa-rupanya tertanam jauh di Andalusia sana.

Itu semua, kembara saya menjejak langkah Si Santiago. Semuanya di dalam "The Alchemist".

Kemudian, 'pulang' sebentar ke Malaysia; mengikuti diskusi berkenaan anak muda dan pilihanraya. Termenung gerun dek besarnya angka anak-anak muda yang tidak berpartisipasi dalam proses pilihanraya lewat pelbagai alasan; malas, tak mahu ambil tahu, tak punya masa dan lain-lain. Takjub juga dengan maklumat hanya sekitar 200 ke 300 ribu undi popular yang memisahkan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum yang sudah.

Sebelum itu, 'berdagang' ke Indonesia. Menyoroti kisah hiba anak-anak muda Indonesia, yang berjuang meneruskan kehidupan di celah-celah kebejatan ekonomi dan bobroknya penguasa. Luhurnya niat Muluk, naifnya anggota masharakat, tegarnya anak-anak pencopet, korupnya kuasawan dan siasawan serta banyak lagi warna-warni yang melakari latar filem "Alangkah Lucunya Negeri Ini".

Sempat 'ke' Britain, mengikuti 'talk' Rory Stewart, seorang anggota parlimen Britain mengenai Demokrasi. Ujar beliau, usah demokrasi dilihat sebagai alat, instrumen. Tetapi ia wajar ditanggapi sebagai idea; akan keadilan, kesaksamaan dan sebagainya.

Ke Mesir (sekali lagi), mengikuti 'talk' lama Wael Ghonim, Eksekutif Google yang memainkan peranan tak kurang pentingnya dalam Revolusi 2.0.

Seterusnya, mengikuti 'talk' Wadah Khanfar, mantan 'Director General of Al-Jazeera' (2003-2011). Beliau berkongsi pandangan mengenai Revolusi Mesir dan Arab.

Tersentuh hati pula dengan ketekunan dan kesungguhan 'Ustazah' Lesley Hazleton, yang gigih menghalusi keajaiban Al-Quran. Terpegun dan serasa malu mengikuti perkongsiannya. Aduhai.

Dan, beberapa lagi.

Oh, cuti ini saya tak ke mana-mana pun. Senyum. 

p/s Baiklah. Ini memang usaha saya untuk kemaskini blog yang sekian lama kosong ini. Aduh.

Tuesday, May 15, 2012

Selamat Hari Guru, Ummi, Abi!

Dahulu, hampir tiap-tiap petang, Abi bawa kami jalan-jalan. Masa saya kecil, saya juga turut bonceng motor dengan adik-adik, ramai-ramai. Haha.

Apabila sudah besar sedikit, saya dibelikan basikal. Jadi Abi akan bawa motor perlahan-lahan dengan adik-adik membonceng, saya pula kayuh basikal di sebelah.

Petang itu, Abi hidupkan enjin motor. Adik-adik berlarian turun ke halaman rumah. Melompat tangga lalu berebut-rebut untuk membonceng motor.

Saya nak juga keluar berjalan-jalan. Tapi petang itu, 'nasib buruk'. Hoho. Ummi paksa juga habiskan baca Al-Quran yang sudah jadi rutin harian.

Dalam hati rasa tak seronok. Baca laju-laju supaya dapat ikut sama jalan-jalan. Bila saya baca laju-laju Ummi marah. Tiba-tiba Abi dan adik-adik sudah tiada di hadapan rumah. Mereka dah tinggalkan saya! Waaah!

Dalam hati dah rasa marah pada Ummi. Paksa saya baca Al-Quran. Sudahlah terlepas peluang nak pergi jalan-jalan. Saya baca dalam esak tangis tak puas hati. Bila salah, kena marah lagi. Aduh.

Saya pandai baca Al-Quran sejak umur 4-5 tahun. Pandai membaca juga sekitar waktu itu. Ummi bawa saya masuk ke PASTI ketika saya masih berhingus lagi. Masuk darjah satu, ketika umur 6 tahun. Dalam kelas asyik kena marah lagi. Aduh.

Hari ini, bila ada orang puji hasil kerja saya, atau idea saya, saya akan tersenyum dan teringat pada GURU PERTAMA saya yang mengajar saya kunci kepada hampir segala-galanya!

Dialah Ummi saya! ^^

Selamat Hari Guru Cikgu Sarina Nawang! ^^

Dan tak lupa buat Abi dan semua guru-guru saya. Kalian semua dekat di hati.




Monday, March 19, 2012

Hijrahlah. Berubahlah.

Saya gemar menonton teater. Dalam sembang-sembang berisi (lawannya sembang kosong) saya dan sifu, saya nyatakan pada dia minat saya. Saya juga katakan, alangkah baiknya, andai kita ada persembahan teater sebulan sekali. Biro Kebudayaan & Sukan PERMATA boleh anjurkan.

Dia, seperti selalu, dalam senyum dan santun, teliti memberi respon pada kata-kata saya.

Kata dia, ramai yang mengaku minat. Ramai juga yang kata, hendak buat. Tapi tak ramai yang benar-benar buat.

Kata dia, "Buatlah..."

Wah. Seperti biasa, saya rasa terpukul. Rasa tercabar dan semangat berkobar-kobar menyergap ke seluruh anggota, akal fikir dan akal rasa.

Dialah juga yang pernah bercerita, bagaimana ada seorang lelaki yang bercita-cita untuk mengubah dunia.

Dalam usahanya menggapai cita, usianya menjangkau tua. Dia semakin letih, juga semakin lemah. Sedangkan impiannya masih jauh. Usaha masih banyak yang perlu diselesaikan. Lalu dia berkata, "Apa kata aku cuba mengubah negaraku pula?"

Lama-kelamaan, dia berkata pula, "Apa kata aku cuba mengubah masyarakatku?"

. . .

Lama-kelamaan dia berkata, "Apa kata aku cuba mengubah keluargaku?"

. . .

Lama-kelamaan dia berkata, "Apa kata aku cuba pula mengubah diriku?"

Dan, akhirnya, di akhiran usianya dia mengerti sesuatu. Bahawa perubahan besar yang dicitakannya, rupanya mesti digerakkan dengan perubahan dirinya sendiri.

Iya. Kembara panjang ribuan batu, mesti bermula dengan satu langkahan kecil.

Saya tidak boleh jadi orang yang nakkan sesuatu sahaja. Saya mesti juga jadi orang yang lakukan sesuatu!

Saya tidak boleh jadi orang yang hanya menanam cita, bahkan usahanya. Kerana kejayaan dan perubahan tak tertuai dengan sekadar menanam cita dan impian.

Ia sunnatullah. Sebagaimana benih yang tak tersiram, atau terbaja, dengan tanah yang tak tergembur tidak akan tumbuh elok dan subur, begitulah juga impian dan cita-cita. Meski ia suci lagi luhur, apa ia akan jadi tanpa usaha sehabis daya?

Maka, cita-cita saya melihat sebuah negara makmur, dunia yang aman, Islam yang tertegak mesti bermula dengan usaha memperbaiki diri. Terus menerus memperbaiki diri.

Kerana saya Muslim, dan Islam itu adalah apa yang terlahir daripada penghayatan saya padanya. Bagaimana mungkin saya mengangkat Islam, sedang ia sendiri tidak terlahir pada diri saya?

Dahulu, saya selalu terpaksa habiskan masa mencari-cari gambar-gambar cantik dan elok untuk dijadikan profile picture Facebook. Saya tak suka main letak sahaja mana-mana gambar. Gambar-gambar yang saya pilih, mesti ada mesejnya. Paling tidak ia menggambarkan apa yang saya rasa, atau apa yang saya citakan.

Jadi, saya terpaksa bergantung dengan nasib. Kalau jumpa gambar yang berkenan di hati, baru dapat saya gunakan. Ataupun, minta sahabat-sahabat untuk buatkan.

Lalu saya terfikir, saya ada idea, mengapa tidak saya belajar sahaja cara untuk design-nya, aplikasinya.

Lantas saya belajar menggunakan Fireworks, daripada sahabat saya. Perisian asas dan mudah untuk orang yang baru nak belajar designing macam saya.

Alhamdulillah, hari ini, bila saya ada idea, saya boleh buat sendiri. Tanpa perlu cari di internet, atau mengharap ihsan sahabat-sahabat. Dahulu, design header Suarafata pun minta tolong sahabat yang buatkan. Hari ini, saya buat sendiri (walaupun biasa-biasa saja). Saya berubah. Dahulu saya ada idea, tapi hari ini, saya ada idea dan kuasa. Kuasa untuk merealisasikan idea saya. Senyum.

Haha. Walaupun, apa yang saya kongsikan di atas ini adalah perubahan yang sangat kecil, yang penting ia adalah perubahan. Perubahan itu yang pentingnya, daripada buruk ke baik, atau biasa-biasa ke luar biasa. Biar kecil, asalkan ia terus menerus bertambah baik. Tak begitu kawan? Senyum.